
Kepelbagaian agama dan budaya dalam negara kita yang tercinta sudah semestinya sesuatu yang wajar dibanggakan. Atas dasar menghormati dan menyanjungi adat dan susila sesuatu kaum, setiap dari kita harus meneladani sikap seperti apa yang ditonjolkan oleh Merrywati Manuil.

Merrywati Manuil, pesilat dari Keningau Sabah baru-baru ini tular di media sosial dek aksinya bertudung ketika Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 dekat Ayer Keroh bulan lalu sedangkan dirinya adalah beragama Kristian.

Menjelaskan tiada paksaan dalam tindakannya itu, Merrwati mengakui cukup menghormati dan mengagumi seni silat yang merupakan warisan orang Melayu.
“Banyak yang tertanya kenapa saya pakai tudung walaupun saya Kristian. Silat adalah warisan orang-orang Melayu. Saya sebagai orang bukan Melayu sangat menghormati, mengagumi dan mencintai silat,” jelasnya.
Merrywati memenangi pingat emas pada kejohanan itu bagi Kategori Solo Kreatif Wanita sekali gus memegang status juara dunia dan turut penyumbang tujuh pingat emas skuad silat negara di kejohanan tersebut sekali gus mencapai sasaran yang ditetapkan oleh Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka).

Merrywati memberitahu, walaupun tidak diwajibkan untuk menutup bahagian kepala tetapi dia selesa memilih untuk memakai tudung ketika pertandingan.
“Tudung bukan sahaja wajib untuk menutup aurat bagi wanita Melayu, tetapi bagi saya untuk nampak lebih sopan, kemas dan beradab semasa pertandingan,” ujarnya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Rezeki Awal Tahun 2023, AYDA JEBAT Dilantik sebagai Duta Kempen “Salam Taiwan”

Penularan pandemik COVID-19 merugikan hasil sektor pelancongan global sebanyak AS$2 trilion (RM8.5 trilion) pada tahun lalu menurut badan pelancongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sektor pelancongan kini sedang dalam fasa kembali rancak dan pelbagai rangka promosi dijalankan untuk menarik lebih ramai pelancong ke serata dunia. Bagi merebut pasaran pelancongan Muslim bagi tahun 2023, Biro Pelancongan Taiwan hari ini telah melantik selebriti muslim Malaysia – Ayda Jebat sebagai Duta Salam Taiwan.
Sebuah video promosi “Salam Taiwan 2023” akan dilancarkan terlebih dahulu, dengan
harapan untuk menarik lebih ramai pelancong Muslim untuk memilih Taiwan sebagai destinasi pelancongan mereka, berdasarkan pengalaman yang dilalui oleh Ayda sendiri.

Pada masa ini, hampir 300 restoran dan hotel di Taiwan telah memperoleh pensijilan halal. Menurut “CrescentRating – Global Muslim Travel Index (GMTI)” bagi tahun 2022 oleh MasterCard, Taiwan berada di tempat ke-2 bagi kategori destinasi pelancongan mesra muslim terbaik di kalangan negara bukan Islam di dunia.

Berdasarkan fakta ini, Biro Pelancongan Taiwan telah melancarkan projek promosi baharu “SalamTaiwan 2023”, iaitu dengan meneruskan konsep berteraskan Taiwan sebagai negara mesra pelancong Muslim dari seluruh dunia, memperkenalkan logo promosi Salam Taiwan terbaharu, serta menambah sub-slogan “Destinasi Sensasi Mesra Muslim”, yang diharap dapat menyerlahkan dengan lebih jitu lagi akan keistimewaan Taiwan.

Pejabat Biro Pelancongan Taiwan di Kuala Lumpur berkata “Salam Taiwan 2023 akan memberi tumpuan kepada empat tema utama -“Vibrant”, Mesra Muslim, Romantik dan “Trending”, serta akan mempromosikan sumber pelancongan unik Taiwan kepada rakan Muslim secara lebih spesifik dan mendalam.”

Sebuah video promosi berdasarkan konsep “Dengarkan Suara Taiwan” telah diterbitkan, dimana Ayda secara peribadi telah melawat Ladang Qin Jing, gunung Hehuan, Alishan, bersiar-siaran di Taipei, taman tema, ladang riadah dan puak orang asli serta tarikan istimewa lain.

Bunyi angin, air, kereta api, nyanyian orang asli, dan penyediaan makanan telah dirakam bagi mempersembahkan pelbagai daya tarikan apabila menikmati pengembaraan ke seluruh Taiwan.

Selain itu, suami Ayda, Nabil Mahir, turut membuat penampilan dalam video promosi tersebut, menyerlahkan detikdetik manis serta romantik.
Ketika ditemui, Ayda berkata “Saya sangat gembira kerana telah terpilih sebagai Duta Salam Taiwan. Sebelum ini, saya tidak pernah terfikir untuk melancong ke Taiwan, kerana Taiwan adalah sebuah negara yang terlalu asing bagi saya.
Tapi, kesudahannya, saya telah jatuh cinta sebaik sahaja menjelajah ke sebahagian besar Taiwan! Baik dari segi kemesraan warga Taiwan, keindahan, keseronokan membeli-belah hinggalah ke pelbagai pilihan makanan halal yang lazat dan mudah untuk dinikmati! Saya tidak sabar untuk berkongsi keistimewaan Taiwan yang cantik dan “vibrant” ini kepada peminat saya!

Di majlis pelancaran hari ini, Pengarah Encik Abe Chou dari Biro Pelancongan Taiwan telah berbesar hati untuk menyampaikan sijil pelantikan kepada Ayda sebagai Duta Salam Taiwan di Malaysia, dengan disaksikan oleh Cik Phoebe Yeh, wakil Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia.

Cik Phoebe Yeh juga menjelaskan bahawa pada masa ini, adalah amat mudah bagi pelancong Malaysia untuk pergi ke Taiwan kerana terdapat banyak syarikat penerbangan seperti China Airlines, EVA Airlines, dan STARLUX Airlines yang menawarkan penerbangan secara terus ke Taiwan.

Pelbagai video promosi telah dirancang untuk dimainkan di kaca TV Malaysia, slot iklan di pawagam tempatan, billboard elektronik dan internet dengan menyasarkan peningkatan sehingga dua angka bagi peratusan pelancong Muslim dari Malaysia yang berkunjung ke Taiwan setiap tahun.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Cair Tengok Kecomelan NUR AZURA YAMANI, Kini Berusia 6 Bulan!

Baru berusia enam bulan tapi kecomelan anak kepada Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah ini jelas terserlah. Berkulit putih kemerahan dan bermata bundar, permata hati Datuk Jamal dan Datin Zai Izzati Khairuddin ini membuatkan peminat terpaku dengan wajah Nur Azura Yamani. Pantang sahaja diagah… anak kecil ini pasti tertawa manis. Alahai, cair tengok!
Nur Azura Yamani yang dilahirkan pada 10 Oktober lalu merupakan cahaya mata pertama Datin Zai Izzati sementara zuriat ketiga bagi Datuk Jamal Abdillah. Awal kehamilan, baik Datuk Jamal mahupun isteri memilih untuk tidak mengumumkan berita gembira tersebut kepada peminat.
Ini kerana ujar penyanyi yang berasal dari Perak itu, isterinya pernah mengalami keguguran sebanyak tiga kali dan mendapatkan rawatan pakar bagi menguatkan rahim.



Syukurlah kerana kehadiran Nur Azura Yamani ini menyerikan lagi rumah tangga Datin Zai Izzati dan Datuk Jamal Abdillah. Mereka sah bergelar suami isteri pada tanggal 1 April 2017 di Ipoh, Perak selepas berkenalan selama dua bulan dan berjumpa hanya sekali sebelum bernikah.
Tiga tahun melayari bahtera perkahwinan dan kini diserikan dengan kehadiran cahaya mata comel, pastinya pasangan selebriti ini sedang diulit bahagia!
Bercerita tentang suri hati Datuk Jamal Abdillah, Datin Zai Izzati yang sedang meniti usia 26 tahun sememangnya seorang wanita yang cukup sempurna. Rupa paras beliau yang sarat dengan kelembutan dan berkulit mulus mampu membuatkan sesiapa sahaja toleh beberapa kali.



Walau sudah bergelar ibu, Datin Zai Izzati tetap mementingkan kecantikan diri dan memastikan penampilannya dari hujung rambut ke hujung kaki tetap terjaga. Untung Datuk Jamal!

Ini merupakan perkahwinan keempat Datuk Jamal Abdillah selepas pernah mendirikan rumah tangga dengan Basariah Abdul Latiff, Noraina Mohd Yusof dan Fatimatuzahrah Samad. Walau jarak usia 35 tahun dengan Datin Zai namun ia bukan halangan buat kedua-duanya melayari perkahwinan bahagia sama seperti suami isteri lain.
Perkahwinan yang diatur keluarga itu juga diterima baik anak-anak lelaki Datuk Jamal iaitu Osama Yamani, 18 tahun hasil pernikahan dengan Noraina dan Ahmad Zaki Yamani, 12 tahun anak dengan isteri ketiganya iaitu Fatimatuzahrah.
Semoga Nur Azura Yamani membesar dengan sihat dan menjadi kebanggaan ibu bapa kelak. Mesti Datuk Jamal teruja dengan kelahiran Nur Azura kerana ia adalah kali pertama beliau menimang cahaya mata perempuan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Risiko Coronavirus Di Sekolah, Dr Safiya Dedah Kanak-Kanak Tidak Bergejala Boleh Jangkiti Orang Lain

Ketika ibu bapa sibuk membantu menyiapkan persiapan anak-anak untuk kembali ke sekolah beberapa minggu ini, wujud kebimbangan baru berkaitan penularan Coronavirus di kalangan murid-murid tidak bergejala.
Meskipun pihak sekolah telah membuat persiapan untuk membuka sesi persekolahan tidak lama lagi, namun beberapa hal yang ditimbulkan oleh Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pensyarah Perubatan UniSZA, Dr Safiya Amaran ini harus difikirkan risikonya.
Sebelum itu, kebanyakan ibu bapa rata-ratanya telah menerima ‘peringatan mesra’ daripada guru kelas anak masing-masing tentang hal di bawah:
Sebelum ke sekolah
- Pastikan anak-anak sihat, tidak bergejala dan suhu tidak melebihi 37.5. Jika bergejala dan suhu melebihi 37.5, jangan hantar anak ke sekolah.
- Murid digalakkan memakai pelitup muka khasnya yang berimuniti rendah.
- Murid yang menaiki kenderaan awam seperti bas dan van sekolah wajib memakai pelitup muka sepanjang berada dalam kenderaan.
- Murid digalakkan memakai pelitup muka yang disarankan oleh KKM. Bagi murid yang ingin memakai pelitup muka yang diperbuat daripada fabrik, pastikan ia selamat digunakan. Sekiranya memakai pelitup muka jenis fabrik, warna yang dibenarkan ialah hitam, biru tua atau putih tanpa corak.
- Pakai pakaian yang bersih.
Keperluan untuk dibawa
- Tuala kecil/kain lap/tisu basah.
- Sudu & garfu.
- Digalakkan membawa pensanitasi tangan / hand sanitizer.
- Bekalan makanan dan minuman.
TIDAK BERGEJALA
Meskipun kita tawakal dengan SOP yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM), tapi bimbang juga dengan risiko penyebaran virus COVID-19 di kalangan kanak-kanak.
Sebagai ibu, Nona berkongsi kupasan beliau tentang isu kecil yang boleh menjadi gelombang besar jika tidak dikawal itu.
Jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak agak unik.
Masa awal pandemik dulu, ramai ingat kanak-kanak tidak kena jangkitan Coronavirus macam orang dewasa dan warga emas.
Malah, ada yang jangkakan kanak-kanak ada daya tahan dan imunisasi tersendiri terhadap jangkitan ini. Bukan apa, memang jarang sekali kanak-kanak dibawa ke klinik sebab nak test COVID-19.

Mereka tidak alami apa-apa gejala dan kalau ada kes positif pun, hanya tahu lepas buat contact tracing.
Menurut Profesor Dr Andrew Pollard, iaitu profesor dalam bidang jangkitan dan imuniti pediatrik, Universiti Oxford (Sinha et al., 2020), gejala yang dialami kanak-kanak adalah jauh lebih ringan berbanding orang dewasa dan warga emas.
Tahukah kita, kebanyakan kanak-kanak ini (yang bergejala COVID-19) cuma alami demam, batuk, hidung tersumbat, selsema dan sakit tekak.

Sama macam jangkitan lain?
Ya, sama sahaja! Tak nampak beza yang ketara.
Kenapa kanak-kanak kurang mengalami komplikasi COVID-19?
Sebenarnya memang ada kanak-kanak yang alami komplikasi akibat COVID-19 tetapi tidak ramai, sikit sangat. Menurut kajian oleh Sinha et al. (2020), ada beberapa penjelasan yang boleh diberikan berkenaan keadaan ini.
PERTAMA, SARS-CoV-2 perlukan protein di permukaan luar sel saluran pernafasan untuk ia masuk ke dalam sel badan kita. Protein ini namanya Angiotensin Converting Enzyme II (ACE-2) receptor.
Bagi kanak-kanak, bilangan protein ini ada sikit sahaja di bahagian paru-paru, sebaliknya lebih banyak di bahagian rongga pernafasan atas, iaitu mulut dan hidung.
Ini mungkin sebab kenapa gejala COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak adalah lebih kepada demam, batuk, selesema dan sakit tekak manakala dalam kalangan dewasa dan warga emas lebih kepada jangkitan kuman paru-paru dan sindrom akut kegagalan pernafasan.
KEDUA, kanak-kanak di taska, tadika atau sekolah sudah biasa terdedah kepada jangkitan kuman di saluran pernafasan.
Mereka mungkin sudah terdedah kepada jangkitan empat jenis Coronavirus yang lain seperti 229E (alpha coronavirus), NL63 (alpha coronavirus), OC43 (beta coronavirus) dan HKU1 (beta coronavirus).
Empat jenis Coronavirus ni tidak bahaya, malah memang biasa menjangkiti manusia dan tidak menyebabkan jangkitan yang teruk.
Pendedahan dengan keluarga Coronavirus yang lain mungkin menyebabkan daya imunisasi kanak-kanak terhadap jangkitan SARS-CoV-2 adalah lebih tinggi berbanding dengan golongan dewasa dan warga emas.
KETIGA, cytokine storm.
Cytokine storm ni adalah satu tindak balas dari sistem imunisasi badan kita untuk melawan SARS-CoV-2. Tapi dalam usaha nak serang SARS-CoV-2, cytokine storm ini juga boleh pergi serang badan sendiri dan mengakibatkan kerosakan organ badan yang terlibat!
Kalau bandingkan dengan orang dewasa, kanak-kanak ni sistem imunisasi badan mereka tak berapa matang dan sebab tu mungkin belum mampu untuk hasilkan cytokine storm untuk lawan SARS-CoV-2.
Jadi inilah tiga sebab kenapa gejala untuk kanak-kanak jauh lebih ringan berbanding orang dewasa.

Bolehkah kanak-kanak menjangkiti orang lain?
Ini soalan paling kritikal. Ramai nak tahu ni.
Kajian menunjukkan walaupun kanak-kanak tidak mengalami apa-apa gejala atau cuma mempunyai gejala ringan, mereka mampu menjangkiti orang lain di sekitar mereka, sama seperti orang yang mempunyai gejala yang teruk.
KANAK-KANAK PENYEBAR SENYAP
Apabila mereka tak ada gejala, ini yang buat penyakit ini boleh tersebar dengan cepat tanpa disedari (Sinha et al., 2020). Malahan kanak-kanak berpotensi menjadi penyebar senyap yang merbahaya dalam komuniti kerana orang tidak menyangka mereka sebenarnya pembawa virus SARS-CoV-2.
Oleh itu, ibu bapa janganlah bawa anak-anak ke tempat awam dan KENA ELAKKAN percampuran sesama kanak-kanak dan juga dengan orang tua.
Kesimpulannya golongan kanak-kanak pun berisiko untuk dapat penyakit COVID-19 sepertimana golongan dewasa.
Walaupun golongan kanak-kanak ni kurang berisiko untuk dapat komplikasi yang teruk tetapi mereka juga perlu dilindungi, terutama sekali kanak-kanak yang tidak mempunyai tahap kesihatan yang optima.
Bukan banyak, tapi hanya dua harapan saya…
- Lindungi kanak-kanak.
- Lindungi orang tua.
Kedua-duanya perlu kita lindungi sama-sama! Kredit: Facebook (Dr Safiya Amaran)
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


