Sanggup Belanja Besar Untuk Ibu & Bawa Ke Mana Saja, ROHANA IBRAHIM Syukur Anak Kenang Jasa!

Rezeki Rohana Ibrahim.. dikurniakan anak seperti Shiha Zikir yang tidak pernah putus memberi kebahagiaan kepadanya. Walau bergelar selebriti, anak bongsu daripada tiga beradik itu sedikit pun tidak berasa malu membawa Rohana menghadiri setiap show yang diterima. Paling menyentuh hati, Shiha sanggup berbelanja besar semata-mata mahu memberi keselesaan kepada ratu hatinya itu. Alahai, sejuk perut ibu mengandung!

Ditemui ketika menemani Shiha untuk program The Stage Media Hiburan, ibu berusia 60 tahun ini meluahkan rasa syukur kerana punya anak yang cukup prihatin. Mengakui tidak pernah memaksa Shiha untuk membawanya ke mana saja, Rohana yang merupakan ibu kepada tiga orang anak menjelaskan semua itu adalah kerelaan hati Shiha sendiri yang mahu sentiasa melihat dan berada di sisi ibunya setiap masa. Tanpa berselindung, dia membuka bicara.

“Bukanlah kata nak puji anak sendiri tapi iyalah mana-mana ibu pun akan rasa bertuah kalau ada anak macam dia sebab Shiha ni apa-apa yang dia buat mesti dia pentingkan kita (ibu) dulu. Misalnya kalau ada show

yang kata tak boleh bawa mak, memang dia tolak walaupun bayarannya tinggi. Itu yang saya perasan tentang Shiha.. dia ada prinsip dia sendiri. Aunty pernahlah juga datang ke satu show ni. Bila dah sampai, mereka tak bagi masuk.. katanya orang pakai tudung tak boleh masuk dan macam-macamlah aunty pernah kena.”

 

Mendengar pengakuan ibunda tersayang, Shiha yang duduk di samping ibunya terus mencelah. “Bila jadi situasi macam tu, kita mula fikir sesuatu dan rasa tak best. Sampai pertengahan show tu baru saya sedar ia bukan persembahan dinner ‘biasa-biasa’ sebaliknya ada acara yang bertentangan dengan agama kita. Tanpa fikir panjang, saya terus panggil kawan saya yang juga penyanyi datang gantikan persembahan dan terus tinggalkan show. Memang saya kena ugut masa keluar dewan tapi kalau nampak botol arak depan mata, saya akan stop.”

Meskipun nama Shiha Zikir tidak begitu popular dalam industri muzik tanah air namun ia bukan halangan bagi penyanyi berbakat besar ini. Katanya, bukan populariti yang menjadi ukuran sebaliknya penglibatan Shiha dalam arena muzik adalah kerana minat.

“Dengan Shiha ni kita tak boleh merungut apa. Kalau cakap sedikit je ‘Eh, cantiklah barang ni’.. esok mesti dapat. Pemberian paling bernilai yang Shiha hadiahkan ialah kereta Vellfire. Tak minta pun sebab dah ada kereta tapi dia takut aunty

tak selesa bila selalu ikut dia jalan jauh. Bab hadiah hari jadi, tiap-tiap tahun mesti dia bagi barang kemas,” jelas ibu Shiha yang menggemari barangan kemas.

Tambahnya lagi, “Dia anak yang sangat bertanggungjawab. Tak boleh dengar kita susah. Kalau kita termenung, dia akan cepat-cepat tanya ada Shiha buat salah ke. Kalau ada mak beritahulah jangan simpan-simpan. Sampai macam tu sekali dia takut buat kita terluka. Sejujurnya, Shiha ni akan yang paling senang nak besarkan. Bahkan masa dia kecil lagi dia dah jadi anak yang baik. Ingat lagi masa bersalin dulu, ibu-ibu yang bersalin sama hari macam aunty tak boleh tidur sebab anak mereka menangis tapi Shiha tak.

Nurse pun jadi pelik suruh aunty tengokkan dia sebab lena tidur. Masa Shiha baru berusia 15 hari, dia pernah hanyut atas tilam di rumah sebab hujan tak henti-henti. Bila terjaga, tengok-tengok dia dah dekat pintu. Rumah banjir dan nasib waktu tu malam dan pintu rumah tutup. Waktu dia baru berjalan umur setahun setengah, dia pernah lemas dalam baldi di bilik air sampai muka jadi biru. Sebab kejadian tu.. sampai sekarang dia takut air. Dari dia kecil, arwah bapa dia yang perasan bakat menyanyi Shiha tapi tak kesampaian tengok anak dia berjaya seperti hari ini.”

Mula menyanyi seawal tahun 2010, Shiha nyata bersyukur dengan limpahan rezeki yang diterimanya walaupun sedar tidak mencapai puncak populariti seperti artis popular lain. Pun begitu, dia selesa dengan kejayaan yang diraih sekarang. “Saya sedar populariti tu perlu tapi tak terdesak sampai hendak create story kontroversi untuk popular. Alhamdulillah, rezeki saya cukup mungkin sebab saya jaga mak dari dulu lagi sejak arwah bapa meninggal tahun 2008. Orang fikir dia ni tak popular sangat tapi rezeki saya cukup. Tiap minggu ada saja jemputan persembahan dinner dan rezeki cukup untuk menyara ibu, bayar duit kereta, rumah dan sebagainya.”

Nona percaya rezeki yang diterima Shiha berkat doa dan keikhlasannya membahagiakan hati insan bergelar ibu. Moga kasih sayang Shiha menjadi inspirasi kepada semua wanita agar terus menghargai jasa ibu yang melahirkan kita ke dunia.

 

 

 

Share
Published by
Suzi