“Saya Perlu Dibotakkan Setiap Hari..” Pandang Pertama Ana De Armas Sebagai Marilyn Monroe, Seiras Betul!

Semalam, trailer filem Blonde telah disiarkan secara rasmi buat tontonan umum dan reaksi yang diterima warganet memang tidak terjangka. Untuk pengetahuan, Blonde merupakan filem yang berdasarkan kisah hidup pelakon dan simbol seks Amerika Syarikat ternama, Marilyn Monroe yang terkenal pada era 1950-1960-an. Kisah Marilyn kemudiannya diadaptasi kepada novel tahun 2000 dengan nama yang sama oleh Joyce Carol Oates.

Bakal disiarkan menerusi Netflix pada 28 September nanti menyaksikan Ana de Armas akan memegang watak Marilyn Monroe dan ramai sudah mulai memperkatakan tentang lakonan serta penampilannya.

Menerusi trailer berdurasi 2 minit itu memperlihatkan lakonan penuh emosi Ana sebagai Marilyn yang nyata meruntun jiwa penonton. Bukan itu saja, penampilannya pula saling tidak tumpah dengan Marilyn ketika hayatnya. Dengan kuasa solekan dan makeover, dandanan rambut perang yang ikonik serta mimik muka, Ana De Armas nyata memukau.

Dalam temubualnya bersama majalah Grazia, Ana mengakui proses transformasi imejnya kepada Marilyn bukannya mudah. Jelasnya, “Saya perlu menjadi ‘botak’ setiap hari, bagi memakai rambut palsu perang.

Jadi untuk betul-betul menjadi Marilyn Monroe, saya perlu menjaga tona kulit saya dari wajah hingga ke bawah kerana tidak mahu kelihatan apa-apa yang gelap dan tidak sekata. Maka saya perlu sentiasa berhati-hati. Untuk proses rambut ikonik Marilyn, saya perlu memakai topi botak setiap hari dari dahi ke seluruh kepala saya. Ia agak mencabar”.

Sedutan dalam filem Blonde Kredit foto: Netflix

Filem fiksyen psikologi ini menyusuri kehidupan penuh berliku Marilyn yang diduga dengan populariti serta akibat dari penampilannya, menjurus kepada kisah percintaan yang tidak kesampaian, salah guna dadah serta kuasa.

Ana de Armas, pelakon yang berasal dari Cuba ini mula mendapat perhatian pengarah dan studio perfileman Hollywood selepas muncul dalam beberapa buah filem blockbuster seperti Knives Out dan The Grey Man.

Kredit foto: Getty Images

Kecantikan Ana De Armas juga diperakui apabila Ana turut disenaraikan dalam The 100 Most Beautiful Women in the World 2021 pada tahun lepas dan menduduki tempat ke 81. Ana juga turut menjadi wajah eksklusif Estee Launder, Only Natural Diamonds dan banyak lagi. Kami di NONA pun dah tak sabar nak tonton filem Blonde ini dan melihat sendiri bagaimana Ana mengendong watak Marilyn. She’s gonna be amazing thats for sure!!

Share
Published by
Wan Firdaus