Jika anda pengemar hidangan kaum Cina seperti Dim Sum, Ladu dan seakannya, namun kesukaran menemui restoran yang benar-benar halal membantutkan rasa, The Qing adalah pilihan yang kena. Berlatarbelakang fasad ala Dinesti Maharaja Cina, pasti buat anda teruja.
Kombinasi hidangan menyelerakan, atmosfera tenang lagi mendamaikan, menjadi faktor utama The Qing menjadi pilihan. The Qing, yang terletak di Chow Kit menawarkan variasi menu bukan sekadar ladu serta dim sum lazat, namun lebih lagi dengan suntikan suasana Chengdu moden yang pasti mengujakan.
Sebaik saja kami melangkah ke perkarangan The Qing, dah membuatkan kami terpesona. Fasad ala-ala Dinasti Cina dengan pokok-pokok bonsai serta laluan kaki bermaterialkan kayu jati dengan pelbagai aspek tradisional lain, sungguh kami rasakan ketenangannya walaupun lokasinya terletak di tengah-tengah ibu kota.
Menawarkan pengalaman menjamu selera yang pasti sukar ditemui di mana-mana restoran Cina Halal seangkatan dengannya, kami tertanya-tanya bagaimana terciptanya idea membangunkan restoran seperi The Qing ini. “Pada mulanya, ideanya adalah mencipta restoran warisan dengan dalaman moden, tetapi semuanya berubah selepas saya pulang bercuti dari negara China”, jelas pemilik dan pengasas The Qing, Mr. Chan Wai Keong.
Menjadi kebiasaan restoran Cina selalunya sibuk, bising dan meriah, namun bagi menampilkan sedikit kelainan, idea konsep santapan mewah ala raja untuk pengunjung bercitarasa tinggi menjadi pilihan beliau dalam memastikan setiap rakyat Malaysia pulang dengan pengalaman yang tidak dapat dilupakan sementelah melawat The Qing.
Di perkarangan sudah cukup menyejukkan mata, suasana di dalam juga tiada bezanya. Dengan tempat duduk beralaskan kulit kulit dengan warna biru nilam, latar dinding berwarnakan simbolik unsur bunga dalam budaya Cina, serta pokok bonsai yang dipercayai aura dalam membangkitkan semangat, mewujudkan keseimbangan yang harmoni, pasti menyejukkan mata yang memandang.
Beralih pula pada ruang tempat duduk di tingkat atas, mampu memuatkan kira-kira 40 orang, kami cukup terpesona dengan figura ikan emas bercahaya terapung di siling restoran. Pelbagai pilihan tempat duduk dari persendirian sehingga ke meja bulat dilengkapi dengan pencahayaan mewah yang menyinari segenap ruang.
HIDANGAN TRADISI DENGAN INJEKSI MEWAH
Indah dalam dan luar, The Qing semestinya tarikan terbaru pusat bandar Kuala Lumpur. Pilihan dim sum menjadi antara daya penarik, dengan gabungan mewah dan sentuhan tradisional pastinya buat anda terliur. Rasakan sendiri Trufel Siew Mai Hitam (RM30), Ladu Udang Kukus Dengan Kaviar (RM40), dan Ladu Berbentuk Ikan Emas yang digabungkan bersama dengan itik salai yang enak (RM16), memang sedap tak terkata!
Yang menariknya, memandangkan semua hidangan yang dijamu bebas daging khinzir, The Qing adalah untuk semua. Visinya satu, mengalu-alukan setiap lapisan masyarakat Malaysia untuk menikmati makanan istimewa serta tradisi kaum Cina tanpa ragu-ragu yang semestinya tidak boleh anda lepaskan.
Sukar untuk kami katakan tidak, apatah lagi memilih hidangan lain yang sememangnya enak. Mangga Gulung bersama Lapisan Udang dengan Mango Dressing (RM18) adalah salah satu kegemaran pada hari itu. Rangup dan garing di luar, gigitan ladu goreng dengan limpahan krim mangga mengimbangi hidangan dengan sedikit perahan. Memang sedap!! Kami juga berkesempatan untuk merasai sendiri Roti Ayam Bakar Rangup BBQ (RM18) dengan kepingan ayam bersalut, di dalam roti yang hangat dan gebu.
Jika anda mengunjungi The Qing, usah ketinggalan menikmati kombinasi Trio Dim Sum (RM25). Terdiri daripada tiga variasi kepingan dim sum klasik, dengan beberapa bahan tambahan istimewa, pastinya deria rasa anda dibuai ibarat berada di kayangan.
Kesimpulannya, The Qing adalah lebih daripada sekadar restoran bagi menikmati pilihan dim sum bebas daging khinzir, namun ia lebih pengalaman mengisi mata dan perut. Dengan persekitaran yang anggun dan tersusun, anda dan keluarga pasti ingin bersantap lagi ke sini.
Selain daripada pelbagai pilihan dim sum, terdapat juga menu makan tengah hari yang ditetapkan pada setiap hari bekerja (RM78 per pak) dan pilihan makan tengah hari set premium (RM98 per pak). Sekiranya hidangan cina menjadi pilihan, The Qing kami sarankan.
Alamat: 26, Jalan Kamunting, Chow Kit, 50300 Kuala Lumpur, WPKL.
Waktu operasi:
This website uses cookies.