Sejak penularan wabak COVID-19 rutin kehidupan kita berubah secara drastik sehingga mencetuskan norma baharu. Bukan sekadar di Malaysia bahkan seluruh dunia. Selagi pendemik ini masih berpanjangan selagi itulah kita terikat dengan norma baharu. Apa pun setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.
Puan Sri Nooraisha Farizan Abu Bakar mengakui kehidupannya turut berubah sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali pertama pada Mac lalu.
Norma baharu ini juga menjadikan kita lebih bersih dan selamat. Cuma cabarannya bila bersama anak-anak. Kadangkala kelam kabut juga, biasalah kanak-kanak. Kadang-kadang terlupa nak memakai pelitup muka. Jadi saya perlu menjadi ibu yang sentiasa bersedia. Sentiasa ingatkan anak-anak apa yang patut.
Selain itu, saya juga dapat meluangkan masa bersama keluarga setiap hari. Secara tak langsung hubungan kekeluargaan menjadi semakin rapat. Saya juga berpeluang memasak setiap hari untuk keluarga. Memasak adalah minat dan terapi buat saya.
Antara menu istimewa kegemaran suami ialah kari kepala ikan. Mujurlah suami tidak cerewet dalam soal makan. Beliau suka lauk-lauk kampung dan juga menu eksotik antaranya lidah lembu masak kicap. Jadi saya perlu belajar demi membahagiakan suami dengan memasak menu-menu kegemarannya.
“Untuk jaga suara saya tiada sebarang petua yang khusus. Saya hanya elakkan minum ais, itu sahaja. Paling penting perlu sentiasa praktis menyanyi. Saya sebenarnya tidak memilih makanan.
PERNIAGAAN
Dari sudut perniagaan pula saya sebenarnya mempunyai kilang sarang burung yang dieksport ke China. Walaupun wabak COVID-19 sedang menular alhamdulillah tiada sebarang masalah yang berlaku. Sarang burung tersebut kami tidak jual di Malaysia sebaliknya kami hanya mencucinya dan terus eskport ke China.
Ditambah pula kami mempunyai pekerja-pekerja yang sememangnya sudah ada di kilang dan kami turut menyediakan tempat tinggal untuk mereka mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
ARTIS DUO BERSAMA KEMBAR
Selain bergelar seorang usahawan, Puan Sri Aisha turut dikenali sebagai penyanyi duo bersama kembarnya, Hanim Fariza Abu Bakar. Mereka memilih nama ‘Aishahanim’ sebagai nama duo mereka. Antara lagu-lagu yang berjaya menjulang nama Aishahanim termasuk runut bunyi drama (OST) ialah Angkara dan terbaru Leka duet bersama pelakon sensasi, Iq Dinzly.
This website uses cookies.