Gerakan anti-vaksin masih lagi wujud. Berbekalkan ilmu yang dangkal dan tak seberapa, macam-macam sharing mereka yang ‘mengharamkan’ suntikan imunisasi itu sampai ke anak masing-masing.
Tak cukup tu, degil pula nauzubillah! Nona rasa golongan ibu bapa yang memilih untuk menolak vaksinasi ini adalah golongan yang paling tak sayangkan kesihatan anak.
Perkongsian daripada Dr. Taufiq Razif ini menerusi Facebook beliau menarik perhatian kami. Sebagai bapa, bayangkan beliau sendiri yang merupakan seorang doktor perubatan mencucuk jarum suntikan imunisasi pada anak kesayangan mereka. Bravo doc!
Saya ingat lagi pengalaman pertama kali vaksin anak sulung saya tu. Saya dan isteri sendiri yang sediakan ubat demam untuk anak saya takut-takut anak saya demam lepas kena cucuk!
Alhamdulillah syukur anak sulung saya tu takde demam pun lepas vaksin tu. Jujur saya faham je perasan ibu muda yang baru pertama kali nak vaksin anak kan. Takut anak demam dan takut anak sakit kan. Saya dan isteri pun sama je dengan ibubapa yang lain masa mula-mula nak vaksin anak sulung dulu walaupun kami berdua doktor.
Keluarga saya sendiri pun ada yang anti sangat dengan vaksin tapi bila anak dia asyik sakit je dan dia sendiri sedar yang anak dia lemah nak berhadapan dengan dunia luar yang penuh dengan kuman yang berbahaya maka dia pun ubah fikiran untuk vaksin anak dia. Alhamdulillah anaknya sekarang sihat walafiat dan cerdik sangat.
Masa lepas vaksin tu saya sendiri yang sediakan ubat paracetamol untuk anak saya kot la dia demam kan. Memang risau la sikit kan tapi bila pandang mata comel anak sulung saya tu saya jadi sayu je. Saya lebih risau kalau dia tak divaksin!
Kenapa?
Bahaya vaksin ni bukan main-main. Berpuluh jenis kuman dahsyat yang berlegar dalam masyarakat kita boleh serang anak kita bila-bila masa je. Saya nasihat bukan sebab saya baca buku teks je bahaya tak vaksin ni tapi saya tengok dengan mata kepala saya sendiri antaranya :
Ads
(a) Tetanus
Masa ni saya pelajar perubatan lagi. Ada sorang pakcik datang ke wad kecemasan dengan badan kaku seluruh tubuh. Ingatkan kena serangan strok kan. Tiba-tiba je pakcik tu menggelupur kejang dan badannya jadi lurus dan kaku dan badan dia mengeras macam papan!
Rupanya tengah kena serangan tetanus ataupun masyarakat kita biasa sebut kancing gigi akibat terpijak paku berkarat kat sawah dia. Entah apa la nasib pakcik tu sekarang.
(b) Batuk kokol / Pertussis
Kalau korang tengok bayi yang kena pertussis ni kan mesti korang menangis sebak. Bayi yang kena batuk kokol ni menangis pun susah sebab asyik duk batuk. Ada tu sampai biru tak boleh bernafas sebab batuk tak berhenti!
Ads
(c) Difteria
Kalau masuk je kes difteria ni mesti semua perawat dan petugas hospital terpaksa pakai mask sebab penyakit ni sangat la berjangkit! Saya sendiri pernah periksa mulut pesakit difteria ni dan nampak ada macam benda warna kelabu (pseudomembrane) melekat dekat dengan anak tekak dia.
Jangan main-main dengan benda tu. Sekali benda tu tertelan masuk dalam perut boleh mati anak kita tau sebab dalam tu ada toksin yang sangat berbahaya.
Jadi saya harap kepada ibubapa kat luar sana yang taknak vaksin anak, fikir la dalam dalam dan fikirkan jugak keselamatan anak kita yang kita sayangi tu. Ni saya nukilkan pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Zulkifli bin Mohamad Al Bakri daripada Irsyad Al Fatwa beliau sendiri ;
“Dalam hal ini Islam amat menitikberatkan keselamatan umat manusia. Sesuatu perkara yang hendak dilaksanakan untuk maslahah ummah hanya diperakukan oleh syarak sekiranya tidak bercanggah dengan Maqasid Syar’iyyah iaitu menjaga agama, nyawa, aqal, keturunan dan harta. Menurut fuqaha’, sebarang penyakit perlu dihindari, dirawat dan diubati. Dalam konteks ini pencegahan daripada sebarang bentuk gejala yang boleh menjejaskan kesihatan dan nyawa adalah menjadi pegangan dan keutamaan ajaran Islam.”
Semoga dengan pencerahan ini kita tidak ragu lagi dalam mengizinkan penggunaan vaksin oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk maslahat dalam kalangan kita.
Ads
Jadi, jom kita vaksinkan anak tanpa ragu-ragu lagi. Saya pun nak amik vaksin pneumococcal untuk anak saya jugak lepas ni. Jom!
Tun Dr. Siti Hasmah
Kisah vaksin juga mengingatkan Nona dengan pertemuan kami dengan Tun Dr. Siti Hasmah sewaktu penggambaran cover Nona Jun 2016. Wanita tua tapi berjasa besar pada negara itu sempat menyampaikan amanatnya buat ibu bapa Malaysia.
“Jujurnya saya sangat bimbang dengan ‘keberanian’ ibu bapa sekarang yang mempersoalkan keselamatan dan keberkesanan vaksin, terutamanya apabila penyakit yang dicegah sudah terkawal.
Sewaktu masih bertugas dulu, kami bersungguh-sungguh memperjuangkan program pemberian imunisasi. Dan usaha itu berhasil mencegah kes batuk kokol, difteria dan polio pada kanak-kanak di bawah 1 tahun.
Usaha itu tidak harus berhenti. Saya mahu menasihatkan semua ibu bapa supaya JANGANLAH mengelak daripada vaksin demi kesihatan anak-anak. Jangan tunggu sehingga musibah melanda, barulah mahu bertindak,” pesannya serius. Norzalina Mohd Alias
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Wanita inspirasi ramai! Puan Sri To’ Puan Datuk Proff. Dr. Shariffa Sabrina Syed Akil sememangnya wanita lincah dan serba boleh. Meniti usia lewat 50an, beliau tidak menjadikan faktor umur sebagai penghalang untuk kekal cergas, aktif sebagai aktivis dan menggapai sebanyak mungkin kejayaan.
Sebaliknya, Puan Sri Shariffa Sabrina menggunakan kelebihan yang ada untuk terus berbakti kepada masyarakat. Bukan hanya dalam usaha memelihara alam semula jadi, tetapi juga sebagai usahawan wanita berjaya.
Sepanjang mengenali personaliti ini beliau seorang yang mesra, merendah diri dan cantik dalam kelas tersendiri. Selain memiliki aura sebagai pemimpin, Puan Sri Shariffa Sabrina yang dilahirkan di Pulau Pinang pernah memegang jawatan Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) selama 12 tahun.
Kecintaannya terhadap kehijauan alam sekitar jelas terbukti apabila dia berupaya menjadi orang penting PEKA dalam tempoh lebih sedekad!
Baru-baru ini, Puan Sri Shariffa Sabrina melakar satu lagi pencapaian membanggakan selepas menerima anugerah Inspirational Company menerusi empayar miliknya, Tanah Aina Sdn Bhd dari The Bizz Hybrid Awards.
Kongsinya, “Being recognised and appreciated by international bodies. Tanah Aina is being chosen mainly for its preservation, conservation and protection of Mother nature.”
Di samping mempunyai kelulusan dalam bidang pastri dan kecergasan, beliau juga merupakan pemilik kafe, restoran, pusat kecergasan dan eco resort Tanah Aina.
Puan Sri Shariffa Sabrina menubuhkan Tanah Aina Resorts yang terletak di Pahang dan Johor selepas mengasaskan PEKA dalam usaha memupuk kesedaran orang ramai mengenai keindahan flora dan fauna di Malaysia.
Bergelar ibu lima anak dan nenek kepada enam orang cucu, penampilan Puan Sri Shariffa Sabrina yang sihat bertenaga sentiasa menjadi perhatian ramai. Mana tidaknya, beliau mengamalkan gaya hidup aktif dengan melakukan pelbagai jenis sukan. Antaranya termasuklah berbasikal, berenang dan berlari.
Moga kejayaan, usaha murni dan kehidupan bahagia Puan Sri Shariffa Sabrina menjadi pembakar semangat buat ramai kaum wanita untuk melakar pelbagai kejayaan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Wanita yang hebat adalah wanita yang tahu apa yang diingini di dalam kehidupan. Bukan sekadar memiliki objektif bahkan menyumbang kepada pembangunan insan di sekeliling. Tidak kiralah apa pun latar belakang keluarga, ia bukan menjadi satu jaminan atau tiket yang pantas untuk berjaya. Biarpun beliau berdarah keturunan diraja dari kerabat Negeri Sembilan ia langsung tidak memberi kelebihan kepadanya dalam mendaki tangga kejayaan sebaliknya usaha yang tidak kenal erti lelah dan juga kesungguhan yang tinggi menjadi kunci kepada kehidupan yang lebih baik.
Boleh ceritakan mengenai perjalanan kerjaya anda?
Sebaik sahaja tamat pengajian di peringkat diploma, saya terus mencari pekerjaan dan alhamdulillah ketika itu saya diterima bekerja di IBM Malaysia. Kemudian saya bertukar kerjaya di dalam bidang penyiaran radio di bahagian pemasaran bersama dengan Media Prima Berhad dan ketika itu radio hot.fm baru sahaja dilancarkan jadi saya diletakkan dalam posisi untuk membangunkan jenama ini. Sepanjang bekerja di sana tidak dinafikan saya menimba begitu banyak pengalaman dan bertemu ramai orang. Dari satu acara ke satu acara dan semuanya begitu menyeronokkan namun lama kelamaan saya mula terfikir bahawa kalau saya terus dengan kerjaya ini mungkin saya tidak mampu memperoleh pendapatan yang tinggi. Kalau nak tahu selepas menceburi kerjaya ini saya pernah menyertai multi level marketing dan bermacam-macam lagi jenis kerjaya yang saya rasakan boleh memberi keuntungan namun semuanya tidak membuahkah hasil sehinggalah saya menceburkan diri dengan Public Mutual. Bermula pada tahun 2010 saya bermula dari bawah dan belajar selok-belok dunia pengurusan kewangan ini dengan mereka yang lebih senior.
Kalau nak tahu, untuk berjaya di dalam Public Mutual bukanlah mudah, sebaliknya ia memerlukan sikap yang positif dan minat yang tinggi. Selain itu seseorang perlu suka cabaran dan apabila berdepan dengan klien berpotensi kita harus mempersiapkan diri dengan segala maklumat. Caci dan maki daripada mentor adalah perkara biasa, namun saya faham bahawa mereka mahu menolak saya untuk menjadi seorang insan yang lebih kuat dan cabaran serta dorongan mereka itu saya ambil dari sudut positif. Alhamdulillah, gaji pertama saya sebagai Perunding Unit Trust mencecah RM6000, mungkin kedengaran tidak banyak tetapi percayalah saya cukup bersyukur dan gembira. Sebelum ini menerusi pekerjaan lain gaji saya tidak sampai pun sebanyak itu. Jadi ini menaikkan lagi semangat saya untuk berjaya di dalam bidang ini. Dari jawatan Perunding Unit Trust saya sedikit demi sedikit mendaki tangga kerjaya dengan bergelar Agency Supervisor kemudian naik sebagai Agency Manager sehinggalah bergelar Group Agency Manager kepada kumpulan saya sendiri sehingga kini.
Pernahkah orang lain merendah-rendah pilihan kerjaya anda?
Pernah! Bukannya orang luar, orang terdekat dengan saya pun merendah-rendahkan jalan kerjaya yang saya pilih. Ada yang pernah mempersoalkan boleh kaya ke sebagai seorang Perunding Public Mutual. Lebih teruk dari itu saya dipandang kecil sahaja berbanding orang lain. Tetapi saya langsung tidak mengambil peduli apa tanggapan mereka. Saya sesekali tidak mahu bersikap kurang ajar, jadi saya hanya mendiamkan diri. Perkara ini menjadikan semangat saya lebih kuat untuk berjaya. Sesungguhnya percaturan rezeki Allah untuk hambanya yang bekerja keras sangat besar. Kini apabila sudah berjaya orang yang dahulunya memperkecilkan saya sudah tidak boleh merendah-rendahkan diri ini. Jauh di sudut hati ini, saya serba sedikit berterima kasih kerana merekalah yang menjadikan saya seorang wanita yang kental untuk mencapai impian
Boleh kongsi tiga tip untuk menjadi orang berjaya?
Tiga perkara yang perlu ada untuk jadi orang berjaya ialah rajin, impian dan juga doa. Pertama kita perlu rajin berusaha, kalau kita malas bagaimana kita hendak berjaya bukan. Hanya orang yang rajin sahaja mampu menjalankan tanggungjawab dan tugasan dengan baik. Yang kedua pula impian, kalau rajin sahaja tetapi tiada impian pun tidak berguna juga. Jadi kita perlu tetapkan satu set di dalam minda apa yang kita mahukan, jadi kita perlu kejar impian tersebut. Yang terakhir sekali ialah kuasa sebuah doa. Jangan pernah pandang enteng terhadap kuasa sebuah doa, InsyaAllah jika kita rajin berdoa kepadaNya dia akan memakbulkan permintaan tersebut. – Fiezreen Ahmad
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Setiap anak pasti menjadikan ibu mereka sebagai sosok inspirasi dalam kehidupan. Tidak terkecuali, Lisdawati Nazaruddin yang mengagumi dan menghargai jasa ratu hati kesayangan hingga ke saat ini.
Sejak kecil dia menyaksikan pengorbanan ibu tersayang iaitu Risda Calidi yang kini berusia 69 tahun bersengkang mata menjahit telekung demi menyara mereka sekeluarga.
Lisdawati atau nama penuhnya Nisdawati Nazaruddin dalam temu bual bersama Nona ketika Majlis Pelancaran Reka Bentuk Muka Baharu ‘Maharani’ jenama telekung Siti Khadijah terbuka berkongsi sisi kehidupannya yang membesar sebagai anak tukang jahit satu ketika dulu.
Lisdawati Kenang Pengorbanan Ibu Jahit Telekung
“Mak saya pun dulu tukang jahit telekung. Saya membesar dari saya kecil iaitu dari sekolah rendah sampai saya habis belajar, mak masih lagi jahit telekung. Waktu saya dah berjinak-jinak dalam kerjaya lakonan, mak dah kurang menjahit sebab dah ada teknologi dari kilang China yang buat jahitan sulam.”
Ujar pelakon jelita ini, waktu kecil mereka hidup dalam keadaan susah. “Eh, susah sebab tu saya masih bekerja sebab saya rasa saya masih ada tanggungjawab lagi yang perlu menyara mak saya.
Apatah lagi dalam adik-beradik, alhamdulillah rezeki lebih berpihak kepada saya. Jadi saya anggap rezeki yang Allah bagi kepada saya tu adalah rezeki untuk dikongsi bersama ahli keluarga.”
Akuinya lagi, telekung yang dijahit ibu tersayang memiliki nilai sentimental tersendiri dan masih menjaganya dengan baik.
“Saya kena simpan ia elok-elok dan pakai sekali-sekala supaya nampak masih baru walaupun dah lama.”
Mengulas mengenai perubahan dirinya selepas menjadi duyufurrahman pada tahun 2023, ibu empat anak ini tersenyum sambil menyusun bicara.
“Bila kita tahu perjalanan hidup kita adalah kematian, jadi dari situ saya memikirkan bahawa hidup ini sementara. Saya perlu penuhi dengan perkara-perkara yang mendatangkan faedah.
Contohnya mendekatkan diri dengan Allah. Apa yang Allah suka kita buat. Maknanya perbanyak perkara-perkara yang baik. Walaupun kita tahu diri kita macam mana. Perlu berusaha untuk jadi hambanya yang baik.”
Pada 1 Julai 2024, suami Lisdawati yang juga pelakon Fauzi Nawawi berjaya menamatkan pengajian dan meraih Diploma Kemahiran Malaysia di Meatech Creative Academy. Selaku isteri sudah tentu selebriti berusia 47 tahun ini berbangga dengan pencapaian insan kesayangan.
“Alhamdulillah dia dibantu juga dengan anak-anak yang masa tu anak pertama dan ketiga masing-masing ada degree. Jadi merekalah beri semangat untuk ayah dia habiskan pengajian. Ia juga sebagai tanda dorongan untuk anak-anak lain jadikan kejayaan tersebut cabaran untuk berjuang dan terus belajar.”
Diaju sama ada dirinya juga akan mengikut jejak langkah suami untuk sambung pengajian, ini jawapan Lisdawati.
“Angan-angan ada tapi banyak perkara perlu dititikberatkan. Fokus saya memang lebih kepada suami dan anak-anak. Jika ada peluang dan diizinkan, saya mahu sambung belajar dalam jurusan psikologi.
Saya minat psikologi sebab anak-anak sekarang banyak terdedah kepada alam maya. Saya kena pantau anak-anak supaya mereka tahu apa yang boleh atau tidak. Nak marah sangat tak boleh, risau mereka curi-curi buat pula.
Pendekatan yang saya buat ialah ada bersama mereka dan jadi kawan mereka supaya anak-anak tahu kita sentiasa ada untuk bantu dan pantau sebab kita sayang.”
Lisdawati mendirikan rumah tangga dengan Fauzi Nawawi pada 9 September 2007 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Nur Aina Farhana, Nur Aina Fazneesya, Ahmad Nur Fyrdaus dan Ahmad Nur Fayyadh.
Empat anak hasil perkahwinan Fauzi yang terdahulu ialah Nurul Hainil Fatihah, Hanna Faresha, Mohd Fikri Hakimi dan Muhammad Fareez Hazwan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.