“Saya Menyewa Railing Di Butik Multilabel Dengan modal RM2000 dan 30 helai pakaian sahaja” – ZUHURAH ZAIBIDI

kecenderungan membeli pakaian melalui dalam talian menjentik hati figura bernama Zuhurah Zaibidi untuk mencipta jenamanya sendiri. Label Larney yang ditubuhkan sejak tahun 2015 membawa Zuhurah atau lebih mesra disapa Zura lebih matang dalam bidang yang diceburinya. Mempunyai Ijazah dalam jurusan Kejuruteraan Telekomunikasi dari Universiti Malaya, Zura sebelum ini pernah bekerja sebagai Network Engineer di salah sebuah syarikat GLC selama tujuh tahun. Walaupun kini Zura membina karier yang berbeza dari kerjaya sebelumnya, siapa sangka jenama Larney kian menempa nama dek kerana kecintaanya dalam dunia fesyen.

BAGAIMANAKAH JENAMA LARNEY BOLEH TERCETUS?

sebagai seorang wanita yang sering mengikuti perkembangan fesyen terkini, saya melihat dari perspektif yang lebih luas tentang potensi perniagaan dalam bidang fesyen. Oleh kerana itu, saya memulakan langkah pertama untuk belajar menjahit secara santai. Kemudian, saya mula menjahit baju saya sendiri. Lama-kelamaan saya mula mengambil tempahan dari saudara dan teman terdekat. Saya tidak pernah menyangka, cubaan saya menjual pakaian rekaan sendiri dengan hanya berbekalkan pengalaman menjahit yang tidak seberapa itu telah mendapat sambutan yang menggalakkan. Alhamdulillah, ramai yang memuji baju rekaan saya dan tempahan yang saya terima semakin banyak.

CERITAKAN PERMULAAN PEMBABITAN ANDA DALAM BIDANG FESYEN?

Saya mula mengkormesialkan hasil rekaan saya bermula dengan menjual hasil rekaan saya di instagram milik @larneyofficial. Saya menyewa railing di butik multilabel dengan berbekalkan modal RM2000 dan 30 helai pakaian sahaja. Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat menggalakkkan dan Larney mula mengembangkan cabang ke butik multi label pertama di Malaysia iaitu di Modvier dan Fashion valet . Sehingga saat ini Larney masih kekal di Modvier dan Fashion Valet di samping mengembangkan sayap ke seluruh butik Fashion Valet di kompleks membeli-belah terkemuka termasuk Pavilion.

APAKAH SIGNATURE REKAAN LARNEY?

Jika di tanya fashionista zaman sekarang , Alhamdulillah ramai yang mula mengenali Larney kerana identiti Larney itu sendiri. Jenama saya hadir dengan beberapa elemen signature iaitu pleats, wrap, tutu, draping dan bows. Semua elemen ini saya rangkumkan menjadi satu identiti atau DNA yang sesuai dengan kemasan Larney yang kebanyakannya bersifat feminin, kewanitaan tetapi sofistikated.

SIAPAKAH TULANG BELAKANG ANDA UNTUK MENCEBURI BIDANG INI?

Dorongan utama saya pastinya diri saya sendiri. Peribahasa Melayu ada menyebut, “kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”. Saya cabar diri saya sendiri bersandarkan semangat itu. Suami saya adalah pemangkin buat saya dan dia juga merupakan penasihat kewangan saya. Terlalu banyak yang telah dia korbankan demi perniagaan saya ini. Tidak ketinggalan juga keluarga, tiga orang anak dan Allahyarham ayah saya juga yang sempat melihat saya mendaki dalam perniagaan fesyen ini. Semangat serta idea kreatif daripada kawan-kawan rapat juga adalah salah satu kekuatan saya. Wanita mana yang tidak perlukan sokongan BFF mereka.

KONGSIKAN KOLEKSI TERBAHARU ANDA…

Sejak dilancarkan, Larney telah menjalani beberapa siri inovasi dalam setiap rekaan mahupun koleksi. Terbaru Larney baru saja melancarkan Larney Urban Glam 2.0 dan Work Wear 2019. Juga variasi skirt labuh dengan statement terkini dan dalam masa yang sama kami masih dalam proses kreatif untuk merealisasikan koleksi Lebaran Larney 2019.

APAKAH PENGALAMAN YANG SUKAR DILUPAKAN SEPANJANG BERGELAR PEREKA FESYEN?

Percaya atau tidak, saya pernah mengalami penurunan berat badan sebanyak 10 kilogram, gara-gara kerana menyiapkan koleksi Ramadhan Larney di Dubai dan dalam masa yang sama persiapan koleksi Hari Raya 2018.

BAGAIMANAKAH ANDA MELIHAT JENAMA ANDA LIMA TAHUN AKAN DATANG?

Siapa yang tidak mahu melihat jenama fesyen miliknya berada di pusat beli-belah pilihan ramai atau bertaraf premium. Begitu juga dengan saya. Sebagai pengasas jenama Larney, saya idamkan sesuatu yang bersifat komersial dan berdiri sama tinggi dengan jenama antarabangsa lain seperti Zara, Top Shop dan COS.

Share
Published by
Fadhli Ismail