Pembaca berita kaum lain menyampaikan berita berbahasa Melayu bukanlah sesuatu yang asing dalam dunia penyiaran, namun sesuatu yang unik jika pembaca berbangsa Melayu membaca berita dalam bahasa Mandarin. Yang pasti, tidak semua yang mampu berbuat demikian.
Rasyidah Abu Johan memecah tradisi apabila menjadi pembaca berita berketurunan Melayu pertama membaca Berita Mandarin di RTM (TV2). Rasyidah Abu Johan menggalas peranan membaca Berita Mandarin RTM setiap pukul 12 tengah hari dan 7 malam sekali gus menjadi wanita Melayu pertama yang berbuat demikian.
Rasyidah yang merupakan anak jati Georgetown, Pulau Pinang ini memulakan tugas ini pada hari kedua Tahun Baru Cina 2020 atau 26 Januari. Menerusi temubual bersama dengan Bebas News, “Saya memenuhi impian ibu saya, Noraishah Badaruddin yang memang hendak tengok saya jadi pembaca berita berbahasa Mandarin sejak saya belajar di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC).
Saya pula menjalankan kerja yang boleh saya selami pelbagai benda baru setiap hari dan apabila masuk bidang kewartawanan, saya memang amat menyukainya,” katanya kepada BebasNews.
“Saya mula menyertai RTM pada tahun 2011. Selaku Penerbit Rancangan, saya perlu juga membuat pelbagai tugas termasuk meliputi berita am dan bisnes. Tiga tahun kemudian, saya ditempatkan di Meja Mandarin. Dari situ, saya kerap membuat laporan, suara latar (VO), standupper (pelapor di tempat kejadian), lintas langsung (crossover) berita dalam bahasa Mandarin,” kata lulusan Ijazah Komunikasi Perhubungan Awam dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Petaling Jaya ini.
“Selepas saya mula terlibat sebagai suara latar berita, baru saya mendapat tawaran untuk membaca berita,” katanya.
Rasyidah juga berkongsi ramai rakan-rakan sekerjanya yang berbangsa Cina banya membantu dia menguasai pemahaman dan penyampaian dalam bahasa Mandarin.
Malah, Rasyidah juga banyak menonton pelbagai berita TV termasuk tayangan stesen lain seperti dari China, Hong Kong, Taiwan dan Singapura. Saya juga menggemari lagu dan siri-siri TV berbahasa Cina, membaca akhbar-akhbar Cina dan menonton konsertnya.
Sumber: Bebas News (Abdul Hafiz Ahmad)
This website uses cookies.