13 hari sahaja lagi, bayi istimewa Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin bakal mencecah usia setahun. Baru tiba di tanah air pada 28 Julai lalu, kepulangan Ainul dan ibu bapanya menjadi perkhabaran gembira buat seluruh rakyat Malaysia ditambah pula dengan kesihatan Ainul yang semakin hari semakin bertambah baik. Sesungguhnya aturan Allah SWT itu cukup cantik!
Ibu Ainul, Nurul Erwani Zaidi berkata, “Ainul dilahirkan pada 13 Ogos 2018, masih ada 13 hari sebelum Ainul genap setahun. Saya tidak akan memaksa Ainul untuk merangkak, meniarap atau bercakap seperti kanak-kanak lain kerana saya terima dia seadanya dan sanggup menunggu untuk melihatnya membesar seperti kanak-kanak lain. Saya sentiasa mendoakan dan berharap Ainul diberi kesempatan itu.”
Sementara itu, bapa Ainul… Ahmad Safiuddin Abdul Razak pula meluahkan perasaan yang dialaminya selepas pembedahan membuang ketumbuhan Ainul di London pada 25 Mei lalu berjaya dilakukan. Kongsinya, “Bila tengok Ainul sekarang dengan tengok gambar Ainul yang dulu, rasa sedih dan sebak termasuk rasa macam tidak percaya yang puteri sulung kami itu telah mengharunginya sebelum ini.
Dulu semasa kami menjaganya, bila tengok ketumbuhan itu, kami rasa biasa sahaja. Mungkin sebab sudah terbiasa. Sekarang ini bila tengok gambar dahulunya, rasa macam cepat-cepat tutup balik.
Kuasa Allah, ajaibnya Allah. Dia boleh menghendaki pada bila-bila masa sahaja dia mahukan. Allah izinkan ketumbuhan itu duduk dalam badan Ainul dan Allah juga mengizinkan ketumbuhan itu dipisahkan dari tubuh badan Ainul. Kami sendiri tidak pernah menyangka sebelum ini bahawa puteri kami akan sampai ke tahap macam ini. Alhamdulillah, nikmat Allah yang tidak boleh kami dustakan.
Saya dah padam banyak gambar Ainul yang dulu sebab tak nak ingat dan tak mahu ingat tetapi saya tinggalkan sekeping dua untuk tunjukkan kepada Ainul bila dia besar nanti agar dia lebih menghargai dan menjadi insan yang bermanfaat di masa hadapan.”
Ahmad Safiuddin yang mengusahakan kedai runcit miliknya Asar Halmart di Taman Desa Molek, Melaka menjual produk makanan dan minuman Muslim dan turut memasarkan produk atas nama anaknya iaitu Ainul’s Popcorn bagi menambah pendapatan dan membiayai perbelanjaan Ainul Mardhiah kelak.
Ainul menghidap kanser ‘Germ Cell Tumor’ menjalani pembedahan selama lima jam di Hospital Great Ormond Street bagi membuang ketumbuhan seberat 200 gram pada 10 Jun lalu. Pembedahan tersebut dilakukan sekumpulan doktor pakar pelbagai bidang dengan pelatih pakar bedah Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri yang bertanggungjawab membawa bayi itu serta bapanya ke London bagi mendapatkan rawatan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut berpeluang menziarahi Ainul ketika berada di United Kingdom untuk rawatan rasmi selama tiga hari pada Jun lepas.
Kredit: Facebook Ahmad Safiuddin
This website uses cookies.