“Saya Juga Bawa ‘Tiffin’ Ke Mana Saja!” TENGKU ZATASHAH Sedih Pelajar Dibuli Bawa Mangkuk Tingkat!

Kisah pelajar yang membawa bekalan mangkuk tingkat ke sekolah yang tular dan menjadi bualan hangat baru-baru ini sememangnya menarik tumpuan ramai. Ada yang memuji tindakan prihatin si ibu, tidak kurang juga yang kecam kerana beranggapan situasi itu menyusahkan kanak-kanak dan terpaksa mengangkat ‘beban’ ke sekolah.

Yang pasti, isu tersebut telah mencuri perhatian Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah. Mengikuti perkembangan isu itu dari semasa ke semasa, Tengku Zatashah menerusi laman Instagramnya meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir pihak yang cenderung membuka ruang berlakunya gejala buli.

Selaku individu yang terlibat aktif dalam kempen berkaitan isu buli di sekolah, beliau rasa terpanggil untuk meminta masyarakat menghentikan persepsi negatif berkenaan. Ujar Tengku Zatashah, “Baru-baru ini ada beberapa individu yang menghantar kepada saya tentang kisah viral

seorang pelajar perempuan sekolah rendah yang dibuli hanya kerana membawa bekal mangkuk tingkat ke sekolah.

Saya rasa sangat sedih dan sudah pasti ramai yang turut berkongsi rasa yang sama apabila kanak-kanak ini dibuli disebabkan mangkuk tingkat.

Saya mengambil kesempatan ini untuk memberitahu kepada pelajar sekolah tersebut dan keluarganya bahawa saya sangat bangga melihat mereka bawa mangkuk tingkat ke sekolah kerana saya juga bawa mangkuk tingkat ke mana saja!

Tidak kira ketika berkunjung ke bazar Ramadan, ke pasar malam juga ke gerai food trucks. Dan saya bersimpati kerana pelajar ini dibuli hanya disebabkan perkara tersebut.

Ramai di antara kita yang bawa dan menggunakan mangkuk tingkat dengan bangga. Bahkan saya juga kerap dipanggil ‘the girl with the tiffin’. Jadi, buat Adik… berbanggalah dan kami sayang anda.

Sedih melihat situasi buli dan komen-komen negatif mereka yang berniat jahat terhadap anak kecil ini. Mereka tak buat salah. Kita kini berada dalam situasi sukar Covid-19 dan tunjukkan kebaikan hati masing-masing. Kita perlu saling bersatu dan berbuat baik di antara satu sama lain.”

Kira-kira lima tahun lalu, Presiden AllianceFrancaise Kuala Lumpur ini sudah mula membawa mangkuk tingkat atau ‘tiffin’ ke mana sahaja tanpa rasa segan. Memang jarang-jarang dibuat oleh seorang puteri diraja!

Mengikuti perkembangan Tengku Zatashah, Puteri Diraja Selangor ini sudah mula mempraktikkan budaya membawa mangkuk tingkat sejak tahun 2016 lagi. Malah, beliau turut memuat naik gambar ketika mengunjungi bazar Ramadan dan pasar malam sambil memegang bekas makanan tersebut demi mengurangkan penggunaan plastik.

Selain aktif menjayakan kempen Say No 2 Plastic, penglibatan Tengku Zatashah dalam badan kebajikan bukan lagi rahsia. Ada sahaja peluang untuk membantu golongan kanak-kanak, orang kurang berkemampuan dan warga emas pasti kelibatnya muncul dalam aktiviti kemasyarakatan sedemikian. Termasuklah perlindungan bagi hidupan liar dan laut yang kini diancam kematian akibat pencemaran.

Sebelum ini, Tengku Zatashah turut terlibat menyertai kempen Zero Food Wastage, Women Empowerment, No Bully, dan Save Wild Life. Moga usaha murni Tengku Zatashah dalam mempromosikan budaya Malaysia dan melindungi kebajikan semua pihak termasuk haiwan mencetus inspirasi kepada wanita lain untuk mengikut jejak langkah beliau.

 

Kredit foto: Instagram Tengku Zatashah

 

 

 

 

 

 

Share
Published by
Suzi