Tergamam dan geram!
Sedari sejak petang tadi Nona dihujani mesej Whatsapp yang berderu masuk, membawa perkhabaran terkini kes siasatan terhadap punca tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang berlaku kelmarin.
Dalam kes ini, kepantasan dan kecekapan pihak polis seharusnya dipuji kerana berjaya memberkas suspek dalam tempoh yang amat singkat. Bermula dari rakaman CCTV yang viral pagi tadi, akhirnya membawa kepada penangkapan 7 orang suspek yang berusia lingkungan 12-18 tahun.
Astarghfirullah! Bayangkan daripada jumlah 7 yang ditahan, 6 daripadanya POSITIF DADAH (syabu).
Kalau ikutkan hati seorang ibu, Nona memandang kesalahan juvana seperti ini sepatutnya DITANGGUNG OLEH IBU BAPA SI PESALAH!
Di mana anda sewaktu anak-anak keluar pada waktu malam? Siapa berikan motosikal kepada mereka? Kenapa tak tahu anak tu menagih dadah?! Allahu… tolonglah ibu bapa, didikan harus bermula dari rumah!
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh mengesahkan bahawa beberapa hari sebelum kejadian, pelajar tahfiz ada mengejek tujuh remaja yang menghisap dadah di kawasan Taman Tasik Datuk Keramat.
Susulan dari itu, tujuh remaja itu berdendam dengan pelajar tahfiz dan pada hari kejadian, beberapa daripada mereka melompat masuk ke dalam pusat tahfiz itu.
“Kemudiannya, mereka mencuri dua buah tong gas dari kiosk berdekatan lokasi kejadian sebelum membocorkan gas pada tilam dan membakarnya dengan petrol di pintu utama asrama, ” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 pagi Khamis lalu, 23 pelajar termasuk dua guru pusat tahfiz berkenaan terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga banglo berkenaan yang menempatkan asrama pelajar.
Sebahagian mangsa ditemui rentung manakala beberapa lagi lemas akibat terhidu asap. Semua mangsa berusia antara enam hingga 16 tahun, manakala warden yang terkorban berusia di antara 25 hingga 26 tahun telah selamat dikebumikan. Norzalina Mohd Alias
Rezeki AWAL ASHAARI Semakin Murah Sebaik Pulang Dari Umrah. Kini Buka The Great Coffee Club
Impian pengacara popular Awal Ashaari untuk membuka sebuah kedai kopi, The Great Coffee Club akhirnya menjadi kenyataan apabila berjaya membuka cawangan pertamanya di Menara U, Seksyen 13, Shah Alam baru-baru ini.
Menurut penerima NONA Men’s Style Icon Award, NONA Superhero 2021 ini, kopi memiliki nilai sentimental tersendiri dalam dirinya memandangkan air kegemaran ramai itu turut menyatukan hubungannya dengan isteri tercinta, Scha Al Yahya.
“Saya dan Scha memang penggemar kopi. Kalau nak ‘throwback’ kisah cinta saya bersama Scha dulu pun, kami selalu ‘dating’ di sebuah kedai kopi di Bangsar.
“Jadi boleh dikatakan kopi ini menyatukan saya dan Scha kerana kami berdua berkongsi air minuman yang sama.
“Malah setiap kali kami melancong ke luar negara, perkara pertama yang kami akan kunjungi adalah kedai kopi kerana nak rasa kelainan di setiap lokasi.
“Hari ini saya sangat terharu kerana impian yang dah lama saya tunggu akhirnya menjadi kenyataan dan segala proses berjalan dengan pantas,” katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan cawangan pertama kedai kopi, The Great Coffee Club, Seksyen 13, Shah Alam, di sini, hari ini.
Menurut Awal, dia memilih Shah Alam sebagai lokasi pertama kedai kopi miliknya kerana menepati target pasaran dan lokasinya yang strategik.
“Saya memilih Shah Alam kerana lokasinya yang dekat dengan beberapa buah universiti selain menepati target pasaran.
“Kalau kita lihat tidak banyak kafe atau kedai kopi yang seumpama dengan kedai saya. Jadi sebagai permulaan saya pilih Shah Alam.
“Malah kedai kopi ini juga boleh menjadi lokasi untuk pelajar universiti ‘healing’ atau bersantai. Sebab itulah rekaan kedai kopi ini sangat dekat dengan jiwa muda selain semua orang boleh datang nikmatinya,” katanya.
Dalam masa sama, Awal memberitahu, dia kini sedang dalam perancangan untuk menjadikan kedai kopi itu sebagai lokasi program potcast kendaliannya, The Great Coffee Talk.
“Insha-Allah perancangannya selepas Aidilfitri ini. Saya nak buat podcast yang akan disiarkan di platform YouTube dan media sosial.
“Mengikut perancangan awal saya nak jemput individu yang dapat memberikan inspirasi setiap minggu untuk berkongsi kisah hidup dan kejayaan mereka,” katanya.
1.497 juta Jemaah Telah Tiba Di Mekah Untuk Tunaikan Haji, Bakal REKOD SEJARAH PALING RAMAI Setakat Ini
Sebagai salah satu daripada lima Rukun Islam, menunaikan ibadah Haji di Mekah adalah wajib bagi umat Islam yang berkemampuan daripada segi fizikal dan kewangan sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup mereka.
Ibadah Haji adalah bertujuan untuk membersihkan jiwa dan memupuk semangat kesamaan serta perpaduan dalam kalangan umat Islam, sebagai cara untuk berserah kepada Yang Maha Esa.
Kerajaan Arab Saudi setakat ini telah menerima ketibaan seramai 1.497 juta jemaah yang telah mula berkumpul di kota suci itu sebagai persediaan untuk mengerjakan ibadah Haji musim ini yang akan bermula pada 30 Ogos 2017.
Secara keseluruhan, kira-kira dua juta jemaah daripada seluruh dunia dijangka melawat Mekah tahun ini, menjadikan perhimpunan tahunan itu sebagai yang terbesar dan bagi kebanyakan umat Islam, ini adalah ibadah kemuncak bagi pembangunan rohani mereka.
Kerajaan Arab Saudi bertanggungjawab menyelenggara ibadah Haji setiap tahun, di bawah pengawasan langsung Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman bin Abdulaziz dan Putera Mahkota Mohamad bin Salman; satu usaha logistik mega yang bakal dipikul sehingga 4 September 2017.
Fakta Menarik 2017
(a) Jemaah Haji Antarabangsa Untuk Musim Haji 2017
Bilangan jemaah haji antarabangsa bertambah saban tahun, daripada hanya 24,000 jemaah pada 1941, jumlah ini meningkat kepada 1.325 juta pada 2016. Pada tahun lepas, seramai 1.86 juta Jemaah menjalankan ibadah Haji termasuk Jemaah tempatan daripada Arab Saudi sendiri.
(b) Lebih Daripada 80 Negara
Pegawai Saudi yang bertugas bersedia untuk menerima kemasukan Jemaah Haji yang besar tahun ini – para jemaah juga akan melawat kota suci Madinah. Pasukan Haji yang bertugas boleh bertutur lebih daripada satu bahasa untuk memastikan keperluan para jemaah dipenuhi.
(c) Mina, Kota Khemah Terbesar
Mina juga dikenali sebagai Kota Khemah kerana menempatkan berpuluh ribu khemah berhawa dingin sebagai penginapan sementara untuk para jemaah Haji tahun ini.
Mina terletak di antara gunung Arafat dan Masjid Besar Mekah. Khemah-khemah disusun secara sistematik mengikut barisan dan dikumpulkan di kawasan yang dilabel dengan nombor dan warna berdasarkan negara asal para jemaah.
Setiap jemaah diberikan lencana yang lengkap dengan nombor dan warna khemah mereka untuk membantu mereka mencari khemah sekiranya tersesat. Sebagai langkah untuk mencegah kebakaran, khemah-khemah dibina daripada polimer Teflon bersalut gentian kaca dan dilengkapi dengan sistem pemercik dan alat pemadam kebakaran.
(d) Lebih Daripada 17,000 Anggota Pertahanan Awam Berkhidmat Untuk Jemaah Haji
Lebih 17,000 anggota terlatih, disokong dengan 3,000 kenderaan berteknologi terkini ditempatkan untuk memastikan keselamatan jemaah berada pada tahap yang tertinggi.
(e) 300 Ambulans Darat, 30 Motosikal, 113 Pusat Ambulans & 8 Ambulans Udara
Lebih daripada 2,000 anggota pihak berkuasa Bulan Sabit Merah Saudi ditugaskan di Mekah, Madinah dan kawasan ibadah yang lain untuk menyediakan perkhidmatan ambulans kepada para jemaah ketika musim Haji tahun ini.
Mengambil keberkatan Hari Wukuf pada 9 Zulhijah 1438H bersamaan Khamis, 31 Ogos 2017 ini, Nona ingin menjemput anda dan ahli keluarga yang disayangi untuk bersama-sama menyertai dua acara mega, World #QuranHour pada jam 11.30 pagi – 1.30 petang di Masjid UIAM, Gombak dan Merdeka #QuranHour pada jam 8.30 malam – 10.30 malam di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Jumpa anda di sana, insya-Allah! KR
Rujukan: Pusat Komunikasi Antarabangsa (CIC), Kementerian Kebudayaan dan Maklumat, Kerajaan Arab Saudi
Terlibat Kerja Kebajikan Di Bulan Ramadan, FIZI ALI Kongsi Rasa Teruja Dapat Hulurkan Bantuan
Amalan bersedekah dituntut dalam Islam pada bulan Ramadan untuk mengingatkan umatnya agar sentiasa bersyukur terhadap rezeki yang dianugerahkan kepada mereka. Ramadan merupakan bulan yang ditunggu-tunggu kehadirannya oleh umat Islam kerana pelbagai keistimewaan terkandung di dalamnya terutama berkaitan dengan ibadah dan amalan kebajikan.
Bagi selebriti dan penyampai radio, Fizi Ali, Ramadan kali ini amat bermakna buat dirinya apatah lagi dapat berganding bahu dalam projek Kasih Ramadan inisiatif Yayasan Ikhlas (YI) meneruskan tradisi dan sisi murni membantu golongan anak yatim, asnaf dan keluarga di Malaysia yang menempuhi kesusahan di bulan Ramadan.
“Tahun ini saya ambil kesempatan untuk berganding bahu bersama Yayasan Ikhlas untuk menghulurkan bantuan kepada pihak-pihak yang memerlukan. Sumbangan tenaga yang tidak seberapa ini banyak membuka mata saya terhadap kehidupan insan-insan di sekeliling yang memerlukan bantuan.
Saya berharap sumbangan kecil ini menjadi asbab pahala terutamanya di bulan Ramadan dan menjadi contoh terbaik untuk satu-satunya anak kesayangan saya, Ameena Sofia.
Meneruskan tradisi dan sisi murni yang diusahakan sejak tahun 2014, projek Kasih Ramadan inisiatif Yayasan Ikhlas (YI) diteruskan Ramadan tahun ini untuk edisi kesembilan. Projek ini diusahakan bagi membantu golongan anak yatim, asnaf dan keluarga di Malaysia yang menempuhi kesusahan di bulan puasa.
Tahun lalu seramai 36,689 penerima manfaat di kalangan asnaf, anak yatim, ibu tunggal, OKU dan pesakit dibantu menerusi projek sama dengan menyasarkan golongan berkenaan untuk pemberian pek barangan asas, tajaan sahur dan berbuka serta sumbangan raya.
Menurut Pengerusi YI Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin, tahun lalu bantuan disalurkan merangkumi 146 buah tempat di seluruh Malaysia serta Sabah dan Sarawak. Katanya lagi, tahun ini sudah 15691 penerima sudah menerima manfaat itu dengan jumlah sasaran keseluruhan 25,000.
“Tiga bantuan disalurkan termasuk pertama kotak makanan mengandungi barang keperluan harian bernilai RM100 bagi setiap keluarga. Ia termasuklah sekampit beras, sepaket bihun dengan berat 400 gram, minyak masak, tepung gandum, gula, kicap, sos cili, kordial berperisa dan sekotak kurma.
“Kedua, pek Iftar dan Sahur yang siap dimasak diagihkan kepada anak yatim dan keluarga asnaf. Ketiga, set kelengkapan raya bernilai RM200 seperti baju, biskut dan sumbangan duit,” katanya.
Menurut Prof Dr Zainur, nilai yang diagih mungkin kecil di mata kita, namun besar ertinya bagi yang memerlukan.Malah selepas Fizi, beberapa orang selebriti dan pempengaruh akan meneruskan projek amal ini di lokasi berbeza.
“Siapa mampu menyangka dengan bantuan satu beg ini boleh memberi kegembiraan tak terkata kepada mereka. Mungkin bagi kita, ia nampak biasa dan remeh. Tetapi bagi yang menerima, ia amat berharga.
“Malah Fizi turut mengambil cakna meminta orang ramai menghulurkan sumbangan dan bantuan. Ke depan nanti ada lagi pembabitan selebriti dan pempengaruh melakukan projek seterusnya.
“Untuk menyumbang boleh layari pautan https://yikhlas.news/kasihramadan atau terus hulurkan sumbangan ke akaun bank YI (Maybank) 562834636228 di bawah rujukan kasihramadan23,” katanya.
Dalam pada itu, sejak ditubuhkan pada 5 Mac 2009, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini terus berbakti meringankan kesusahan mereka yang memerlukan.
Ditubuhkan mengikut Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 (Akta 258), yayasan ini cukup sinonim membantu golongan anak yatim, orang kurang upaya (OKU), fakir dan mereka yang dilanda musibah serta malapetaka.
Malah di samping itu, yayasan yang berpaksikan empat teras iaitu komuniti, pendidikan, kesihatan dan pengurusan bencana ini turut menawarkan biasiswa atau insentif kepada individu mahupun berkumpulan bagi kerja pelajaran dan pendidikan di Malaysia.
Hingga kini sejak penubuhannya, Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin selaku Pengerusi YI berkata, seramai 385,904 orang dan 29 agensi kerajaan sudah menerima manfaat dan bantuan yang disalurkan.
“Mereka yang dibantu termasuklah pesakit COVID-19, anak yatim, masyarakat pedalaman berbilang kaum dan agama di semenanjung termasuk Sabah serta Sarawak.
“Tak lupa pesakit Cerebral Palsy, OKU, ibu tunggal, mangsa kebakaran, mangsa banjir, pelajar universiti, bekas atlet, bekas wartawan dan ramai lagi.
“Kita mahu terus berbakti menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan. Malah misi kita mahu menjadi sebuah yayasan global yang memberi perkhidmatan tanpa batas waktu dan tempat menjelang 2030,” katanya.
Projek YI rata-ratanya digerakkan menerusi 5783 sukarelawan berdaftar di lapan cawangan negeri termasuk di Ipoh (Perak), Kuching (Sarawak), Sandakan, Semporna dan Kota Kinabalu (Sabah), Bangi (Selangor), Alor Setar (Kedah) selain Johor Bahru.
“Menariknya, YI turut menubuhkan Civil Defence Emergency Response Team (CDERT) di bawah Angkatan Pertahanan Awam (APM) sejak 2019. CDERT YI turut melaksanakan Psychological First Aid (PFA) dengan pelaksanaan Modul Kit Emosi di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Malah turut berjaya memasuki sekitar 42 kawasan bencana banjir membabitkan aktiviti PFA selain pembersihan rumah mangsa banjir, mengagihkan dapur memasak dipanggil Dapur Ikhlas serta sumbangan barangan kepada mangsa banjir.
“Pembabitan sukarelawan membabitkan seramai 604 orang rakyat Malaysia termasuk pempengaruh dan artis seperti Bell Ngasri, Farah Lee, Alif Teega, Aisyah Hijanah dan ikon Kementerian Belia dan Sukan, Muhammad Haziq Abd Rahim,” katanya.