“Saya Berhenti Makan Sebelum Kenyang,” KUZA Hargai Rezeki Tubuh Sihat & Kini Ligat Berniaga Tudung!.

Tidak dinafikan pesona dan aura dramatis ini masih memikat hingga sekarang. Meskipun anak-anak sudah meningkat dewasa dan ada yang sudah mendirikan rumah tangga, kejelitaan milik Tengku Sariza Tengku Muzani atau lebih mesra dengan panggilan Kuza masih kekal menyerlah.

Disifatkan seorang wanita berjiwa sederhana, Kuza dalam temu bual bersama Nona suatu ketika dulu sudi berkongsi pengalaman hidupnya agar dapat dijadikan inspirasi buat peminat.

November tahun lalu, anak perempuannya Kuza iaitu Puteri Nazihah selamat mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan. Begitu juga anak lelakinya yang sah bergelar suami pada Jun tahun lepas. Alhamdulillah.

Bagi peminat yang sentiasa mengikuti perkembangan Kuza, pasti mengagumi personaliti dan wajah cantiknya. Mencecah usia 48 tahun, Kuza masih anggun dan cantik dalam kelas tersendiri.

Ditanya bagaimana dia memelihara kurniaan Allah itu, tiada apa yang mampu diucapkan selain mensyukuri nikmat yang diberi kepadanya.

“Sebenarnya tak ada apa-apa rahsia tampil awet muda pun. Saya bersyukur, alhamdulillah Allah bagi saya tubuh badan yang sihat. Jadi amanah bagi saya untuk menjaga. Saya selalunya berhenti makan sebelum kenyang.

Malam pula kalau boleh elakkan dari makan yang berat. Sekadar alas perut. Kalau ada masa, senaman jangan lupa. Ini bukan untuk kurus je tapi untuk stamina supaya kita tak cepat letih. Jadikan senaman ini macam rutin hidup. Selain itu, waktu tidur juga harus dijaga. Ibadah pun jangan lupa.”

Dalam kesibukan sebagai pelakon, Kuza berani melangkah setapak ke hadapan apabila menceburi bidang perniagaan tudung. Khabarnya, tudung jenama Kuza Scarf mula dijual sekitar Oktober tahun lalu. Pelbagai rekaan menarik dan menepati cita rasa para hijabi masa kini. Tahniah!

Sentiasa cekal menghadapi detik sukar sepanjang bergelar ibu tunggal, Kuza bagaimana pun enggan mengalah dan bangkit menjalani hidup yang lebih bahagia di samping keluarga.

“Kekuatan saya adalah anak-anak. Bila tengok anak-anak, saya selalu tanam azam kena kuat dan mampu teruskan hidup walau macam mana susah sekalipun. Kita tak boleh tunjuk pada anak-anak yang kita lemah sebab kita ni ibu, pemberi semangat pada anak-anak di kala mereka dalam kesedihan, kekecewaan dan kesusahan.

Jadi kalau kita ibu sentiasa tunjuk pada anak-anak yang kita ni lemah, macam mana anak-anak nak dapat semangat. Saya kalau boleh, sedih pun saya tak nak anak-anak saya tahu sebab saya tak nak anak-anak merasa kesedihan saya.”

Diaju didikan yang diterapkan hingga anak-anak berjaya dan mempunyai pekerti yang baik, ini jawapan jujur selebriti cantik berkenaan, “Iyalah, ibu mana yang tak nak tengok anak-anak berjaya. Saya sedar saya ni bukannya senang dan taklah pandai jadi bila kita tahu kita ni bukanlah orang yang senang dan tak pandai, kita kenalah ubah nasib anak-anak.

Jangan jadikan anak-anak kita ni macam kita. Utamakan pelajaran kerana bagi saya ilmu tu penting. Begitu juga adab. Dengan adanya ilmu, kita ‘campak’ anak-anak dekat mana-mana pun inshaAllah mereka boleh survive.

Sebagai ibu kita kena ada plan masa depan anak-anak. Kita kena peka apa yang anak-anak kita minat. Dari situ kita dah boleh plan. Saya selalu berbincang, berkongsi pandangan dan rasa bersama-sama anak. Kena bagi semangat kepada mereka ini.

Jangan sekali-kali kita patahkan semangat anak-anak. Saya bersyukur kerana anak-anak saya sekarang dah ada kerjaya masing-masing. Alhamdulillah sangat. Semoga mereka berjaya di dunia dan akhirat. Doa yang baik-baik untuk anak-anak,” telus ibu penyayang ini.

 

Kredit foto: Instagram Kuza

 

Share
Published by
Suzi