Program realiti TV, Pencarian Nona Superwoman semakin hampir ke penghujungnya. Cabaran kian sengit menyaksikan enam lagi peserta yang terus ‘berjuang’ demi merebut tempat ke pentas akhir seterusnya bergelar juara.
Hotel terkemuka bertaraf dunia, Four Seasons Kuala Lumpur menjadi medan pertarungan para peserta Pencarian Nona Superwoman. Apa yang pasti keyakinan dan kemampuan diri setiap peserta masih kekal utuh di hujung perjuangan mereka. Masing-masing berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mempamerkan hasil yang terbaik demi menambat hati juri.
Cabaran Episod 7 kali ini ialah ‘Business Strategy – Branding Plan’ yang menguji peserta dalam menghasilkan idea-idea luar biasa untuk pembinaan jenama atau brand identity
.
Terdahulu hos Nadia Annuar memperkenalkan panel jemputan yang pakar dalam dunia perniagaan iaitu Sifu Jamal. Peserta diberikan ilmu dan perkongsian tentang penjenamaan produk oleh Sifu Jamal dalam satu sesi workshop.
Seterusnya, cabaran episod kali ini telah diumumkan oleh juri tetap iaitu Ketua Pegawai Eksekutif USANITA Sdn Bhd, Datin Adzliana Dato’ Sri Dr Hasan. Peserta diminta melakukan pembentangan pembinaan jenama dengan menggunakan perkhidmatan sektor-sektor yang diberikan. Awal Ashaari memaklumkan peserta diberikan masa selama satu jam setengah untuk menyiapkan tugasan tersebut manakala untuk sesi pembentangan mereka hanya diberikan masa selama 10 minit.
Hasil penilaian juri, Syu Ramli diumumkan sebagai pemenang dalam cabaran kali ini sekaligus melayakkan dirinya ke pentas akhir. Diikuti Linda Ross, Ayu Omar, Fazs Faozi dan Ana Najia yang turut mara ke peringkat akhir.
Manakala Fazlia Akma berada di kedudukan terendah sekaligus tersingkir.
“Saya memang dah jangkakan yang saya akan tersingkir kerana performance saya agak merosot. Tetapi alhamdulillah saya sampai ke semi-final. Perancangan selepas ini kembali kepada bisnes kerana saya bakal melancarkan sebuah akademi. Jadi saya akan kembali sibuk dengan bisnes.
Salah satu sebab saya sertai Pencarian Nona Superwoman untuk meningkatkan keyakinan diri. Sebelum ini saya mudah gugup bila bercakap depan orang. Dalam program ini saya banyak belajar tentang keyakinan diri, cara penyampaian, cara bercakap, cara bawa diri, body language dan sebagainya. Pesanan saya buat rakan-rakan yang berjaya ke final tunjukkan yang terbaik dan selamat maju jaya!” komen Fazlia.
Pencarian Nona Superwoman julung kali diadakan khusus buat usahawan B40 dan M40 yang terkesan akibat pandemik COVID-19. Matlamat program ini bagi menyuntik inspirasi dan memberi peluang baharu kepada para peserta agar bangkit memajukan empayar perniagaan memandangkan setiap daripada peserta ini memiliki latar belakang bisnes yang berbeza.
Terus setia mengikuti perjuangan peserta Pencarian Nona Superwoman dalam usaha mereka menjadi ahli perniagaan yang berwibawa serta berkarisma.
Pencarian Nona Superwoman bersiaran setiap hari Rabu jam 9 malam di Astro Prima yang dibawakan secara ekslusif oleh Majalah Nona dan Nu Ideaktiv Sdn Bhd serta diperkasakan oleh USANITA.