“Saya Didorong Rasa Kasih & Ingin Membantu,” Asbab USTAZAH NORHAFIZAH Jadi Penceramah Motivasi!

Penyampaian Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa sentiasa ‘melekat’ di hati pendengar dan memberi kesan terhadap kehidupan mereka. Ternyata beliau memiliki aura tersendiri!

Terkenal dengan kepetahan dan lontaran suara penuh kelembutan, Ustazah Datuk Dr Norhafizah menjelaskan penglibatan beliau di pentas dakwah dan motivasi bermula sejak hampir 25 tahun yang lalu sejurus pulang dari Jordan.

Waktu itu beliau sedang mengikuti perlatihan korporat sebagai master trainer dan bernaung di dua buah syarikat iaitu Airborne Discovery dan DMA Training & Consultant.

Faktor utama yang membuatkan beliau terdetik untuk menceburi bidang ini adalah kerana minat. “Alhamdulillah, minat dan keazaman untuk menyebarkan ilmu memang tinggi dari awal lagi. Saya memang suka tengok orang memberi inspirasi dan ceramah. Ia buat saya turut rasa ada idea untuk bercakap.

Saya juga didorong dengan rasa kasih dan ingin membantu. Saya percaya kata-kata boleh jadi hikmah yang membina azimah, bukan setakat kata-kata tapi solusi untuk membantu cara berfikir yang baik dan membina keyakinan yang sahih dalam diri.

Dari situ, semuanya akan terus mendaki kepada perkara lebih baik. InsyaAllah. Saya juga suka membaca, kalau pergi kedai buku rasa macam-macam buku nak beli. Juga suka dengar ceramah para sheikh dalam Youtube.

Kalau zaman dulu saya beli CD dan kaset. Jadi rasa nak sangat sharing dengan orang ramai apa yang kita tahu, kita fahami dan kita dengar. Macam mana semua itu membantu saya untuk menjalani kehidupan, demikian jugalah saya harap orang lain akan dapat manfaat.”

Allahu, ‘cantiknya’ hati dan niat murni Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa. Pendek kata, apa sahaja ilmu yang diperoleh beliau mahu berkongsi kebaikan tersebut dengan lebih ramai orang.

“Jiwa seni dalam diri saya agak kuat. Dari kecil lagi dah suka dengan seni suara. Masuk nasyid, qasidah, berzanji, musabaqah tilawah Al-Quran hingga kebangsaan dan alhamdulillah masa Tingkatan 3, saya menjadi juara kebangsaan kategori menengah perempuan.

Saya suka mengamati sesuatu. Mungkin dek sebab itu mudah rasanya menulis lirik lagu. Jadi minat pula mencipta lirik, Menyusun melodi lagu. Alhamdulillah.

Tapi taklah beriya sangat. Cuma baru ni, saya buat program online, Mihrab Coaching. Jadi setiap course ada tema yang berlainan. Jadi lahirlah lagu-lagu tema seperti Mihrabku, Ku Seru NamaMu, Qalbun Saleem, Till Jannah, Kerinduan Ya Rasulullah dan lagu Madinatul Huffaz juga. Bila dengar lagu atau nasyid, saya nak dengar kedalaman liriknya diadun dengan keindahan melodi.”

Yang pasti, individu paling banyak memberi pengaruh besar dalam hidup Ustazah Datuk Dr Norhafizah sehingga berjaya hari ini ialah kedua-dua ibu bapa beliau sendiri. “Mak abah sentiasa bagi galakan.

Dari kecil saya dah dibiasakan menyertai macam-macam pertandingan termasuklah pertandingan bercerita, baca berita, nasyid, syarahan Bahasa Melayu, Inggeris dan Bahasa Arab. Memang stress

masa kecil dulu sebab asyik duduk depan orang ramai.

MashaAllah, rupa-rupanya itu latihan dan didikan terbaik untuk saya. Mak abah akan sentiasa bimbing saya untuk berada di hadapan khalayak. Malah mengajar doa untuk tenangkan hati dan tak putus-putus bagi nasihat serta teguran positif.”

Di samping bergelar pakar motivasi dan pendakwah, Ustazah Datuk Dr Norhafizah juga merupakan pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Penasihat Maahad Tahfiz Integrasi Madinatul Huffaz. Komitmen beliau membangunkan modal insan berkualiti mendapat perhatian banyak pihak.

Share
Published by
Suzi