“Saya Cuma Kisah Pendapat DIA SEORANG Saja. Saya Puas Bila Dia Kata, Tombiruo Menjelma Depan Mata!” ZUL ARIFFIN

Gara-gara watak Tombiruo, semua peminat Zul Ariffin tahu bahawa aktor kacak ini terpaksa ‘membina badan six-pack’ agar mirip sang Penunggu Rimba.

Tidak boleh terlalu kekar dan tidak juga terlalu kurus. Peranan Zul Ariffin sebagai Ejim atau Tombiruo yang menjadi legenda di hutan Keningau turut ‘memaksa’ dia sentiasa bertopeng.

“Memang kali ini produksi filem betul-betul tak menjual rupa. Bayangkan wajah saya tak nampak langsung, sebaliknya mereka banyak close up pada bahagian badan dan mata.

Saya rasa watak Farid Kamil pun lebih menguntungkan sebab sekurang-kurangnya orang tahu juga itu Farid Kamil,” seloroh Zul sambil ketawa.

Katanya kepada Nona, salah satu scene yang paling sukar dilupakan adalah sewaktu mengangkat Nabila Huda, atau pemegang watak Wan Suraya di sungai.

“Rasa menggigil-gigil tangan angkat dia! Bukan saja berat, tambah lagi kena jalan atas batu-batu sungai dan rambut palsu yang menutup topeng muka.

Masa scene tu, kami sama-sama cuak sebab batu licin. Nabila yang ‘konon-konon’ pengsan tu pun asyik minta maaf,” sambung Zul tertawa kecil.

Nona: Tak bawa Mak? 

“Saya dengan Mak memang close sangat sebab saya anak bongsu. Kadang-kadang ada juga bawa dia ke lokasi penggambaran sebab nak Mak tengok sendiri bagaimana saya bekerja.

Tapi untuk shooting Tombiruo ni, saya tak cakap langsung sebab kebanyakan scene di hutan. Tak sesuai pula bawa Mak.

Sebenarnya sepanjang penggambaran tu, saya selalu cedera kerana buat stunt sendiri. Nak pakai padding tak boleh sebab Tombiruo tak pakai baju.

Ligamen lutut saya pun cedera sebab dehydrated joint. Itu belum lagi kena slip disc dan macam-macam lagilah! Kalau Mak nampak tentu dia risau. Sebab tu saya rahsiakan,” kongsi lelaki kacak berumur 31 tahun itu.

Nona: Pengalaman baru sebagai Tombiruo?

“Sebenarnya setiap kali berlakon, ada saja benda baru yang saya belajar. Untuk filem ini, salah satunya kena selalu bawa bandage (ketawa).

Tapi sebenarnya I wish I had more time. Walaupun saya dah bagi sepenuhnya, tapi saya yakin kalau ada banyak masa lagi mesti saya akan beri yang sehabis baik.

Penggambaran filem ini dijalankan selama 60 hari iaitu dari bulan Ogos hingga September 2016. Saya selalu dengar macam-macam pendapat… Yang itu yang ini, buat begitu atau jangan buat begini, tapi sejujurnya saya cuma value pendapat yang keluar dari mulut Abang Ramlee saja.

Berkali-kali saya tanya dia, Abang nak role ni macam mana? Sebab bagi saya sebagai penulis cerita Tombiruo yang sebenar, hanya dia yang layak nilai lakonan saya.

Dan momen paling memuaskan hati ini sebagai pelakon adalah bila saya siap pakai kostum, dengar Abang Ramlee cakap, ‘Tak percaya orang yang saya imagine menjelma depan mata!’

Ramlee Awang Murshid Dapat Ilham Sebelum Tidur

Memilih untuk bekerja dari rumah, novelis thriller No. 1 di Malaysia ini mengakui selalu mendapat inspirasi menulis sebelum tidur.

“Yang sebenarnya bila-bila pun idea tu boleh datang. Tapi saya paling tak suka bila ‘dia’ datang sebelum tidur sebab saya akan jadi susah nak tidur!

Jadi cara yang saya buat, saya pujuk-pujuk ‘otak’ supaya keluarkan lagi banyak idea bila saya bangun tidur nanti,” kata Ramlee Awang Murshid yang kini memilih untuk menulis sepenuh masa.

Nona: Abang Ramlee bekerja dari rumah ke sekarang?

“Ya, itu keputusan saya selepas berkhidmat selama 19 tahun di RTM. Sudah sampai satu tahap yang saya mahu bekerja sendiri dan atas kesedaran tak mahu mencuri-curi masa menulis sewaktu bekerja.

Hidayah untuk bekerja sendiri datang pada tahun 2008. Akhirnya saya berhenti pada tahun 2012 dan fokus 100% untuk menulis sepenuh masa.

Setiap hari saya bangun jam 5.45 pagi, solat Subuh dan buat sarapan untuk famili. Kemudian saya hantar anak tunggal ke sekolah, diikuti aktiviti basuh kain dan bersolat Dhuha.

Selepas itu saya mula ‘tenggelam’ dengan dunia penulisan, sebelum tiba masa untuk memasak dan ambil anak dari sekolah,” kongsi Abang Ramlee yang sangat positif terhadap profesion lelaki yang bekerja dari rumah seperti dirinya.

Nona: Novel yang paling dekat dengan kehidupan Abang Ramlee?

“Sunan. Mungkin sebab saya tergolong dalam kategori orang-orang yang mahu bertaubat. Sebenarnya saya mengaku di sekolah dulu, saya kurang pandai. Tapi sekarang saya sedar bahawa semua manusia itu pandai cuma kita saja yang tak sedar potensi diri sendiri.

Saya banyak terhutang budi dengan isteri dan arwah ibu. Dua wanita ini memang penyokong kerjaya saya sejak mula. Dan dua orang ini jugalah yang percaya pada kemampuan saya, pada saat saya tak menyedarinya.

Pencarian saya mencari Tuhan baru bermula. Saya selalu sedar graf agama saya turun naik. Bapa saya qari, tapi saya tak manfaatkan ilmunya betul-betul.

Tahun 2000, saya baru tahu bahawa rezeki yang berkat datang daripada solat dan zakat. Sebelumnya saya selalu bingung, kenapa duit royalti selalu habis? Rupanya zakat ni adalah cara Allah mengajar kita tentang rezeki.

Tentang agama, saya masih lagi belajar. Dan saya tak malu untuk terus belajar sampai bila-bila pun,” akui Abang Ramlee yang kini berusia 50 tahun.

Nona: Cerita sedikit tentang Tombiruo?

“Filem adaptasi novel sudah tentunya tak 100% sama dengan novel asal. Jalan cerita masih kekal cuma ada sedikit yang diubah suai bagi menghidupkan filem yang dihasilkan.

Filem aksi ini mengisahkan tentang Ejim, lelaki bertopeng yang digelar Tombiruo oleh penduduk di Sabah kerana menganggapnya sebagai Penunggu Rimba.

Kehadiran Tombiruo penuh misteri dan sering ditakuti serta dicaci oleh penduduk kampung apabila Wong dan kuncu-kuncunya membuat kacau di kampung untuk meneruskan aktiviti empangan.

Ia secara tak sengaja telah melibatkan kematian ayah Tombiruo, Pondolou, dan itu menimbulkan kemarahan Tombiruo.

Sementara itu, insiden kematian Tan Sri Berham dan isteri Amiruddin, Salina telah membuatkan Amiruddin menyimpan dendam dan memburu Tombiruo kerana menganggap lelaki berwajah bukan manusia itu yang melakukan segala kekecohan.

Wartawan Wan Suraya yang mengikuti perkembangan isu syarikat Tan Sri Berham turut menjejak Tombiruo. Wan Suraya dapat rasakan Tombiruo tidak berbahaya seperti yang dikatakan.

Namun apabila Amiruddin dan Tombiruo bertemu, mereka bertarung demi membela nasib orang-orang yang mereka sayangi. Dengan semangat dari hutan, telah mengiringi kekuatan Tombiruo.

Tetapi hakikatnya sebuah rahsia di antara mereka berdua yang telah lama tersimpan terbongkar. Apakah kaitan mereka berdua sebenarnya? Siapakah dalang di sebalik insiden selama ini?

Filem Tombiruo dibarisi pelakon Zul Ariffin, Farid Kamil, Nabila Huda, Faizal Hussein, Hasnul Rahmat, Dato’ M. Nasir, Datin Marlia Musa, Faye Kusairi, Dynas Mokhtar serta ramai lagi. Jom dengarkan promosi dari bibir Zul Ariffin dan Ramlee Awang Murshid sendiri seperti di bawah. Norzalina Mohd Alias

Share
Published by
Norzalina