Anakanda sulung Perdana Menteri ketujuh ini sempat berkongsi bingkisan indah bersama keluarga tercintanya buat pembaca NONA. Di usia 61 tahun, rupa paras isteri kepada Tara Sosrowardoyo dan ibu kepada tiga cahaya mata, Ineza Roussille, Haga Tara dan Shaista Mayada itu masih manis rupawan dengan karakter seorang feminis yang pintar.
Terus saja persoalan tentang watak ibu bapanya di rumah diajukan, lantas disambut dengan senyuman lebar oleh Datin Marina. “Secara jujur, saya melihat kedua orang tua saya sebagai pasangan yang paling ideal di dunia. Mereka seperti ditakdirkan bersama. Amat mesra dan saling melengkapkan antara satu sama lain. Meskipun kedua-duanya tidak ekspresif melahirkan rasa cinta, namun ia terserlah melalui perbuatan dan pandangan mata. Saya juga kenal perangai Ayah saya yang sangat bergantung pada Mak. Kalau ada sesuatu yang mengganggu fikirannya atau waktu dia menjalani rawatan di hospital dahulu, hanya isterinya yang dimahukan untuk berada di sisi.
Ads
Semasa kami semua membesar di Alor Setar, Ayah seorang yang garang dan tidak banyak bercakap. Kalau kami tak pergi ke sekolah, macam buat satu dosa besar bagi dia. Saya juga pernah teruk dicubit dan dimarahi apabila tukang kebun kami mengadu saya menjelir lidah kepadanya. Berkali-kali Ayah tekankan betapa pentingnya sikap tertib dan adab sopan terhadap orang lain. Itulah yang saya pegang dan menjadi prinsip hidup sampai sekarang,” cerita wanita yang mesra disapa sebagai Marina itu kepada penulis.
Tun Dr. Siti Hasmah pula, akui Marina turut bersikap tegas kerana beliaulah yang menguruskan semua hal berkaitan pendidikan anak-anak. “Dia memang lemah lembut dan mesra dengan semua orang. Tapi sewaktu kami kecil, dia seorang enforcer kerana mahu melihat kami semua berjaya. Sekarang tidak lagi. Mak merupakan individu paling rajin untuk mengatur percutian keluarga dan dialah yang sentiasa membuatkan kami sekeluarga berhubung antara satu sama lain.
Kami selalu dididik bahawa hajat tak akan tertunai tanpa usaha. Dalam dunia ni tak ada yang percuma. Semua orang mesti bekerja untuk mendapatkan hasilnya. Mereka juga selalu berpesan bahawa pendidikan itu sangat penting. Tak kisahlah kami mahu kerja apa nanti asalkan mesti habis belajar. Kerana tidak dipaksa, maka tak ada seorang pun di antara kami yang mengikut jejak langkah mereka dalam bidang perubatan. Mujurlah sekarang ada dua anak saudara yang menunjukkan minat sebagai doktor,” kata Datin Marina dengan mesra.
Kesibukan sentiasa menjadi halangan buat pemilik syarikat Mosaique Communication ini dan adik-beradik yang lain untuk selalu berjumpa ibu bapa di rumah. Sesekali tiba peluang berkumpul, itulah masanya untuk update hal keluarga masing-masing. “Percaya tak, kadang-kadang saya kena baca akhbar untuk tahu Mak dan Ayah berada di mana! Hakikatnya memang mereka berdua sibuk dengan pelbagai aktiviti di merata-rata tempat. Sebagai anak Perdana Menteri, kami dah biasa dengan situasi ini. Cuma kini agak risau kerana mereka sudah tua dan perlu banyak berehat.
Ayah sudah biasa bekerja. Sebenarnya kami sekeluarga sudah puas memujuk namun Ayah masih sayangkan perjuangannya. Sampai ke satu tahap, kami jadi putus asa. Selagi dia masih sihat, okaylah. Cuma jauh di sudut hati saya sangat kesian melihat Ayah kerana umurnya yang sudah meningkat,” kata Datin Marina dalam nada tertahan.
Tatkala Datin Marina atau ahli keluarganya yang lain dilemparkan pelbagai tohmahan, mereka sekeluarga mengambil inisiatif untuk saling menyokong satu sama lain. “Saya selalu menerima kritikan negatif tapi alhamdulilah semuanya diuruskan sendiri tanpa melibatkan Ayah atau sesiapa. Mungkin berkat pengalaman di bidang perhubungan awam dulu, saya jadi immune. Saya tak kisah apa orang nak kata. Mereka tak kenal saya tapi menilai dari media sosial saja. Di media sosial, golongan yang menghentam itu memang nampak hero tapi belum tentu mereka berani berdepan saya. Kita semua sama. Yang menghisab cuma Dia.”
Kini meskipun tidak lagi aktif dalam persatuan, kebanyakan masa Datin Marina masih lagi padat dengan pelbagai program seperti jemputan memberi ceramah di sektor korporat, universiti dan sekolah. Beliau juga masih memikul tugas ahli lembaga Yayasan Maybank dan ahli Asian University for Women (AUW) yang berpangkalan di Chittagong, Bangladesh.
Ads
Daripada pandangan mata penulis, sumbangan Datin Marina teramat besar dalam memperjuangkan hak asasi wanita. Beliau lantang menyuarakan pendapatnya walau ada kalanya disanggah beberapa pihak. Sebagai bekas Presiden Majlis AIDS Malaysia juga, Datin Marina giat membela nasib mangsa HIV/AIDS serta terkenal melalui Sisters In Islam kerana memperjuangkan keadilan serta menuntut kesaksamaan bagi wanita Islam
MERIAH
Ceritera Ramadan menyapa perbualan penulis yang seterusnya dengan Marina. Dibesarkan dengan gaya orang Kedah, Datin Marina sekeluarga biasanya akan mula berbuka dengan hidangan ringan seperti kuih-muih dahulu, sebelum bersolat Maghrib dan bersambung semula dengan menjamah nasi. “Amalan kami sama saja dengan keluarga lain. Saya sendiri berlatih berpuasa secara separuh hari. Sedikit demi sedikit, barulah pandai berpuasa sampai sehari dan alhamdulilah pada usia 8 tahun, sudah boleh berpuasa penuh di bulan Ramadan.
Ads
Bagi saya Ramadan adalah masa yang paling ideal untuk keluarga. Sambil itu juga, inilah masanya untuk merenung semula makna kebesaran bulan Ramadan dan to simplify our life. Kami sudah lama tak pergi berbuka puasa di hotel tapi cukuplah apa yang terhidang di atas meja saja. Inilah bulan yang paling quiet bagi saya, kurang bersosial, kurang marah-marah dan lebih masa untuk beribadah. Cukuplah menyibukkan diri pada bulan-bulan lain.
Sekarang bila keluarga dah bertambah besar dan ramai, kami sepakat adakan dua majlis wajib sewaktu bulan Ramadan. Semua ahli keluarga mesti berkumpul pada malam 1 Ramadan dan malam terakhir berpuasa. Masa inilah kami akan berbuka dan bertarawih sama-sama di rumah dengan keluarga,” imbau Datin Marina yang juga pernah menyambut Ramadan selama lima tahun di kota London.
Sewaktu negara di bawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir dulu, penulis teringat akan suasana meriah membuat persiapan raya sambil televisyen terpasang rancangan Perutusan Khas Aidilfitri daripada Perdana Menteri. Tatkala bercerita semula tentang kenangan itu kepada Datin Marina, beliau sebagai anak tentulah agaknya lebih teruja. Sambbil tertawa kecil. “Saya tidaklah sampai tertunggu-tunggu ucapan Ayah di depan TV. Bagi saya, itu biasa saja baginya yang sedang menjalankan tugas rasmi sebagai pemimpin.”
Mengakhiri perbualan ini, Datin Marina sempat berpesan kepada semua pembaca Nona agar jangan jemu menambah ilmu. “Pengetahuan adalah kuasa. Sebagai wanita, kita mesti tahu apa hak kita dan perkasakan diri dengan pengetahuan. Dengan itu kita lebih bersedia untuk menghadapi apa jua cabaran atau kemungkinan yang mendatang,” katanya bersungguh-sungguh.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kehadiran Dato’ Sri Vida (DSV) telah mencipta suatu fenomena dalam dunia hiburan tempatan. Beliau ketika itu bukan hadir sebagai seorang penyanyi malah bukan pelakon tetapi menjadi satu-satunya pengusaha kosmetik yang menaja rancangan hiburan secara besar-besaran di stesen televisyen sehingga menjadi tular. Sebut sahaja nama DSV pasti sudah terbayang seorang wanita yang berpakaian sedondon dan dilengkapi dengan barang kemas bergemerlapan termasuk mahkota di kepala.
Tanpa mempedulikan kata-kata orang, multimillionaire ini terus melangkah merancang strategi demi membangunkan empayar perniagaannya. Menurut wanita kelahiran Machang, Kelantan ini, beliau telah mengalami beberapa kali gagal dalam perniagaan dan juga dalam percintaan. Namun bersyukur kerana jatuh bangun dalam dunia perniagaan dan kehidupannya ini bukan melemahkan semangatnya malah telah menguatkan lagi daya juangnya.
“Apabila membaca kritikan daripada netizen nyata mereka tidak berada dalam kasut saya. Marketing, marketing juga, tetapi cerita saya bukan yang dibuat-buat. Saya genuine dengan bisnes dan kehidupan saya. Apa yang saya tonjolkan selama ini adalah rutin kehidupan yang sebenar,” jelas DSV tentang netizen yang banyak menghamburkan kata-kata negatif terhadapnya.
Cuba mencungkil rahsia wanita yang mempunyai nama asal Dato Seri Dr. Hajah Hasmiza Othman ini tentang cinta, tuturnya jujur, “Sehingga kini, saya masih mengharapkan sebuah cinta yang tulus. Tetapi, kini saya lebih memilih untuk memiliki cinta kembali. Ini kerana begitu sukar untuk mencari cinta sejati dengan status saya kini. Kebanyakan lelaki yang mendampingi saya pada awalnya ikhlas berkawan. Tetapi mereka mula mengubah niat setelah masuk dalam kehidupan saya dan menjadi yang sebaliknya.
Jika Allah SWT mengizinkan saya untuk mengenali lelaki sekali lagi, saya benar-benar teringin jika mereka belanja saya makan. Saya tak pernah merasa orang belanja makan. Saya amat menghargainya jika ada yang sudi,” bicara DSV sambil tertawa nakal.
Melihat mahligainya yang terbentang luas dan dihiasi dengan perabot serba mewah, sudah pasti kehidupan DSV sudah lengkap. Jauh di sudut hati kecil ingin tahu apakah kekurangan pada kediaman ini dan perlu ditambah oleh DSV. “Saya rindukan suara-suara baby yang lahir daripada rahim saya sendiri. Bila melihat Dato’ Sri Siti Nurhaliza dapat baby baru-baru ini teringin pula nak menimang cahaya mata sendiri,” jawab DSV bersungguh.
Jika suatu hari takdirnya DSV sudah tiada lagi, bagaimana DSV mahu dikenang? Saya dah rancang dengan teliti, cuma nak laksanakan sahaja. This is most valueable and something out of box. Ia terlalu istimewa dan luar biasa. Moga dipermudahkan dan saya berharap semua orang mengaminkan doa saya yang satu ini, nantikan… ” ujar ibu kepada Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, 13 tahun dan Muhammad Eric Zecquan, 11 tahun ini.
Dengarnya DSV sudah tidak terlibat dalam GV musim akan datang. Nantikan perkhabaran daripada beliau.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Siapa yang tak kenal dengan artis wanita era 80an Azian Mazwan Sapuwan yang popular dengan lagu berjudul Rumah Kecil Tiang Seribu dan Erti Budi. Wanita yang memiliki susuk tubuh persis anak dara ini sebenarnya ibu kepada 7 orang anak dan berusia 47 tahun.
Selain mengekalkan bentuk badan, Azian yang berketinggian 154 cm ini juga berjaya memiliki saiz pinggang idaman ramai wanita iaitu 27 inci dengan berat 49 kg. Mempunyai berat badan yang sukar naik juga adalah satu kelebihan buat Azian. Kagumnya!
Ketika penulis berbual santai bersama Azian dalam satu sesi fotografi, Azian sempat berkongsi 10 rahsia cantik dan sihat yang diamalkan. Mudah rupanya! Tapi syaratnya perlu konsisten ya.
10 RAHSIA CANTIK & SIHAT AZIAN MAZWAN SAPUWAN
Jangan minum ais kerana ianya sejuk. Bimbang urat dan perut kita sejuk, tegang seterusnya kita jadi tidak sihat. Apabila tidak sihat terus naik ke muka. Kalau nak minum sekali sekala boleh.
Ambil sekurang-kurangnya satu jenis vitamin sebagai makanan tambahan untuk badan. Jangan berlebihan bimbang nanti antibodi badan yang sedia ada akan terganggu. Saya mengamalkan satu jenis vitamin sahaja iaitu CalMeg (kalsium dan magnesium dalam satu tablet).
Banyakkan meminum air kosong.
Tidur yang cukup. Tidak semestinya tidur yang lama tetapi tidur dalam jangka masa ideal yang diperlukan badan.
Elakkan bangun lambat bimbang nanti badan akan menjadi lesu, penat, malas dan sakit urat.
Mandi pagi sebelum Subuh. Badan kekal cergas dan segar sepanjang hari.
Jaga pemakanan. Kalau makan nasi ambil lauk yang tidak memudaratkan tekak, perut dan badan. Contohnya alergik.
Saya amalkan minum air kunyit tetapi tidak terlalu kerap. Apabila datang bulan saya berhenti buat sementara. Saya dapatkan stok dari seorang rakan yang membuatnya sendiri. Jus kunyit bagus untuk kulit muka serta urat-urat badan.
Sentiasa berfikiran positif dan yakin dengan diri sendiri. Jangan mudah buruk sangka kepada seseorang kerana kita sendiri belum tentu sempurna dan terbaik. Lebih baik perbaiki kekurangan diri. Elakkan banyak berborak kosong kerana ia membawa kita ke arah anasir-anasir negatif.
Sentiasa menjaga penampilan diri dari hujung rambut sampai ke hujung kaki. Simple pun orang tetap akan pandang kita. Untuk seri wajah sekurang-kurangnya calitlah lipstik ketika hendak keluar.
Selain bergelar penyanyi, Azian juga kini merupakan Penolong Akauntan di Jabatan Akauntan Negara sejak 10 tahun lalu. Sebelum ini Azian pernah bertugas dalam sektor swasta selama 13 tahun dalam bidang yang sama. Minatnya terhadap bidang nyanyian adalah sejak usia 11 tahun dan mula serius selepas menyertai pertandingan Bintang RTM 1986.
Kredit Foto: Instagram Azian Mazwan Sapuwan
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Allahu, betapa tabahnya jiwa insan hebat bernama Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa ini dalam menyampaikan dakwah! Beliau sanggup mengorbankan masa bersama keluarga tersayang semata-mata demi menyebar syiar Islam dan kebaikan bersama. Sungguh! Kagum dengan usaha murni pendakwah muslimah berusia 44 tahun ini. Moga segala kebaikan Ustazah Norhafizah mendapat ganjaran terbaik dari Allah SWT.
Meskipun beliau disegani ramai dan sering dikerumuni masyarakat setiap kali kelibatnya muncul di hadapan khalayak, namun segala populariti sepanjang bergelar pendakwah nyata bukan sentiasa manis belaka. Ustazah Norhafizah yang gemar berkongsi ilmu dan aktiviti bersama orang ramai di Instagram baru-baru ini, akhirnya terbuka mendedahkan realiti sebenar yang harus ditempuh selama lebih 2 dekad menjadi pendakwah dan pakar motivasi.
Kongsi isteri Dr Azahar Yaakub ini, “Lebih 20 tahun ustazah dalam alam dakwah ini jarang ustazah kongsikan tabiat komitmen kami. Tapi hari ni rasa nak berkongsi sambil menunggu pesawat ke Changi. Pendakwah muslimah komitmen pada keluarga adalah tanggungjawab yang besar dan utama. Tapi kadang-kadang air mata kami mengalir ketika kami khilaf dalam menyusun jadual sehingga bertembunglah segala yang penting dalam hidup kami.
Hari ini, family day keluarga besar Haji Musa, hari ini Majlis Takrim anakanda Nur Fudhla Hannan, hari ini Majlis Perpisahan dan Takrim Madinatulhuffaz, hari ini majlis anugerah anakanda Nawwar Huzaifah dan Nur Iman Sofia dan hari ini Ustazah Norhafizah Musa harus terbang untuk komitmen dakwah.”
Tambahnya lagi, “Walaupun dah dicuba untuk mengelakkan pertembungan, tetapi kadang-kadang kami tak mampu atas pelbagai faktor dan situasi. Sebab itu apa yang ustazah tulis ini adalah untuk menghargai. Suami yang sangat memahami, anak-anak yang bertolak-ansur, emak abah yang sentiasa senyum menyokong dan mendoakan, adik-beradik dan kaum keluarga yang menyantuni. Sempat tadi umi peluk Nur Fudhla Hannan… umi mesej abi dengan segala ayat kasih sayang memohon keuzuran dari semua yang sangat disayangi. Tapi tetap hati ini menangis. Demikianlah yang kadang-kadang dilalui dan balik nanti inshaAllah berfikir pula bagaimana untuk menebus semua ini kembali.
Alhamdulillah, terima kasih. Yang hebat dalam hidup ini adalah kalian… suami, anak-anakku , mak abah dan seluruh keluarga. Ustazah mengharapkan pahala dari sisi Allah. Bukan saja untuk ustazah tapi untuk insan-insan berjiwa besar dalam hidup ustazah. Ustazah tahu betapa sukanya keluarga bila dapat berkumpul bersama tapi kalian redho terima hakikat… Ustazah Norhafizah Musa ada tanggungjawab untuk dakwah ummah selagi hayatnya masih ada. Sahabat-sahabat sekalian doakanlah keluarga kami agar sentiasa dalam kebaikan.”
Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa bukan hanya terkenal dengan kelembutannya dalam menyampaikan dakwah bahkan ibu tujuh anak ini juga berjaya menggenggam PhD. Penganugerahan Doktor Falsafah (PhD) Ustazah Norhafizah dari Akademi Pengajian Islam tersebut berlangsung di Istiadat Konvokesyen ke-58 Universiti Malaya tahun lalu. Pasti ramai wanita yang terinspirasi dengan figura bernama Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa.
Beliau tidak sekadar berjaya dalam bidang kerjaya dan pengajian, malah dikurniakan Allah nikmat rumah tangga yang bahagia bersama suami tercinta, empat anak perempuan serta tiga anak lelaki.
Keperibadian wanita hebat ini juga mencetuskan rasa kagum kerana Ustazah Norhafizah memiliki rupa paras yang sejuk mata memandang di samping pertuturannya yang penuh kelembutan dan nasihat. Masih terngiang-ngiang lagi suara lembut beliau menyampaikan ceramah di corong radio mahupun di kaca televisyen. Nampak bersahaja namun sampai ke lubuk hati setiap pendengar.
Ustazah Norhafizah mendapat pendidikan peringkat Sarjana Muda di Universiti of Yarmouk, Jordan dalam bidang Sastera Bahasa Arab dan Pengajian Islam sebelum menyambung pengajian di peringkat sarjana di Universiti Malaya di Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan. Bergelar pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur, beliau juga merupakan penulis buku, kolumnis majalah, panel di radio Ikim FM, panel Tanyalah Ustazah, Al-Hidayah, Forum Perdana dan banyak lagi.
Sumber: Instagram Ustazah Norhafizah Musa
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tahniah diucapkan kepada pelakon dan penyampai radio popular, Shiera dan suami atas kelahiran cucu sulung mereka baru-baru ini. Terhibur tengok gelagat lucu pasangan suami isteri ini yang menyambut kehadiran cucu mereka di sebuah hospital swasta di Kuantan, Pahang ...