“Saya Mewarisi Bakat Nenda Yang Pakar Dalam Solekan Golongan Diraja” DATIN SAIDATULNISA

Datin Saidatulnisa Aminuddin yang sering menjadi pilihan golongan ternama mahupun kerabat Diraja. Berpengalaman selama lebih 30 tahun dalam dunia solekan meletakkan wanita berusia 57 tahun ini dalam kelasnya yang tersendiri.

Jurusolek tersohor sepanjang zaman, Datin Saidatulnisa Aminuddin yang juga merupakan kakak kepada ratu rock, Ella.

Beberapa hari lalu, Datin Saidatulnisa memuat naik foto dirinya bersama KDYMM Sultanah Nur Zahirah di laman Instagram sempena sambutan Hari Keputeraan KDYMM Al-Wathiqu Billah Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin yang ke 60.

YAM Tengku Puteri Utama Raja Tengku Nadhirah Zahrah binti Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin.

Selain Sultanah Nur Zahirah, beliau turut merias anakanda baginda iaitu YAM Tengku Puteri Utama Raja Tengku Nadhirah Zahrah. Terserlah kejelitaan puteri raja yang memiliki raut wajah yang manis dan ayu, persis bondanya.

Menurut Datin Saidatulnisa, setiap kali merias golongan kerabat memerlukan beliau mematuhi protokol istana yang ditetapkan.

“Berpengalaman dalam protokol istana sedikit sebanyak membantu saya untuk tidak merasa kekok ketika bersama mereka. Saya cukup menghormati pelanggan dan tidak akan melangkaui batas antara kami.

Saya bukanlah terlalu memilih sebaliknya mahu mengekalkan polisi confidentiality sesama pelanggan lebih-lebih lagi selebriti, VVIP dan golongan ternama.

Datin Saidatulnisa bersama Sultanah Nur Zahirah dan YAM Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra’.

Dalam solekan, saya mewarisi bakat Nenda yang pakar dalam menyolek pengantin dan golongan diraja zaman dulu. Saya banyak belajar sendiri tanpa tunjuk ajar sesiapa. Alhamdulillah kini ia menjadi minat dan salah satu sumber rezeki saya.

Tiada sebarang rahsia mahupun pantang cuma saya masih mengekalkan tip daripada Nenda saya. Selalunya sebelum menyolek saya terlebih dahulu akan berselawat ke atas junjungan Nabi SAW sambil berpegang teguh kepada prinsip ‘Less is more’.

Saya masih berpegang teguh kepada solekan yang tidak keterlaluan, tidak makan dek zaman atau evergreen (malar segar). Lebih-lebih lagi solekan untuk perkahwinan yang akan terpahat pada gambar kenangan sampai bila-bila.

Dunia solekan akan sentiasa berevolusi tetapi bagi saya kita tetap perlukan solekan yang evergreen (malar segar). Sejauh mana transformasi solekan itu berlaku pastikan ia tidak melampaui agama dan budaya kita.”

Kredit Foto: Instagram @saidatulnisaaminuddin

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad