“Saya Hanya Mampu Pakai Apa Yang Selesa” DR MALAR Pernah Dilabel Kampung, Tidak Pandai Berfesyen

Apabila seseorang itu bergelar public figure atau pempengaruh (infuencer) semua perkara berkaitan dengan dirinya pasti akan menjadi perhatian serta bualan ramai. Antaranya tentang kehidupan seharian, kerjaya, penampilan dan sebagainya. Semakin terkenal seseorang itu semakin kuranglah ruang privasinya.

Dr Malar Santhi Santherasegapan nama yang tidak asing lagi di media sosial. ‘Celoteh Dr Malar’ menjadi platform yang berjaya meledakkan nama Dr Malar sehingga bergelar influencer terkenal di Malaysia.

Gaya penyampaiannya yang bersahaja dalam berkongsi informasi berkaitan perubatan membuatkan ramai yang tertarik. Setiap hari mesti tertunggu-tunggu untuk menonton video Dr Malar.

Namun begitu, tak semua yang kita lihat itu indah kerana walaupun terkenal tetap ada kisah ‘kurang enak’ di sebalik populariti Dr Malar yang kini bertugas sebagai

pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan Hospital Columbia Asia Cheras, Kuala Lumpur.

Baru-baru ini Dr Malar berkongsi satu hantaran di Instagram dan Facebook miliknya di mana dia pernah dihina oleh segelintir individu yang memperlekehkannya dari segi penampilan sampai ada yang melabel dirinya kampung, kolot dan tidak pandai berfesyen.

Menurut Dr Malar, ini bukanlah kali pertama dirinya diperlekehkan sebegitu. Namun, Dr Malar hanya mampu tersenyum dengan segala kritikan keran baginya setiap orang ada cara masing-masing dalam berfesyen asalkan empunya diri merasa selesa.

“Sebenarnya saya dah lali dengan ejekan dan hinaan dari segelintir individu yang memperlekehkan pakaian saya dan memanggil saya kampung, kolot dan macam-macam cercaan lain.

“Saya hanya mampu tersenyum dengan kritikan orang yang rasa, awaklah yang terpaling bagus dalam segala hal. Fashion ni awak sorang punya ke ye?

“Saya pakai baju kurung ke program motivasi sekolah pun salah. Ditanya kenapa tak pakai smart casual

je, kenapa tak pakai kemeja dengan seluar sahaja. Dilabel konon saya nak membodek cikgu.

“Saya pakai jubah ke program ceramah kesihatan dikata saya tak pandai bergaya. Wanita kolot yang tak faham fashion katanya. Pakai jubah dicemuh, kalau jubah tu saya potong sampai ke lutut, lengan pun saya potong sampai ke siku nampak macam dress, mesti dipuji pulak kan?

So sekarang ni yang menjadi masalah adakah pakaian atau kepanjangannya? Saya tak faham. Bagi saya simple. Saya hanya mampu pakai apa yang saya selesa.

“Nak kata saya hanya suka memakai pakaian Melayu, dah baru-baru ni saya pakai saree untuk ke satu majlis itu pun dicemuh habis. Tak kena dengan tema lah, rusa masuk kampung lah, kolot habis lah..Adoooiii! Sesungguhnya, haters will always hate!

“Ada yang memberi komen sebegini secara sinis di belakang gelak tawa. Ada pula yang mengumpat di belakang saya. Tapi oleh kerana ramai yang sayangkan saya, “umpatan” sebegitu akan sampai juga ke “telinga” saya.

“Saya nak sampaikan kepada golongan yang rasa awaklah terpaling moden dalam dunia ni, moden bukan hanya pakai seluar ketat. Stylish bukan hanya pakai skirt belah tinggi. Dan bergaya bukan hanya untuk yang sexy dan tunjuk kulit.

“Moden, stylish dan bergaya adalah tak kira apa saya pakai. Saya boleh bawa diri dengan penuh keyakinan dan tampak segak.

“Kolot bukan pada jubah atau baju kurung atau saree saya. Kolot adalah pada pemikiran kalian yang meletakkan 1001 peraturan untuk pemakaian seorang wanita dengan alasan fesyen.”

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata para pengikut Dr Malar memberi kata-kata semangat dan menyarankan kepadanya agar tidak menghiraukan kata-kata negatif tersebut.

Kredit Foto: Instagram Celoteh Dr Malar

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad