Untung Sasha Saidin dikurniakan anak prihatin macam Adam Arya. Walaupun baru nak menginjak usia 9 tahun beberapa hari saja lagi, tapi kelakuan kanak-kanak comel ini sangat mengharukan. Dah macam orang dewasa! Mungkin sebab terlalu risau dengan kesihatan ibu tersayang kebelakangan ini. Sampai dia sanggup jadi ‘doktor peribadi’ Sasha terutamanya dalam bab berkaitan pemakanan.
Menerusi posting yang dikongsikan Sasha, Adam menyenaraikan menu diet sihat khusus buat dirinya. Lengkap dengan minuman dan hidangan pencuci mulut atau snek lagi. Macam admitted di hospital pula, kan? Jelas Sasha, semua ini disebabkan insiden yang dialaminya tidak lama dulu.
“Beberapa hari lepas saya pengsan. Tapi nasib baik waktu tu ada di rumah. Perkara terakhir yang saya ingat masa tu bila saya beritahu my mum tentang kek hari jadi Adam Arya. Sedar-sedar je saya dah ada atas lantai. Dengan kepala yang masih sakit.. saya tanya my mum apa yang berlaku.
Kali terakhir saya pengsan kira-kira empat tahun lepas dan beberapa kali ketika masih bersama ELITE. Sebenarnya saya menghidap anemia yang juga penyakit keturunan keluarga sebelah my mum. Sebab itu saya mudah mengalami pening kepala dan kebiasaannya saya akan bawa makanan yang manis untuk kawal daripada pengsan. Tapi kejadian yang berlaku kali ini disebabkan sikap sambil lewa saya walaupun dah nampak simptom ‘amaran’ terutamanya bila banyak sangat benda nak fikir.
Alhamdulillah, saya dah beransur baik cuma terpaksa membatalkan beberapa undangan pertunjukan fesyen di luar negara atas nasihat doktor. Apa-apa pun jangan risau sebab Adam Arya sentiasa ada di sisi dan rajin menyediakan menu diet harian saya seperti yang dikongsikan ini.”
Buat Sasha, jaga diri baik-baik dan amalkan pemakanan sihat lebih-lebih lagi yang mampu menaikkan hemoglobin dengan mengambil makanan yang mengandungi zat besi seperti bayam, kerang, hati ayam, daging merah dan kekacang. Elakkan juga daripada terlalu kuat bekerja dan memikirkan hal-hal yang dirasakan tidak perlu.
Sumber: Instagram Sasha Saidin
Sudah Terhantuk Baru Terngadah, Tragedi Kebakaran Di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Patut BUKA MATA Semua Pihak
Jangan menunggu tua, tidak mustahil kita akan mati muda…
Sudah terhantuk baru terngadah. Tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah semalam cukup menggemparkan negara apabila 22 pelajar dan dua gurunya maut terbakar.
Meneliti semua laporan berita yang mengisi newsfeed Nona hari ini, diperhatikan wujud beberapa pihak yang masih menuding jari ke arah satu sama lain. Daripada isu bangunan yang tak mengikut piawaian, kecuaian dan khianat sehingga pertikaian isu kredibiliti tenaga pengajarnya, semua seakan mencabar takdir yang telah ditentukan-Nya.
Guru mana yang sanggup melihat anak-anak didiknya ditimpa tragedi sedahsyat ini? Tidak ada.
Sebagai orang luar yang mengikuti perkembangan kes ini dengan begitu rapat, Nona mendoakan agar kita bertenang dan anggaplah kematian anak-anak tahfiz ini sebagai syahid.
“Kenapa orang baik-baik ramai yang pergi dulu?”
“Kalau kamu ternampak bunga yang cantik, apa kamu akan buat?”
“Saya akan petik bunga yang cantik tu.”
Begitulah, orang yang baik ibarat bunga yang cantik di taman. Disayangi Tuhan.
Mati Syahid
“Budak-budak yang masih kecil ini, kita anggap mereka mati syahid. Mereka sanggup tinggalkan ibu bapa, tinggalkan masakan air tangan bonda, adik-beradik dan masa bermain untuk tinggal di sini.
Semata-mata untuk belajar agama. Mereka ini, insya-Allah mati syahid,” kata Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Iftifaqiyyah Muhammad Zahid Mahmod.
Kebanyakan pelajar yang berusia antara 13 hingga 17 tahun sedang tidur ketika api mula marak di bangunan tiga tingkat pusat tahfiz itu kira-kira pukul 5.30 pagi semalam.
Tragedi itu meragut nyawa 22 pelajar tahfiz dan dua guru tahfiz.
Sementara itu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar ketika ditemui di sana berkata, pusat tahfiz itu tidak memiliki sijil kelayakan menduduki bangunan selain telah diubah suai daripada struktur asal.
Beliau berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat ada menerima permohonan sijil perakuan berkenaan daripada pihak pusat bulan lepas, namun masih belum diberikan kelulusan.
“Mengikut pelan asal bangunan itu, ia berkonsep terbuka, tetapi telah dibina tembok dan tidak ikut pelan asal. Bangunan ini juga belum ada kebenaran untuk beroperasi daripada pihak bomba,” katanya.
Sementara itu, Bernama melaporkan Muhammad Zahid sebagai berkata pelajar pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung di sini sepatutnya berpindah ke bangunan asal di kawasan berhampiran yang telah siap diubah suai hujung bulan lepas.
Beliau berkata bangunan tempat berlaku kejadian adalah bangunan sementara menunggu kerja pengubahsuaian yang dijangka mengambil masa setahun untuk disiapkan.
“Saya menguruskan sepenuhnya pusat tahfiz berkenaan sejak 15 tahun lepas dan berdaftar dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
“Premis berkenaan menempatkan 42 pelajar, enam guru dan dua warden dari seluruh negara manakala segala kemudahan adalah percuma menerusi tajaan penaung, sumbangan orang ramai serta MAIWP,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Beliau berkata ini merupakan kejadian kebakaran pertama kali berlaku dan kebiasaannya selepas solat Isyak dan tazkirah pelajar tahfiz akan dibenarkan berehat.
“Kebanyakan mangsa yang meninggal dunia lebih muda berbanding mereka yang sempat menyelamatkan diri. Lokasi kejadian melibatkan bilik penginapan pelajar dan mereka juga tidak dibenarkan memasak di bilik itu,” kata Mohd Zahid. Norzalina Mohd Alias
Kredit: Bernama & Sinar Harian
MARIA TUNKU SABRI Terpaksa Buang OVARI, FIBROID Sudah Membesar Sehingga 14 sm
Semalam telah berlangsungnya majlis pelancaran produk The Prime ProGiGuard kepada pihak media di Petaling Jaya. Kelibat pengacara terkenal Maria Tunku Sabri telah mencuri tumpuan media dengan pengalamannya yang cerewet tentang penggunaan tandas awam. Namun dalam riang gembira mendengar celotehnya, siapa sangka Maria Tunku Sabri telah membuang rahim atau ovarinya akibat menderita fibroid.
“Saya mula didiagnosis fibroid ketika mengandungkan anak kedua. Kedudukan fibroid yang melekat dengan ovari membuatkan doktor tidak dapat membuangnya sekali ketika saya melahirkan anak secara c-sec, kerana bimbang akan bleeding, 12 tahun lalu. Masa tu besar fibroid yang ‘menumpang’ sudah sebesar 5 sm.
Saya mengaku saya memang takut hospital. Selepas bersalin doktor minta saya datang balik untuk scan fibroid tersebut. Tapi saya takut. Pada pandangan saya jika menyerah diri ketika itu mesti doktor akan melakukan pembedahan sekali lagi. Kerana takut saya tangguh-tangguh sehingga 5 tahun lamanya. Rupa-rupanya dalam masa 5 tahun itu, daripada 5 sm sudah membesar jadi 14 sm. Besar sangat.
Bila dah besar kitaran period saya benar-benar terganggu. Dia datang sekali banyak dan berketul-ketul besar. Period saya keluar umpama air paip, keluar banyak dan berketul-ketul sehingga memaksa saya memakai adult diapers,” bicara Maria.
Menurutnya lagi, pada permulaan kehadiran fibroid ini tidak terlalu mengganggu aktiviti hariannya. Minat dan hobi yang dikongsi bersama suami, travel turut terjejas.
“Saya pernah pergi Australia dalam keadaan period. Pihak house keeping di sana tidak mahu tukar cadar akibat darah tumpah di atasnya. Saya terpaksa mencuci dan menukar sendiri cadar hotel di sana. Di Bandung pula saya memakai adult diapers tapi bocor juga dan menyebabkan darah menitis di atas lantai.
Akibat tidak tahan tengok saya suffer, husband memberi kata dua kepada saya. Kalau masih mahu travel bersama, saya mesti membuang fibroid yang telah berkembar dengan ovari. Ketika usia anak bongsu menginjak lima tahun, baharu saya mempunyai kekuatan untuk buang fibroid bersama dengan ovari sekali. Saya buang sebab sudah tidak tahan menanggung sakit dan tidak mahu menyusahkan travel buddy saya,” terang Maria yang positif walaupun sudah tidak mempunyai ovari lagi.
“Alhamdulillah selepas buang fibroid saya memang lega dan memperoleh kehidupan yang normal seperti sebelum ini. Saya tidak perlu menahan period pain sehingga terbongkok-bongkok berputar macam washing machine.
Walaupun saya tidak mampu melahirkan anak lagi tetapi saya bersyukur kerana telah memperoleh sepasang anak yang melengkapkan kehidupan kami suami dan isteri. Saya reda dengan kekurangan tetapi syukur kerana doktor tidak membuang tiub fallopian yang boleh membuat hormon saya seperti biasa. Jadi saya tidak melalui sebarang perubahan emosi atau fizikal akibat pembuangan ovari tersebut. Sebab kalau tak ada hormon kulit jadi cepat kering dan cepat tua,” tutur ibu kepada sepasang anak ini yang sulung sudah berusia 20 tahun dan sedang belajar dalam bidang perundangan. Manakala yang bongsu pula baru darjah enam.
Mangkat Pada Usia 96 Tahun, Ini Trivia Ratu Elizabeth II Yang Perlu Anda Tahu
Ratu Elizabeth II, monarki Britain yang paling lama bertakhta dalam sejarah negara itu, mangkat pada usia 96 tahun. Istana Buckingham, dalam satu kenyataan ringkas, memaklumkan kemangkatan baginda dan bermulanya tempoh berkabung selama 10 hari, ketika seluruh dunia mengucapkan takziah dan mengimbau kembali kegemilangan pemerintahan baginda.
Ratu mangkat dalam keadaan tenang di Istana Balmoral (Scotland) tengah hari tadi selepas 70 tahun bertakhta. Ratu Elizabeth, tokoh paling lama memerintah Britain dan pemerintah tertua di dunia dilaporkan menghidap ‘episodic mobility problems’ sejak hujung tahun lalu.
Kemangkatan baginda diumum sejurus selepas pihak istana semalam mengesahkan baginda gering dan doktor amat bimbang terhadap kesihatannya. Semua anak baginda, Charles, Puteri Anne, 72, Putera Andrew, 62, dan Putera Edward, 58, berkumpul di Istana Balmoral di tanah tinggi Scotland. Menyertai mereka ialah anak Charles, Putera Prince William, dan adiknya Putera Harry.
Ratu Elizabeth, dua hari lalu, menyaksikan upacara angkat sumpah Perdana Menteri baharu Britain, Liz Truss, sebagai Perdana Menteri ke-15 di bawah pemerintahan baginda dan dilihat lemah serta bertongkat, namun masih tersenyum ketika bergambar.
Trivia mengenai Ratu Elizabeth II:
1. Ratu Elizabeth II dilahirkan sebagai Puteri Elizabeth Alexandra Mary pada 21 April 1926, di London. Merupakan puteri kepada Putera Albert, Duke of York (kemudian dikenali sebagai King George VI), dan Elizabeth Bowes-Lyon.
Sewaktu zaman kecil, tiada siapa menyangka Elizabeth suatu hari nanti bakal bergelar ratu Great Britain. Dia yang diberi gelaran Lilibet menikmati dekad pertama dalam hidupnya dengan semua keistimewaan kehidupan sebagai keluarga diraja tanpa tekanan untuk menjadi pewaris yang jelas.
Apabila datuk Elizabeth George V meninggal dunia pada tahun 1936, anak sulungnya (bapa saudara Elizabeth) menjadi Raja Edward VIII. Edward, bagaimanapun, jatuh cinta dengan Wallis Simpson dan terpaksa memilih antara mahkota dan pilihan hatinya. Akhirnya, Edward memilih Simpson dan melepaskan mahkota itu.
Peristiwa itu mengubah perjalanan hidup Lilibet, menjadikannya pewaris kepada mahkota British. Ratu Elizabeth II menaiki takhta pada 8 Februari 1952 di Westminster Abbey pada usia 25 tahun selepas kemangkatan bapanya, Raja George VI, pada 6 Februari 1952. Buat pertama kalinya, upacara pertabalan disiarkan di televisyen, membolehkan orang ramai dari seluruh dunia menyaksikan kemegahan acara itu.
2.Ratu Elizabeth II berkahwin dengan sepupu jauhnya Philip Mountbatten pada 20 November 1947, di Westminster Abbey di London. Ratu Elizabeth II pertama kali bertemu dengan Philip, anak kepada Putera Andrew dari Greece, ketika berusia 13 tahun.
Ratu Elizabeth II dan Philip mempunyai 3 anak lelaki iaitu Charles dilahirkan pada tahun 1948, Anne lahir pada tahun 1950, Andrew dan Edward—masing-masing lahir pada tahun 1960 dan 1964. Pada tahun 1969, Ratu Elizabeth II secara rasmi menjadikan Charles penggantinya dengan memberinya gelaran Putera Wales.
3. Baginda mewarisi takhta UK sejurus selepas Perang Dunia Kedua, menyertai pentas dunia yang dikuasai tokoh politik seperti Mao Zedong dari China sehingga pemimpin Kesatuan Soviet, Joseph Stalin dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Dwight D Eisenhower.
4. Sepanjang 70 tahun, baginda bertakhta merentasi dua abad yang penuh pergolakan sosial, politik dan teknologi.
5. Baginda menyaksikan keruntuhan empayar British yang tersebar luas hampir ke seluruh dunia selain menyaksikan krisis Brexit dan pelbagai skandal membabitkan keluarga diraja menggugat asas kerajaan baginda.
6.Sepanjang pemerintahannya Ratu Elizabeth kekal sebagai Ratu yang popular dan bukan saja bertakhta di United Kingdom tetapi turut diiktiraf 14 bekas tanah jajahan British termasuk Australia, Kanada dan New Zealand.
7.Baginda juga adalah ketua kumpulan 56 negara Komanwel yang merangkumi hampir suku daripada penduduk dunia selain diiktiraf pemerintah agung Gereja England iaitu gereja induk bagi golongan penganut Anglikan di seluruh dunia.
8. Ratu Elizabeth atau nama penuhnya, Elizabeth Alexandra Mary Windsor, adalah satu-satunya monarki yang dikenali oleh majoriti rakyat, dengan imejnya tertera pada setem, mata wang dan syiling.
9.Baginda memerintah selama 70 tahun 7 bulan. Sebagai raja berperlembagaan, Ratu Elizabeth II tidak mengambil berat tentang hal politik dan tidak mendedahkan pandangan politiknya. Bagaimanapun, Ratu Elizabeth II kerap berunding dengan perdana menterinya.
10. Sepanjang hidupnya, Ratu Elizabeth II sering dikelilingi dengan dengan anjing. Baginda juga seorang peminat kuda yang membiak baka tulen dan menghadiri acara perlumbaan selama bertahun-tahun.
Semua stesen televisyen dan radio di UK turut berkabung dengan kemangkatan Ratu Elizabeth dengan menyiarkan pelbagai program mengimbau kembali riwayat kehidupan baginda.
Lagu kebangsaan ‘God Save the Queen’ dimainkan berulang kali, bendera dikibarkan separuh tiang manakala loceng gereja terus berbunyi bagi memperingati wanita yang pernah dikenali sebagai ‘Monarki Global Terakhir’. Tempoh berkabung kebangsaan akan diteruskan sehingga upacara awam terakhir di Westminster Abbey di tengah London.
Manakala upacara Putera Charles dinobatkan sebagai Raja Charles Ke-3, suatu amalan yang bersejarah dan penuh adat istiadat, akan diadakan di bangunan sama yang pada tarikh yang belum lagi ditetapkan.
Sumber: Biography, Reuters & AFP