Dalam usia semuda 35 tahun, Siti Nur’Amalina Hairuddin kini merupakan Ketua Pegawai Operasi kepada Syarikat Oasis Grande Sdn Bhd yang menaungi 13 buah syarikat dan dua badan amal kebajikan yang juga pemegang Diploma Seni Muzik dan Ijazah Sarjana Muda Muzik.
“Saya merupakan seorang guru vokal, back-up singer dan menyanyi koir yang sering terlibat dalam persembahan di dalam dan luar negara, rakaman album dan sebagainya sebelum ini.Saya juga pernah menjadi tenaga pengajar di sekolah-sekolah dan Jabatan Kerajaan serta mengendalikan kelas persendirian untuk kelas vokal. Kini, saya memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi dan Ketua Pegawai Pentadbiran dalam syarikat,” jelas Siti Nur’Amalina sambil tersenyum.
“Sebenarnya sangat besar tanggungjawab yang saya galas ketika ini. Saya perlu menjaga semua syarikat dan NGO yang telah ditubuhkan dari segi semua aspek. Ketika ini fokus perniagaan saya lebih kepada pengurusan agensi pelancongan. Syarikat kami menawarkan pakej Ibadah Umrah, pelancongan di dalam dan luar negara serta menawarkan tempahan tiket penerbangan.
Disamping itu juga, syarikat kami telah melancarkan pakej umrah mampu milik, pakej badal haji, qurban dan aqiqah untuk masyarakat di luar sana. Kini, kami sedang menyusun atur kursus-kursus umrah untuk jemaah dan modul pembelajaran bakal- bakal mutawwif ke Tanah Suci. Pada masa yang sama, salah satu syarikat kami iaitu Fresco Fresh Development Sdn. Bhd. sedang dalam perancangan melancarkan makanan sejuk beku bersama NGO dan bakal diedarkan ke masjid-masjid sekitar Kuala Lumpur bagi membantu golongan yang memerlukan.
Di bawah Oasis Global Ventures pula, syarikat kami telah menjalankan perniagaan vending machine dan menawarkan pakej untuk usahawan yang berminat. Dalam pada masa yang sama, NGO kami iaitu Persatuan Bantuan Sahabat Mesin Layan Diri (VENMA) ditubuhkan untuk usahawan mendapatkan vending machine dengan harga mampu milik serta membantu terutamanya dalam bahagian latihan, teknikal dan kerosakan pada mesin.
Bagi Oasis Mega Berhad hala tuju syarikat pula tertumpu kepada Pengurusan Korporat yang mana kami menjalankan pengurusan projek berimpak tinggi seperti projek tenaga arang batu, pembekal makanan dan lain-lain. Dan terkini, kami bakal melancarkan produk pakaian dan sandal lelaki untuk edisi Raya 2022 di bawah syarikat Oasis SA Concept Sdn. Bhd. Tidak terkecuali, syarikat Majoris Omada Sdn. Bhd. sebagai hub membantu SME dalam digital marketing dan IT platform. Apa yang saya boleh simpulkan ketika ini, saya sedang bekerja keras bersama dengan pasukan dan para pekerja bagi memastikan setiap syarikat memberi manfaat dan dapat membantu lebih ramai orang di luar sana.”
Siti Nur’Amalina terus bercerita perjalanannya dalam dunia perniagaan. “Saya mula mengenal erti berniaga sejak kecil lagi. Ketika saya berusia 6 tahun dahulu, saya sudah mula membantu ibu bapa saya berniaga di warung tepi jalan. Dari situ saya belajar cara mengira duit, mengambil pesanan, memasak dan mengemas kerusi meja. Itulah rutin harian selepas pulang dari sekolah hingga waktu malam. Tiada istilah waktu bermain untuk saya. Saya juga buat kerja sambilan menyanyi di hotel, majlis kenduri dan pelbagai majlis sehingga umur saya 17 tahun.
Kemudian rezeki saya, mendapat tawaran melanjutkan pengajian di UiTM Shah Alam dalam bidang muzik. Sepanjang pengajian, masa terluang saya dipenuhi dengan kerja sambilan menyanyi, menjadi penyanyi latar dan menyanyi koir selain mengajar vokal di sekolah dan menjalankan kelas vokal secara persendirian. Sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan orang tua saya dan membantu adik-adik yang sedang belajar juga.
Di usia yang muda, saya kemudiannya mengambil keputusan untuk berkahwin dan saya bertekad untuk berhenti mengajar dan fokus untuk membantu suami berniaga. Sebelum itu, saya pernah cakap pada diri saya, “Saya benci berniaga sebab berniaga penat dan saya dah merasa berniaga dari kecil!” Tapi sesuatu yang kita benci itulah yang kita akan dapat juga.
Saya kemudiannya mengikuti Program Inkubasi Usahawantani di UPM selama 3 bulan. Seterusnya, saya mengikuti suami yang aktif dalam perniagaan MLM dan mula fokus pada perniagaan perawatan bekam, membuka kafe siber di Bangi, Subang dan Shah Alam serta akhirnya, menjalankan agensi pelancongan sehingga sekarang.
Di sinilah saya belajar untuk memaksa diri belajar sesuatu di luar bidang kemampuan dan kebiasaan kita. Perit jerih setiap pengalaman ini mengajar saya menjadi lebih matang. Walaubagaimanapun suka duka yang saya hadapi dilalui dengan penuh kesabaran. Sama seperti usahawan yang lain, saya juga terpaksa menghentikan operasi agensi pelancongan akibat pendemik. Saya terpaksa memberhentikan pekerja-pekerja dan meneruskan perjuangan bersama pekerja yang masih sanggup bersusah senang dengan kami.
Sewaktu pandemik saya dan suami juga pernah bertukar dan mencuba perniagaan lain, ke penjualan kurma Ajwa. Kemudian saya turut memulakan perniagaan vending machine, di mana saya dihantar ke kilang untuk mempelajari selok belok vending mesin.
Saya berjaya melalui semua dengan berkat kesabaran bersama pasukan yang sanggup belajar dan mampu melakukan pelbagai tugasan dalam satu masa. Alhamdulillah, kini saya dan pasukan berjaya mengendalikan 13 buah syarikat termasuk 2 NGO yang baru ditubuhkan dalam beberapa bulan ini iaitu Persatuan Bantuan Sahabat Mesin Layan Diri (VENMA) dan Pertubuhan Sahabat Fitrah,” bicara Siti Nur’Amalina.
Namun perjalanan yang dilalui beliau tidak seindah yang digambarkan, merasa jatuh bangun dan kini bangkit kembali. “Saya pernah terduduk menangis bersama dengan suami bagaimana untuk menggerakkan jemaah umrah dan membayar gaji para pekerja. Saya bersyukur kerana Allah turunkan bantuan secara tiba-tiba dan semuanya dapat diselesaikan.
Saya yakin bahawa doa adalah satu senjata utama dalam segala urusan harian kita selain memohon doa dari ibu bapa dan keluarga kita juga. Alhamdulillah, kini perniagaan kami kian berkembang dan dikurniakan pasukan dan pekerja yang sangat membantu dan saling menyokong. Kami juga dapat membantu masyarakat di luar sana secara tidak langsung.”
Siti Nur’Amalina sentiasa percaya bahawa setiap yang terjadi mempunyai hikmahnya tersendiri. “Bila jatuh kita kena kuat untuk bangun semula. Sentiasa berfikiran positif dan yakin bahawa kita boleh berjaya jika kita tidak mencipta alasan. Saya sentiasa mendoakan semua orang tidak mudah patah semangat dan dapat terus berjaya mencipta kejayaan.
Jangan pernah berhenti mencipta impian dan jangan pernah berhenti berusaha kerana cepat atau lambat kemanisan dan kejayaan pasti akan menjadi milik kita kelak. Dan yang penting sentiasa berdoa dan mengharap pada Allah. Prinsip hidup saya, kita berniaga bukan hanya untuk mengejar nikmat dunia sahaja tetapi untuk bekalan akhirat juga.
Tiada istilah malas dan tidak boleh jika kita belum mencuba. Semuanya bermula dengan kepayahan, kepenatan, keterpaksaan dan kesakitan. Tetapi nikmat kemanisan terhasil bila kita telah Berjaya, kerana pilihan itu ada pada diri kita. Jangan pernah berhenti berdoa, berusaha, berimpian dan sentiasa berfikir untuk memberi manfaat buat semua di luar sana,” ujar Siti Nur’Amalina.
Harapan dan impian beliau sangat jelas, kerana beliau mahu terus membantu usahawan-usahawan lain terutamanya golongan wanita dan anak-anak muda agar terus mengejar impian menjadi usahawan berjaya.