Perhiasan, aksesori dan wanita sememangnya amat sinonim sebagai pelengkap gaya, terutamanya jika aksesori berkenaan diperbuat daripada emas dan permata yang pasti membuatkan seseorang kelihatan elegan dan anggun tika memakainya.
Begitu juga dengan Diva jelita, pelakon dan usahawan Rozita Che Wan yang mengakui bahawa dia merupakan wanita yang mempunyai citarasa perhiasan berkelas tinggi dan cukup berminat dengan barangan kemas sejak di usia muda lagi.
Emas Bukan Setakat Perhiasan, Tapi Pelaburan Jangka Panjang.. – Che Ta
Rozita yang mesra disapa Che Ta berkata, aksesori perhiasan wanita itu bukan sahaja sebagai pelengkap gaya, sebaliknya boleh dijadikan aset pelaburan jangka panjang.
“Ya saya memang teruja apabila bercakap mengenai emas. Ia juga dekat dengan wanita. Macam saya sendiri, setiap kali menjelang musim perayaan Aidilfitri barangan kemas mesti kena ada, biar nampak ‘outstanding.’
“Senang cerita, saya memang seorang yang menitik beratkan soal penampilan dan barangan perhiasan. Tiap kali raya memang akan ada barang kemas baru, tapi ikut kemampuan.
“Memang saya minat emas sejak muda. Bayangkan ketika dapat gaji pertama sebagai pramugari dulu, saya sanggup berhabis RM2,000 beli gelang emas..” katanya kepada NONA.
Wanita Perlu Bijak Urus Kewangan Untuk Kegunaan Masa Depan!
Terdahulu, Rozita berkata demikian pada majis pelantikannya sebagai ‘muse’ atau sosok persona produk bagi Koleksi Eksklusif dan Koleksi Raya Angsa Emas Jewellery (AEJ).
Bersyukur atas tawaran yang diterima, Rozita akui sebagai wanita berdikari, dia perlu bijak menguruskan kewangan, termasuk hal melibatkan barangan yang dibeli.
“Saya jarang mengenakan aksesori yang tiada ‘re-sell value’. Macam sesetengah orang hanya suka barangan yang jenama, saya pula sebaliknya.
“Sebab itulah kalau koleksi tas tangan saya pun, ada nilai untuk dijual balik. Itu sebahagian daripada cara kita buat pelaburan juga. Bukanlah dikatakan saja nak membazir.
“Begitu juga dengan emas. Kita boleh milikinya dalam bentuk ‘gold bar’ atau dipakai sebagai perhiasan.
“Macam saya, lima tahun pertama bekerja untuk cari duit, lima tahun setersusnya kalau boleh biarlah duit itu ‘beranak’ untuk kita,” katanya lagi.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari Media Hiburan
Sumber Foto: Instagram Rozita Che Wan
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!