Selepas tidak berjaya merangkul pingat di Olimpik Tokyo 2020, atlet terjun Nur Dhabitah Sabri menebus kekecewaan itu dengan membawa pingat emas buat negara dalam temasya Sukan SEA Hanoi semalam. Lebih manis, ia merupakan emas pertama buat Malaysia!
Dhabitah memberi khabar gembira itu selepas mengungguli saingan acara 1 meter papan anjal individu wanita. Penerjun berusia 23 tahun itu nyata sukar digugat apabila mengumpul keseluruhan 290.45 mata di Pusat Akuatik My Dinh.
Ketika ditemu bual media, Dhabitah sempat meluahkan rasa gembira selain mahu menjadikan kejayaan tersebut sebagai sumber inspirasi kepada barisan atlet yang lain.
“Saya harap dengan sumbangan ni boleh bagi semangat lagi kepada atlet lain untuk work hard and get gold medal. Because I know it’s not easy, but I hope
dengan sumbangan ni saya boleh bagi mereka semangat.”Mengikuti rapat di belakang Dhabitah ialah rakan sepasukannya, Kimberly Bong yang meraih perak dengan kutipan 230 mata.
Selain acara 1 meter papan anjal wanita, Dhabitah juga akan bergandingan bersama Dato’ Pandelela Rinong Pamg dalam acara 10 meter platform seirama wanita susulan kekosongan ditinggalkan bekas penerjun, Datuk Leong Mun Yee yang bersara pada Disember tahun lepas.
Pada temasya Sukan SEA Hanoi di Vietnam ini, Dhabitah dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang kerana pencapaian atlet muda ini yang berjaya menampilkan aksi cemerlang di Olimpik Tokyo 2020.
This website uses cookies.