Kejelitaan aktres ini jelas terpancar lebih-lebih lagi saat bercerita tentang keluarganya. Isteri kepada pemain bola sepak Zaquan Adha ini baharu saja melahirkan anak keempatnya pada Februari lalu.
Mengimbau kisah tentang kehadiran anak ketiganya dahulu yang merupakan puteri sulungnya, Laura Zuleykha Ayu sedikit terkilan kerana tidak mampu menyusukan puterinya secara eksklusif.
“Memang saya tidak dapat menyusukan Laura secara eksklusif lagi lantaran saya terlantar sakit tempoh hari akibat apendiks. Mula-mula saya sendiri tak tahu ada apendiks kerana selama ini saya tak pernah sakit perut yang luar biasa.
Tiba-tiba saya sakit perut sehingga nak bernafas pun tidak mampu. Ingatkan saya mengandung lagi kerana rasa loya dan nak muntah. Kemudian saya muntah sehingga keluar air hijau.
Suami ajak pergi klinik dan apabila sampai klinik doktor hanya bagi ubat angin sahaja. Tapi saya tetap rasa tak selesa. Lepas suami balik daripada training, dia ajak pergi ke hospital dan akhirnya saya terus ditahan. Rupa-rupanya apendiks saya sudah pecah tanpa disedari.
Lepas pembedahan apendiks biasanya dalam dua hari sudah elok. Tapi saya masih rasa sakit. Bila doktor buat pemeriksaan nyata saya demam. So bila demam ada something wrong. Apabila buat ujian darah dan x-ray semula terdapat infeksi di paru-paru.
Ketika itu saya bagaikan di ambang maut. Terasa betapa kerdilnya kita di sisi Allah SWT. Bila-bila masa Allah SWT boleh ambil apa yang ada pada kita dan kita tak mampu nak berbuat apa-apa. Melalui ujian sebegini baharu kita sedar apa yang kita ada semua pinjaman semata-mata. Rasa syukur sangat selepas kembali sihat,” terang Ayu tentang pengalamannya selama 11 hari ditahan di wad hospital.
Ketika ditemui Ayu teruja bercerita tentang dekorasi kediamannya. “Saya gemarkan gaya dekorasi moden glam atau klasik yang gelap dan cosy. Alhamdulillah saya mempunyai cita rasa yang sama dengan Zaquan. Biasanya jika ada masa terluang kami berdua akan keluar bersama-sama untuk membeli barang kelengkapan rumah.
Zaquan ini jenis orang yang suka duduk di rumah oleh itu saya perlu pastikan dekorasi rumah umpama kawasan rehat yang sedap untuk dihinggapi,” terang Ayu.