Sejak kebelakangan ini, banyak konsert dari artis tempatan dan luar negara memenuhi hujung minggu rakyat Malaysia setelah lebih dua tahun tidak dapat mengadakan persembahan berskala besar akibat pandemik.
Bagaikan satu trend, konsert yang pada awalnya dijadualkan satu hari terpaksa ditambah menjadi dua hari memandangkan sambutan yang luar biasa terhadap jualan tiket.
Namun bagi bintang lagenda muzik Jazz, Dato’ Sheila Majid, 57, lebih suka penganjuran konsertnya berlangsung satu malam saja berbanding dibuat secara lanjutan untuk malam kedua ataupun ketiga.
Sheila berkata, konsert satu malam lebih istimewa kerana hanya boleh dirasai penonton pada malam itu saja dan tiada lagi selepas itu.
“Selalunya untuk konsert besar seperti penganjuran Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023 sebegini, saya lebih suka tiada malam kedua dibuat, kerana itu lebih istimewa.
“Kalau untuk konsert amal lainlah, saya mungkin boleh lakukannya untuk malam kedua atau seterusnya. Tapi, tidak bagi konsert solo saya yang dibuat atas permintaan peminat juga.
“Sebabnya, kadang-kadang kita tak boleh terlalu bercita-cita tinggi. Kalau peminat nak lagi, mereka boleh datang pada konsert seterusnya. Buat apa anjurkan dua atau tiga malam, tapi tak laku.
“Jadi siapa yang nak tengok konsert saya ini kena beli tiket cepat. Saya tahu ada yang ingat bila penganjur umumkan tiket habis, mereka tak percaya dan ingat bila pergi ke lokasi, tiket masih ada dijual lagi,” katanya ketika ditemui pada sidang media Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023 semalam.
Konsert berkenaan bakal berlangsung pada 18 Mac tahun hadapan bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Sebagai penyanyi yang telah lama berkecimpung dalam arena muzik tanahair, Sheila menjanjikan persembahan yang berbeza dari konsertnya sebelum ini apabila Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023 akan membabitkan seramai 23 orang pemuzik tempatan dengan penyusunan lagu-lagunya yang lebih segar.
JenniferThompson akan diberi kepercayaan menerajui konsert manakala Mac Chew sebagai Pengarah Muzik untuk konsert kali ini.
“Ini kali pertama saya akan menampilkan Big Band, yang mana ia (Big Band) adalah satu konsep muzik berbeza daripada apa yang pernah saya persembahkan sebelum ini.
“Saya sendiri tak sabar dan teruja nak tengok penyusunan muziknya oleh pengarah muzik, Mac Chew. Kami pastinya akan memberikan sebuah persembahan yang menarik buat penonton,” katanya yang akan membuat persembahan selama dua jam setengah.
“Sheila Majid BIG BAND Live in Kuala Lumpur 2023 ini akan mengubat kerinduan saya kepada peminat dan begitu juga buat peminat untuk kembali berhibur dengan untaian lagu-lagu yang akan didendangkan nanti.
Peminat tidak pernah berhenti memberi sokongan buat pelantun lagu Sinaran, Pengemis Muda dan Antara Anyer dan Jakarta ini untuk tersu relevan dalam industri seni meskipun sudah lebih tiga dekad mengjadi penghibur.
Ditanya mengenai persiapan dari segi stamina, penyanyi berusia 57 tahun ini sememangnya menjadikan senaman sebagai rutin harian untuk mengekalkan tahap fizikal serta menjaga kualiti suara dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang.
Kali terakhir beliau mengadakan konsert melalui Sheila Majid: The Concert Kuala Lumpur 2017 yang mana tiket habis terjual, Sheila mengakui mempunyai harapan yang sama buat konsert kali ini.
Sudah pasti para peminat Dato’ Sheila Majid tidak sabar untuk menyaksikan kelainan yang bakal dibawakan olehnya untuk konsert kali ini!
Maklumat mengenai tiket boleh diperoleh di www.Jiobuddy.asia.
This website uses cookies.