‘Kami Dah Ikhtiar Macam-Macam Selama 4 Tahun’, MAWAR ABDUL KARIM Dedah Penyakitnya Sebelum Disahkan Hamil!

Dulu dia agak skeptikal untuk berbicara soal anak dan rawatan yang dijalankan. Namun setelah bertemu pakar sakit puan, Prof Dr Hamid Arshat dan pakar motivasi, Datuk Prof Dr Muhaya perspektif dirinya berubah. Mengambil aura positif kedua-dua insan yang disanjung ramai ini, Mawar Abdul Karim merelakan sisi peribadinya menjadi rujukan masyarakat demi kebaikan bersama.

Bukan niat untuk menunjuk jauh sekali riak dengan rezeki yang dikurniakan Allah SWT, isteri kepada Fizo Omar ini berkali-kali menegaskan tujuan sebenar dia berkongsi pengalaman kehamilan kerana mahu memberi inspirasi dan kekuatan buat para wanita yang sudah berkahwin untuk berusaha memiliki zuriat sendiri.

Pertama kali bertemu Prof Dr Hamid Arshat pada Januari 2016 setelah beberapa kali bertemu pakar sakit puan lain, Mawar dan Fizo akhirnya tergerak untuk mendapatkan rawatan daripada doktor yang disifatkannya ‘The Best Doctor in Malaysia’ ini. Hasil pertemuan itu, Mawar didapati menghidap Endometriosis iaitu satu penyakit yang berkaitan sistem reproduksi wanita.

Untuk makluman, endometriosis merupakan salah satu daripada penyakit sakit puan yang biasa dialami golongan wanita. Hampir satu daripada tujuh wanita pada peringkat umur di antara 30 dan 45 tahun menghidapinya. Tidak bersifat kanser, penyakit ini melibatkan lapisan tisu dalam rahim yang dijumpai di bahagian lain dalam badan seperti bahagian pelvis iaitu pundi, usus serta organ reproduktif. Ia kerap ditemui di bahagian ovari dan otot ligamen posterior yang menyokong uterus. Dalam situasi lebih buruk, boleh menyebabkan kemandulan.

Pakar percaya sel-sel tertentu daripada lapisan rahim mungkin boleh melimpah ke belakang di sepanjang tiub fallopio semasa tempoh kedatangan haid. Sel-sel ini kemudian pekat dan berdarah dengan setiap kitaran haid. Keadaan ini boleh berkembang menjadi tisu parut dan mengikat organ bersama-sama.

RAWATAN

“Dulu kalau ada yang bertanya tentang rawatan yang saya buat, saya selesa dengan hanya jawab ‘buat rawatan biasa saja’ dan tak terlalu detail. Tapi lepas dengar kata-kata semangat Prof Dr Hamid dan Prof Muhaya, saya jadi lebih berani. Bak kata mereka benda dan niat yang baik patut kita kongsi dengan masyarakat. Kita ini nampak luaran sihat cergas tapi dalaman kita tak tahu. Jangan ingat sebelum kahwin tak ada penyakit ini ya. Ada juga sebelum kahwin pun sudah ada cyst.

Selesai buat rawatan dan buang cyst yang makan masa setahun jugalah, Prof Dr Hamid beritahu jika lepas dua bulan saya masih belum hamil dia sarankan buat IVF. Tapi alhamdulillah, rezeki Allah nak bagi. Dua bulan selepas rawatan tersebut saya akhirnya mengandung secara semula jadi. Pernah masa awal kehamilan ada seorang customer saya datang jumpa dan cakap sudah 10 tahun berkahwin dan belum ada rezeki anak.

First sekali persoalan dekat dia tentang pemeriksaan kesihatan. Kalau hendakkan sesuatu, kena betul-betul berusaha. Adalah lebih baik kita pergi check

dengan doktor. Saya sendiri pun memang dah banyak kali jumpa doktor yang berbeza.

Doktor pertama kata saya tak ada apa-apa masalah, doktor yang kedua pun cakap perkara sama dan suruh elakkan stres. Kemudian, bila jumpa Prof Dr Hamid dan buat imbasan secara terperinci baru tahu penyakit sebenar saya. Kunci utamanya di sini, jangan bergantung dengan seorang doktor saja melainkan jika sudah buat rawatan susulan dan doktor tersebut tahu sejarah penyakit kita.

Kena jaga pemakanan terutamanya elakkan fast food selain buat pemeriksaan dengan doktor. Tahun pertama dan kedua tak ada tanda hamil, terus check buat sesuatu. Tak kisahlah rawatan tradisional dan moden, tapi jangan hanya terus menunggu,” cerita Mawar sambil berkongsi kisah Fizo terkena tempias ibu mengandung dan dimasukkan ke hospital kerana muntah-muntah serta pening sebelum menerima berita Mawar berbadan dua.

KELAHIRAN SULUNG

Hanya tinggal kurang dua minggu saja lagi sebelum Mawar dan Fizo menerima kehadiran puteri sulung mereka. Mawar yang bakal bersalin di Hospital Pantai, Bangsar dengan bantuan Prof Dr Hamid Arshat pada hujung Disember ini nyata teruja menimang cahaya mata memandangkan sudah empat tahun menanti detik tersebut.

Ujar ibu berusia 28 tahun ini lagi, sepanjang tempoh kehamilan dia tidak mengalami sebarang alahan teruk. Mungkin kerana menjaga pemakanan seperti yang dinasihatkan doktor di samping mengamalkan makanan-makanan sunnah seperti buah delima, kurma dan kismis. Tanpa berselindung, Mawar juga mengakui berat badannya bertambah 20 kilo sejak hamil.

“Di bawah pengawasan Prof Dr Hamid, saya dan Fizo turut mengikuti kelas stimulasi bayi. Kelas ini tujuannya untuk rangsang perkembangan bayi ketika masih dalam perut lagi. Bila usia kandungan dah mencecah lima bulan dan bayi mula menendang maknanya mereka dah boleh mendengar. Sejak itu saya kerap berbual dengannya dan buat macam-macam aktiviti seperti yang digalakkan doktor.

Misalnya, bila kandungan dah 7 bulan saya ajak dia respon bila berbual. Bila saya letak torch light dekat perut dan minta responnya kalau nampak cahaya, memang dia akan buat dan mula menendang!  Doktor pun ada beritahu masa sekarang ini jugalah masanya kita pupuk minat mereka. Sebagai contoh, kalau mahu anak bijak berniaga buatlah banyak kira-kira, untung rugi dan segala-galanya. Tak lupa juga, kerap perdengarkan anak dengan ayat suci Al-Quran dan mengaji. Dekat luar negara, kaedah ini sudah lama dipraktikkan oleh bakal ibu bapa.”

Memang terserlah kegembiraan Mawar menunggu momen indah itu. Sebelum mengakhiri perbualan, dia dan Fizo turut berhasrat untuk menamakan anak perempuan mereka dengan nama bunga-bungaan selain mempunyai nama awalan ‘Wan’. Wow, boleh jadi Wan Cempaka, Wan Lily atau Wan Kenanga? Kita nantikan pengumuman nama anak sulung mereka kelak!

 

Share
Published by
Suzi