Anakanda sulung Perdana Menteri ketujuh ini sempat berkongsi bingkisan indah bersama keluarga tercintanya buat pembaca NONA. Di usia 61 tahun, rupa paras isteri kepada Tara Sosrowardoyo dan ibu kepada tiga cahaya mata, Ineza Roussille, Haga Tara dan Shaista Mayada itu masih manis rupawan dengan karakter seorang feminis yang pintar.
Terus saja persoalan tentang watak ibu bapanya di rumah diajukan, lantas disambut dengan senyuman lebar oleh Datin Marina. “Secara jujur, saya melihat kedua orang tua saya sebagai pasangan yang paling ideal di dunia. Mereka seperti ditakdirkan bersama. Amat mesra dan saling melengkapkan antara satu sama lain. Meskipun kedua-duanya tidak ekspresif melahirkan rasa cinta, namun ia terserlah melalui perbuatan dan pandangan mata. Saya juga kenal perangai Ayah saya yang sangat bergantung pada Mak. Kalau ada sesuatu yang mengganggu fikirannya atau waktu dia menjalani rawatan di hospital dahulu, hanya isterinya yang dimahukan untuk berada di sisi.
Semasa kami semua membesar di Alor Setar, Ayah seorang yang garang dan tidak banyak bercakap. Kalau kami tak pergi ke sekolah, macam buat satu dosa besar bagi dia. Saya juga pernah teruk dicubit dan dimarahi apabila tukang kebun kami mengadu saya menjelir lidah kepadanya. Berkali-kali Ayah tekankan betapa pentingnya sikap tertib dan adab sopan terhadap orang lain. Itulah yang saya pegang dan menjadi prinsip hidup sampai sekarang,” cerita wanita yang mesra disapa sebagai Marina itu kepada penulis.
Tun Dr. Siti Hasmah pula, akui Marina turut bersikap tegas kerana beliaulah yang menguruskan semua hal berkaitan pendidikan anak-anak. “Dia memang lemah lembut dan mesra dengan semua orang. Tapi sewaktu kami kecil, dia seorang enforcer kerana mahu melihat kami semua berjaya. Sekarang tidak lagi. Mak merupakan individu paling rajin untuk mengatur percutian keluarga dan dialah yang sentiasa membuatkan kami sekeluarga berhubung antara satu sama lain.
Kami selalu dididik bahawa hajat tak akan tertunai tanpa usaha. Dalam dunia ni tak ada yang percuma. Semua orang mesti bekerja untuk mendapatkan hasilnya. Mereka juga selalu berpesan bahawa pendidikan itu sangat penting. Tak kisahlah kami mahu kerja apa nanti asalkan mesti habis belajar. Kerana tidak dipaksa, maka tak ada seorang pun di antara kami yang mengikut jejak langkah mereka dalam bidang perubatan. Mujurlah sekarang ada dua anak saudara yang menunjukkan minat sebagai doktor,” kata Datin Marina dengan mesra.
Kesibukan sentiasa menjadi halangan buat pemilik syarikat Mosaique Communication ini dan adik-beradik yang lain untuk selalu berjumpa ibu bapa di rumah. Sesekali tiba peluang berkumpul, itulah masanya untuk update hal keluarga masing-masing. “Percaya tak, kadang-kadang saya kena baca akhbar untuk tahu Mak dan Ayah berada di mana! Hakikatnya memang mereka berdua sibuk dengan pelbagai aktiviti di merata-rata tempat. Sebagai anak Perdana Menteri, kami dah biasa dengan situasi ini. Cuma kini agak risau kerana mereka sudah tua dan perlu banyak berehat.
Ads
Ayah sudah biasa bekerja. Sebenarnya kami sekeluarga sudah puas memujuk namun Ayah masih sayangkan perjuangannya. Sampai ke satu tahap, kami jadi putus asa. Selagi dia masih sihat, okaylah. Cuma jauh di sudut hati saya sangat kesian melihat Ayah kerana umurnya yang sudah meningkat,” kata Datin Marina dalam nada tertahan.
Tatkala Datin Marina atau ahli keluarganya yang lain dilemparkan pelbagai tohmahan, mereka sekeluarga mengambil inisiatif untuk saling menyokong satu sama lain. “Saya selalu menerima kritikan negatif tapi alhamdulilah semuanya diuruskan sendiri tanpa melibatkan Ayah atau sesiapa. Mungkin berkat pengalaman di bidang perhubungan awam dulu, saya jadi immune. Saya tak kisah apa orang nak kata. Mereka tak kenal saya tapi menilai dari media sosial saja. Di media sosial, golongan yang menghentam itu memang nampak hero tapi belum tentu mereka berani berdepan saya. Kita semua sama. Yang menghisab cuma Dia.”
Kini meskipun tidak lagi aktif dalam persatuan, kebanyakan masa Datin Marina masih lagi padat dengan pelbagai program seperti jemputan memberi ceramah di sektor korporat, universiti dan sekolah. Beliau juga masih memikul tugas ahli lembaga Yayasan Maybank dan ahli Asian University for Women (AUW) yang berpangkalan di Chittagong, Bangladesh.
Ads
Daripada pandangan mata penulis, sumbangan Datin Marina teramat besar dalam memperjuangkan hak asasi wanita. Beliau lantang menyuarakan pendapatnya walau ada kalanya disanggah beberapa pihak. Sebagai bekas Presiden Majlis AIDS Malaysia juga, Datin Marina giat membela nasib mangsa HIV/AIDS serta terkenal melalui Sisters In Islam kerana memperjuangkan keadilan serta menuntut kesaksamaan bagi wanita Islam
MERIAH
Ceritera Ramadan menyapa perbualan penulis yang seterusnya dengan Marina. Dibesarkan dengan gaya orang Kedah, Datin Marina sekeluarga biasanya akan mula berbuka dengan hidangan ringan seperti kuih-muih dahulu, sebelum bersolat Maghrib dan bersambung semula dengan menjamah nasi. “Amalan kami sama saja dengan keluarga lain. Saya sendiri berlatih berpuasa secara separuh hari. Sedikit demi sedikit, barulah pandai berpuasa sampai sehari dan alhamdulilah pada usia 8 tahun, sudah boleh berpuasa penuh di bulan Ramadan.
Ads
Bagi saya Ramadan adalah masa yang paling ideal untuk keluarga. Sambil itu juga, inilah masanya untuk merenung semula makna kebesaran bulan Ramadan dan to simplify our life. Kami sudah lama tak pergi berbuka puasa di hotel tapi cukuplah apa yang terhidang di atas meja saja. Inilah bulan yang paling quiet bagi saya, kurang bersosial, kurang marah-marah dan lebih masa untuk beribadah. Cukuplah menyibukkan diri pada bulan-bulan lain.
Sekarang bila keluarga dah bertambah besar dan ramai, kami sepakat adakan dua majlis wajib sewaktu bulan Ramadan. Semua ahli keluarga mesti berkumpul pada malam 1 Ramadan dan malam terakhir berpuasa. Masa inilah kami akan berbuka dan bertarawih sama-sama di rumah dengan keluarga,” imbau Datin Marina yang juga pernah menyambut Ramadan selama lima tahun di kota London.
Sewaktu negara di bawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir dulu, penulis teringat akan suasana meriah membuat persiapan raya sambil televisyen terpasang rancangan Perutusan Khas Aidilfitri daripada Perdana Menteri. Tatkala bercerita semula tentang kenangan itu kepada Datin Marina, beliau sebagai anak tentulah agaknya lebih teruja. Sambbil tertawa kecil. “Saya tidaklah sampai tertunggu-tunggu ucapan Ayah di depan TV. Bagi saya, itu biasa saja baginya yang sedang menjalankan tugas rasmi sebagai pemimpin.”
Mengakhiri perbualan ini, Datin Marina sempat berpesan kepada semua pembaca Nona agar jangan jemu menambah ilmu. “Pengetahuan adalah kuasa. Sebagai wanita, kita mesti tahu apa hak kita dan perkasakan diri dengan pengetahuan. Dengan itu kita lebih bersedia untuk menghadapi apa jua cabaran atau kemungkinan yang mendatang,” katanya bersungguh-sungguh.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bermula dengan bisnes kecantikan kini Sharmila Johan atau lebih dikenali sebagai Kak Ell meluaskan empayar perniagaan dalam bidang produk Muslimah khususnya wanita berhijab. Biarpun namanya sudah cukup sinonim dengan dunia kosmetik namun minat mendalam Kak Ell terhadap perniagaan membuatkan beliau nekad mendalami industri fesyen Muslimah pula sehingga tercetusnya jenama Keklaa.
Belum pun sampai setahun label Keklaa berada di pasaran tetapi penghasilan ‘Volumnizer Inner’ miliknya berjaya menambat hati ramai golongan wanita berhijab.
Ternyata, percaturan usahawan berusia 43 tahun ini membuahkan hasil apabila inner yang direka khas untuk para hijabi menjadi revolusi baharu kepada golongan berkenaan mengenakan tudung dengan bergaya dan selesa.
Menelusuri latar belakang wanita kreatif ini, Kak Ell selaku Ketua Pegawai Eksekutif Armila Berhad mendedahkan dia seorang anak peneroka yang ‘dahaga’ kejayaan. Ujar anak sulung daripada enam beradik ini, beliau dilahirkan di Kedah dan membesar di Pahang.
“Saya memiliki kelulusan Diploma Sains Geomatik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam. Sebelum terjun ke dunia keusahawanan, saya sempat bekerja di UOB Bank sebagai kerani.
Sebagai anak sulung, saya bukan hanya jadi tumpuan keluarga tapi dari kecil lagi sudah menampakkan minat yang mendalam terhadap bidang perniagaan.
Melihat ayah menguruskan kedai runcit, hati saya terus membara nak jadi ‘girl boss’ berjaya. Alhamdulillah, semangat itu masih berkobar-kobar samai sekarang.”
Mengulas keunikan Volumnizer Inner keluarannya, Kak Ell berkata idea menghasilkan produk itu tercetus daripada pengalaman sendiri yang berdepan kesukaran mendapatkan inner yang selesa bagi wanita berhijab.
“Dalam fesyen bertudung, scrunchies memang pilihan yang hip untuk mencipta gaya sanggul yang stylish. Terlampau kerap memakai scrunchies boleh buat rambut terasa ‘overworked’. Terutamanya untuk wanita berhijab yang pakai scrunchies berlapis-lapis dan menyebabkan rambut terasa terikat dan berat.
Akhirnya timbul ketidakselesaan pada leher. Pemilihan fabrik inner yang tak sesuai juga boleh jadi punca kepada masalah kulit kepala.
Inner yang terlalu tebal dan kurang pengudaraan boleh membuat kulit kepala berminyak dan berpeluh yang boleh mendatangkan masalah seperti kelemumur dan rambut berbau.
Keklaa Volumnizer Inner hadir sebagai penyelesaian terbaik untuk masalah hijabi sebab tidak hanya beri keselesaan tetapi juga beri sokongan yang diperlukan untuk sanggul tanpa tekanan berlebihan pada rambut,” ungkapnya yang menjadikan figura bapa tersayang sebagai sumber inspirasi dalam kehidupan dan perniagaan.
Tambah ibu kepada tiga orang anak ini lagi, “Saya excited untuk umumkan, lebih 14,600 inner laris terjual dalam hanya dua bulan! Disebabkan sambutan luar jangka itu, kami juga terpaksa hentikan jualan buat sementara kerana kehabisan stok.
Pihak kami kini bekerja keras untuk bawa lebih banyak stok dalam masa terdekat. Terima kasih kepada semua yang telah menyokong Keklaa Volumnizer Inner. InsyaAllah, Keklaa akan kembali dengan lebih banyak style yang fresh dan trendy!”
Antara keistimewaan Volumnizer Inner ialah pembuatan inner yang ringan dan selesa, menggunakan material premium dan rekaan tali inner yang fleksibel mengikut bentuk dan saiz kepala pemakai.
Selain Volumnizer Inner, Kak Ell turut memberitahu beliau bakal melancarkan koleksi RTW Keklaa iaitu skirt hasil kolaborasi bersama pereka fesyen terkenal, Ashraff Zainal.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sekitar tahun 1995 komik biografi jaguh badminton negara ‘Anak-Anak Sidek’ memang terkenal dalam kalangan masyarakat. Atas sambutan menggalakkan itu, ia turut diadaptasikan dalam siri animasi televisyen yang digemari ramai khususnya golongan muda dan peminat sukan badminton.
Kini selepas 28 tahun, generasi yang ‘membesar’ ketika kegemilangan Anak-Anak Sidek masih mengingati setiap watak, cerita dan kejayaan anak kepada pasangan Dato’ Mohd Sidek Abdullah Kamar dan Datin Rukinah Sulaiman.
Salah seorang yang terserlah bakatnya dalam industri sukan badminton negara ialah Datuk Abdul Rashid Mohd Sidek atau lebih dikenali sebagai Adul dalam komik Anak-Anak Sidek berkenaan.
Komik Anak-Anak SidekKredit Instagram @rashid_sidek / Di perkarangan kampung halaman Anak-Anak SidekKredit Instagram @rashid_sidek / Bersama lagenda badminton yang juga abang sulung, Datuk Misbun Sidek
Jasa dan pengorbanan Datuk Rashid terhadap arena badminton cukup besar kepada negara. Meskipun sudah bersara namun khidmat dan kepakarannya masih diperlukan. Sekaligus diberi tanggungjawab menjadi jurulatih skuad badminton kebangsaan sampai sekarang.
Berpuluh tahun menabur bakti demi negara tercinta, Datuk Rashid bagaimana pun seorang family man. Dia yang kini berusia 54 tahun dilahirkan pada 8 Julai 1968 di Banting, Selangor merupakan anak bongsu.
Datuk Rashid Sidek mempunyai lima beradik iaitu Rusitah, Datuk Misbun, Datuk Razif, Datuk Jalani dan Rahman. Kesemua adik-beradik lelaki Datuk Rashid terlibat dalam arena badminton antarabangsa dan mendapat pendedahan serta bimbingan daripada bapa mereka.
Melakar pelbagai kejayaan era 90an, selain pernah memegang gelaran pemain badminton nombor satu dunia Datuk Rashid Sidek juga memenangi pingat emas perseorangan lelaki Sukan Komanwel, Auckland, Perseorangan Lelaki Sukan Komanwel, Victoria, Juara Perseorangan Piala Asia, Juara Perseorangan Terbuka Malaysia dan banyak lagi.
Pada tahun 1995 hingga 2005, populariti adik-beradik atlet ini melonjak dan dikenali ramai selepas komik Anak-Anak Sidek diterbitkan seterusnya disiarkan dalam siri animasi di kaca TV.
Legenda badminton negara yang berjaya membawa Malaysia muncul juara Piala Thomas 1992 dianugerahkan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2021.
Di samping kecemerlangan dalam bidang kerjaya, Datuk Rashid juga seorang bapa penyayang. Mendirikan rumah tangga bersama Datin Azehan Abdul Halim pada 21 Mac 2003, pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ikhwan, Azwin, Eizran dan Irfan.
“Isteri ialah anak saudara kepada arwah isteri Datuk Misbun Sidek. Saya kenal dari usia dia 13 tahun. Kami mula serius umur saya 34 tahun dan isteri 23 tahun sebelum memutuskan untuk melangsungkan perkahwinan.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Rishi Sunak dipilih menyandang jawatan Perdana Menteri UK ke-56. Beliau mengambil alih pucuk pimpinan daripada Liz Truss sebagai Perdana Menteri Britain, yang hanya bertahan kira-kira dua bulan sahaja.
Menyandang jawatan Perdana Menteri United Kingdom (UK) ke-57, Rishi Sunak, 42, merupakan pemimpin paling muda menjawat jawatan nombor satu dalam arena politik di negara itu.
Sunak juga merupakan perdana menteri bukan daripada kalangan ‘kulit putih’ yang pertama dilantik dalam sejarah 200 tahun demokrasi berparlimen UK, menggantikan Liz Truss, yang meletakkan jawatan selepas hanya 44 hari berkhidmat.
Pesaing terdekat Sunak, bekas perdana menteri Boris Johnson sebelum ini menarik diri daripada menjadi calon Perdana Menteri kerana berpendapat tidak lagi mampu menyatukan anggota Parti Konservatif diwakilinya di Parlimen.
Ingin mengenali lebih dekat siapa personaliti tampan lagi berpengaruh ini?
Sunak dilahirkan di Southampton, England pada 12 Mei, 1980.
1. Mempunyai latar belakang pendidikan mampan, bapa Sunak merupakan seorang doktor berketurunan India di Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS), manakala ibunya, juga seorang berketurunan India, mengusahakan farmasi.
2. Anak sulung daripada tiga beradik itu mendapat pendidikan di Kolej Winchester yang menelan kos pengajian sebanyak £43,335 (RM232,558) setahun.
3. Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian di Universiti Oxford dalam bidang politik, falsafah dan ekonomi sebelum menyambung pengajian di Universiti Stanford, Amerika Syarikat. Di sini, beliau bertemu dengan isterinya Akshata Murthy, yang merupakan anak jutawan India, N.R. Narayana Murty, iaitu pengasas bersama syarikat teknologi maklumat (IT), Infosys.
4. Sunak berkahwin dengan Akshata Murthy di Bangalore, India pada tahun 2009. Pasangan ini dikurniakan dua anak perempuan, Krishna dan Anoushka.
5. Pada April lalu, isteri Sunak menimbulkan kontroversi apabila dilaporkan tidak membayar cukai pendapatan antarabangsanya di United Kingdom (UK) dan kemudiannya bersetuju menyelesaikannya dengan membayar cukai tahunan sebanyak £30,000 (RM160,951).
6. Bekas penganalisis Goldman Sachs ini juga merupakan ahli politik barisan hadapan pertama yang pernah dimasukkan dalam senarai orang paling kaya di United Kingdom (UK). Kekayaannya bersama isteri dikatakan mencecah AS$800 juta (RM3.8 bilion).
7. Sunak menyertai persaingan merebut kepimpinan Parti Konservatif pada 8 Julai 2022 menggantikan Johnson. Pada 20 Julai, Sunak menerima pencalonan terbanyak dalam kalangan Ahli Parlimen dari Parti Konservatif. Beliau kemudiannya berdepan dengan Liz Truss dalam undian kalangan ahli parti namun Truss menewaskannya untuk kepimpinan parti dengan 42.6 peratus undi, Sunak kembali duduk di bangku belakang Parlimen.
8. Sunak memfokuskan terhadap isu-isu imigresen dan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) sebagai keutamaan agendanya termasuk memperjuangkan dasar luar di mana negara yang bekerjasama dengan UK bagi membenarkan migran pulang akan diberi ganjaran dengan bantuan, perdagangan dan visa.
9. Beliau juga berikrar meletakkan komitmen untuk membawa “kestabilan dan perpaduan” ketika negara itu sedang berdepan krisis ekonomi.
10. Sunak juga dikhabarkan mempunyai hobi mengumpul segala barangan berkaitan jenama minuman ringan popular, Coca-Cola. Pernah juga berjenaka dengan rakan-rakan mengatakan dia sememangnya ‘penagih Coke’ tetapi bukan kokain.
11. Beliau juga pernah menyuarakan hasratnya untuk menjadi seorang Jedi Knight (salah satu karakter utama dari francais sains fiksyen, Star Wars). Pada 2016, Sunak secara berseloroh memberitahu sekumpulan kanak-kanak sekolah bahawa beliau menyimpan impian untuk memegang pedang persis Jedi Knight!
12. Menurut Fortune, nilai kekayaaan bersih (net worth) Rishi Nusak kini melebihi kekayaan Raja Charles III bernilai £730 Juta berbanding £350 Juta yang dimiliki kerabat diraja tersebut.
Sumber: ASTRO AWANI
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (link)
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!