Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa yang tahu. Hikmah di sebalik diberhentikan kerja dalam industri penerbangan akibat Covid-19 kira-kira dua tahun lalu membuka lembaran hidup baharu buat pemilik nama Muhammad Ryan Fahmi Bakery atau lebih dikenali sebagai Ryan Bakery.
Siapa sangka dari seorang pemuda biasa kini dia merupakan salah seorang personaliti media sosial berjaya dan sebaris selebriti popular tanah air.
Ads
Percaturan Ryan mengetengahkan video nostalgia santai dan menghiburkan sebagai kandungan di platform media sosial miliknya meraih perhatian meluas.
Populariti anak jati kelahiran Perak ini naik mendadak sekaligus menambat hati sebilangan besar warga maya tidak kira dalam kalangan dewasa mahupun remaja. Sehingga kini pengikut Ryan di Instagram dan TikTok mencecah jutaan orang!
Enggan mendabik diri dengan kesenangan tersebut, anak sulung daripada empat beradik ini bagaimana pun sentiasa berpijak di bumi nyata.
Mengimbas kembali perjalanannya bergelar pempengaruh media sosial, dalam nada syukur Ryan yang sinonim dengan panggilan ‘Budak Bedak’ membuka bicara.
“Saya berasal dari keluarga yang bukan senang. Ayah saya bekas Tentera Laut dan mak pula suri rumah. Mak saya berniaga makanan seperti kuih, laksa dan nasi ayam. Saya dulu banyak main, kerja pun lompat sana-sini.
Satu hari ayah tanya sampai bila nak kerja macam tu dan bila nak ada kerja tetap. Memang kata-kata ayah tu menusuk dalam hati. Terus saya pergi sambung belajar dan rezeki dapat kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Seronok mak ayah bila saya kerja di airport. Tapi bila diberhentikan kerja sebab pandemik Covid-19, hati siapa tak hancur. Saya kemudian balik ke kampung di Perak. Dalam hati menangis, rasa macam seorang anak yang gagal.
Di kampung, saya berniaga seorang diri. Waktu tu tengah trend ikan laga, jadi saya cuba biak dan bisnes tu menjadi. Dalam masa sama, saya juga jual kuih.
Memandangkan banyak masa terluang saya fikir macam mana lagi nak jana income. Kalau dapat buat video, boleh buat paid review dan tambah duit. Zaman video pendek di laman sosial Vine dulu saya minat Luqman Podolski dan Adib Alex. Jadi di situlah saya mula buat content,” ujar bekas penuntut International College of Yayasan Melaka (ICYM) ini.
Dedah Ryan, kekuatan kandungan video yang dipaparkan menjurus kepada elemen nostalgia.
“Saya dah buat banyak content sebenarnya. Tapi content nostalgia lebih dapat sambutan tinggi. Kadang-kadang tengah borak dengan mak pun boleh jadi sebab berkait rapat dengan kisah masyarakat. Walau nampak simple dan ada yang kata ‘lame joke’, saya ambil tugas content creator ini secara serius.
Seronok bila baca komen positif dari mereka yang tersentuh hati lepas tengok content yang saya hasilkan. Benda itu ‘mahal’. Saya cuba paparkan momen di samping orang-orang tersayang, keluarga, pengalaman hidup dan ragam masyarakat,” luahnya sambil meluahkan rasa syukur menerima banyak tawaran lakonan, jurucakap produk dan jadi peserta program realiti TV sejak namanya terkenal.
Berbekalkan restu dan sokongan tidak berbelah bahagi daripada ibu bapa, keluarga dan isteri tersayang, Ryan melangkah laju mengharungi cabaran bergelar public figure.
Malah dia enggan menjadikan kecaman dan kritikan segelintir pihak yang tidak sehaluan dengan karya kreatifnya sebagai halangan untuk terus memajukan diri.
Ads
Akui Ryan, dia pernah terlintas mahu undur diri daripada industri dek kerana tohmahan yang dilemparkan khalayak namun figura berusia 28 tahun ini kental menempuh dugaan.
“Kita ada keluarga nak beri makan, ada isteri nak dijaga. Itu yang menguatkan semangat saya. Bukan semua orang suka kita tapi kalau kita tak dapat nak hadap benda tu bermakna kita tak cukup kuat. Alhamdulillah setakat ini segala kecaman saya masih boleh tepis lagi. Tapi kadang-kadang sedih juga.”
Tidak pernah mendedahkan realiti kesukaran yang dialami sepanjang bergelar pempengaruh media sosial sebelum ini, Ryan berkata jiwanya rapuh saat pertama kali berdepan kata-kata negatif netizen.
“Nak dapat jiwa kental tu, saya pernah patah hidung, pengsan, stres, diserang anxiety dan selalu bersendiri. Jadi content creator di media sosial ni bukan mudah sebab kita akan hadap banyak benda. Paling utama sekali, persekitaran yang ‘toksik’.
Kita kena bijak singkirkan komen yang negatif daripada mempengaruhi diri dan kehidupan seharian supaya tak terus hanyut dan jatuh.
Saya juga pernah keluar masuk hospital. Waktu tu belum kahwin lagi dan isteri tahu betapa saya struggle lalui semua ini. Bila masuk hospital, isteri saya sanggup turun dari Sepang ke Temerloh, Pahang untuk pastikan saya sihat. Orang tak tahu macam mana kita berusaha cari rezeki untuk keluarga.
Ads
Selagi kita boleh buat, kita sajikan content yang positif dan elak daripada sentuh sensitiviti masyarakat,” telus Ryan yang merancang menceburi bidang perniagaan pakaian andai satu hari nanti tidak lagi berkecimpung dalam industri ini.
Mengulas pencapaian terbesar yang diraih sejak menjadi individu berpengaruh di alam maya, Ryan bersyukur dibukakan pintu rezeki seluas-luasnya yang tidak pernah terlintas pun di fikiran selama ini.
Selain berpeluang membintangi filem Zim Zim Ala Kazim, Ryan juga berjaya merangkul pengiktirafan TikTok Awards Malaysia 2023 bagi kategori Popular Creator of The Year pada Ogos lalu.
Lebih manis, impian Ryan untuk mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihan turut dimakbulkan Allah SWT. Tanggal 1 Oktober 2022 dia sah menjadi suami kepada Elyia Ibrahim selepas lima tahun mengenali hati budi.
Tidak menolak hakikat industri media sosial dan gig ekonomi yang diceburi mampu menjana pendapatan lumayan, Ryan menitipkan pesanan ini kepada generasi belia yang berhasrat melibatkan diri dalam bidang sama.
“Bergelar influencer bukan jalan singkat untuk hidup mewah dan senang. Tak kira sebanyak mana pun followers dan popularnya kita, perlu habis belajar dan ada ilmu.
Saya jadi content creator bukan sekadar buat content saja, saya juga kena ada knowledge untuk susun masa depan. Sibuk macam mana kena pandai cari ruang untuk belajar.
Orang ingat jadi influencer ni tak perlu belajar tinggi. Silap tu, kalau tak ada ilmu kita tak akan berkembang dan takat di situ saja. Kadang-kadang kita akan rasa terlalu murung dan sedih, mungkin waktu itulah sebenarnya untuk kita bangkit dengan semangat baru. Jangan sesekali putus asa dan teruskan berusaha,” akhirinya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Menceburi dunia perniagaan pada waktu yang tepat telah membuka pintu rezeki buat figura berusia 35 tahun ini.
Memilih bidang estetik sebagai ‘cabang’ baru dalam kerjayanya, penerima Nona Best Medispa Award Dr Abdul Haq Ab Wasa bijak menggunakan peluang dengan membuka cabang perniagaan dalam dunia estetik Estika Medispa pertamanya di kampung halaman, Terengganu menggunakan wang simpanan sendiri.
Pada ketika itu, permintaan pelanggan di Malaysia terhadap perkhidmatan kecantikan estetik kian meningkat. Selain klinik estetik, perkhidmatan kecantikan estetik pada ketika itu dipelopori oleh salon kecantikan atau spa yang yang dikendalikan oleh individu yang bukan berlatar belakangkan bidang perubatan estetik.
Perkara ini menarik perhatian Dr Haq Wasa untuk menubuhkan Medispa, sebuah pusat kecantikan non-invasive beauty aging di Malaysia. Terdahulu, Dr Haq pernah berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan Wakaf Tapai, Kuala Terengganu.
“Sebelum berkecimpung dalam dunia perniagaan khususnya Medispa, saya merupakan graduan Ijazah Perubatan dan Pembedahan dari Universiti Iskandariah Mesir. Setelah menerima Ijazah, saya berkhidmat hampir tiga tahun di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu. Sepanjang berkhidmat, saya sentiasa mencari idea-idea perniagaan untuk dibina sendiri,” kongsi Dr Haq.
Menurut beliau, ketika itu industri estetik di Malaysia baru hendak berkembang. Justeru, beliau banyak mencari idea-idea perniagaan dari negara luar seperti Indonesia, Thailand dan London.
Bagi mengukuhkan lagi ilmu dan kemahiran dalam bidang estetik, Dr Haq turut mengambil sijil daripada American Academy of Aesthetic Medicine pada tahun 2015. Tujuannya ialah untuk memudahkan beliau mereka satu SOP dan tempat untuk melakukan rawatan estetik.
“Di Estika Medispa, kita tidak terlalu fokus kepada suntikan mahupun pembedahan sebaliknya lebih kepada meningkatkan lagi kecantikan semula jadi. Estika Medispa juga memfokuskan kepada non-invasive beauty aging services.”
Bagi memastikan Estika Medispa kekal relevan, Dr Haq menjelaskan bahawa Estika Medispa akan sentiasa meletakkan sasaran kadar keberkesanan rawatan pada 80 ke atas dan juga kadar kepuasan pelanggan melebih 80%. “Kami akan kekal relevan dalam pasaran jika kami mampu memberi kesan yang positif dan mengatasi masalah kulit wajah yang dihadapi oleh pelanggan sama ada jeragat, jerawat atau kesan penuaan,” tambah beliau.
Untuk mencapai matlamat ini, pihak Estika Medispa akan sentiasa proaktif dan inovatif dalam membawa masuk teknologi dan terapi yang berkesan dalam perubatan estetik non-invasive.
Setiap kerjaya pasti akan ada cabarannya yang tersendiri. Apatah lagi dalam dunia perniagaan. Seseorang itu perlu ada ilmu dan tahu selok-belok dunia perniagaan yang sebenar.
“Cabaran utamanya bergantung kepada tahap perniagaan ketika itu, jika pada permulaan cabaran terbesar ialah memahami dunia perniagaan. Ia termasuklah bagaimana perniagaan itu bermula, bagaimana hendak menjaga bahagian sumber manusia, pemasaran, akaun, kewangan dan sebagainya. Apabila perniagaan semakin berkembang, cabaran seterusnya ialah tenaga kerja. Sukar sebenarnya untuk mendapat pekerja-pekerja yang bagus dan berkualiti pada zaman sekarang,” jelas Dr Haq.
RAWATAN
Di Estika Medispa, segala terapi dan rawatan yang disediakan tidak dilakukan secara suka-suka mahupun terikut-ikut dengan trend semasa. Kata Dr Haq, setiap rawatan atau terapi yang dibuat adalah berdasarkan teknologi dan kajian semasa. “Kami akan sentiasa update selari dengan perkembangan semasa supaya segala rawatan dan terapi yang kita lakukan adalah berkesan dan memenuhi kehendak para pelanggan,” ujarnya.
Dr Haq turut mendedahkan sumber inspirasi serta pencetus semangat buat dirinya ialah keluarga. Ini kerana sokongan mereka adalah sangat penting untuk beliau terus bekerja dengan gigih demi membina satu legasi perniagaan pada masa hadapan. Bagi Dr Haq, masa depan anak-anak adalah satu tanggungjawab besar buat dirinya.
“Sebagai usahawan atau apa sahaja yang kita lakukan dalam hidup, kita akan sentiasa dilanda masalah dan juga musibah. Maka, saya sentiasa berpegang kepada potongan ayat Al-Quran ini, ‘Sesungguhnya setiap kesukaran itu disusuli dengan kesenangan.
“Setiap apa yang kita buat pasti ada kesukaran. Maka sentiasalah bersabar dan cari penyelesaian. Jangan sesekali lari daripada masalah. Beruntunglah bagi mereka yang sabar,” pesan Dr Haq.
Lumrah wanita ingin menjadi cantik. Dan lebih parah apabila ada yang ingin cantik dengan lebih cepat. Sebagai pemilik Estika Medispa, ini pandangan Dr Haq. “Jika cantik dengan cepat, kita lihat kepada kaedah yang mereka tumpukan. Jika mereka menggunakan kosmetik yang mengandungi bahan-bahan terlarang seperti merkuri, kesannya akan cepat tetapi kesan sampingan pada masa akan datang bagi saya tidak berbaloi.
Jika dari segi pembedahan atau suntikan, itu terpulang kepada individu. Dan jika mahu ke arah itu, boleh lakukan di klinik-klinik yang berdaftar dan bertemu doktor-doktor yang diiktiraf. Jangan suka-suka pergi ke tempat yang tidak diiktiraf kerana kita tidak tahu kesahihan pihak yang melakukan rawatan itu,” tegasnya.
Menurut Dr Haq, seorang lelaki itu boleh dianggap sebagai superhero jika dia dapat memberi kesan yang positif dalam kehidupan seseorang. Tidak perlu ada kuasa yang luar biasa. Cukuplah menjalankan tanggungjawab dengan sepenuh hati dan tidak mengabaikan tanggungjawab yang sedang di diamanahkan.
Bagi beliau itu pun sudah cukup untuk melayakkan seseorang itu digelar superhero. Bercakap tentang impian pula, Dr Haq menyatakan bahawa banyak lagi yang masih belum tercapai. Pun begitu, beliau tidak mahu terlalu fokus kepada perkara itu. Namun untuk perniagaan, beliau ingin membina satu legasi perniagaan yang besar.
“Daripada segi kehidupan pula, alhamdulillah impian saya untuk bersama isteri tercinta dan anak-anak sudah tercapai. Seterusnya nak terus bahagia bersama sehingga ke akhir hayat kami. Anugerah ini akan memberi satu motivasi dan pengiktirafan kepada Estika Medispa untuk terus bekerja keras dan terus memberikan yang terbaik untuk industri kami.
Untuk Majalah Nona, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan rasa bersyukur kerana diberi peluang untuk mendapat anugerah berprestij ini,” ungkapnya. Dr Haq berharap agar inisiatif ini akan diteruskan pada masa akan datang sekaligus memberi inspirasi dan motivasi kepada usahawan-usahawan di luar sana.
PENULIS & PENYELARAS: Amy Mohd
PENATA GAYA: Kiffy Razak
KONSEP: Azniza Aziz
FOTO: Fadhil Kamaruddin (The Loft Studio Asia)
SOLEKAN: Che Wan
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Umum sedia maklum menuntut ilmu merupakan satu fardu (wajib) terhadap seseorang individu. Dalam erti kata lain dengan adanya pendidikan, ia mampu mengeluarkan seseorang atau sesebuah keluarga daripada kepompong kemiskinan.
Oleh itu, untuk keluar daripada belenggu kemiskinan, pendidikan adalah jalan terbaik yang dapat menentukan sejauhmanakah seseorang itu boleh pergi lebih jauh. Tidak dinafikan, semakin tinggi pengetahuan pendidikan yang dicapai, semakin terbuka luas peluang pasaran untuk menjawat pelbagai jawatan dan mendapat pulangan yang lumayan.
Namun begitu, kepentingan pendidikan ini tidak harus dilihat dari segi matlamat ekonomi sahaja, tetapi ia berkaitan dengan melahirkan seorang insan yang beriman. Dalam usaha mendapatkan pendidikan yang sempurna, tabungan dana pendidikan juga perlu diberi perhatian khusus untuk membolehkan proses melanjutkan pelajaran tidak dibebani
dek hutang yang boleh menjejaskan kehidupan di masa akan datang.
Atas insiatif ini, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) yang mula berkuatkuasa pada 1 Julai 1997.
Menurut Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, YBrs. Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid yang ditemui ketika sesi penggambaran NONA Superhero Award baru-baru ini menerangkan tentang fungsi PTPTN secara menyeluruh.
“Sepertimana yang kita sedia maklum, penubuhan PTPTN merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan dalam memastikan tidak ada pelajar yang tercicir untuk meneruskan pendidikan di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) disebabkan masalah kewangan.
Sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), PTPTN memainkan peranan penting dalam mendukung hasrat kerajaan untuk memastikan kelestarian pendidikan tinggi terus terjamin melalui fungsi dan peranan PTPTN termasuklah menguruskan pinjaman untuk tujuan pendidikan tinggi dan seterusnya memungut bayaran balik pinjaman, menyediakan skim simpanan dan mengurus deposit untuk tujuan pendidikan tinggi,” ujar beliau yang telah berkhidmat selama 25 tahun di PTPTN dan merupakan salah seorang pegawai terawal yang menyertai PTPTN pada tahun 1998.
Tambah beliau lagi, peranan PTPTN merangkumi memberi akses pendidikan yang lebih tinggi dalam memberi manfaat secara menyeluruh kepada masyarakat amatlah besar kerana melalui pendidikan mereka dapat membangunkan taraf hidup keluarga, bangsa dan negara.
“Pelbagai usaha dan bantuan dilaksanakan bagi mereliasasikan hasrat masyarakat Malaysia antaranya memberi bantuan kepada para pelajar di peringkat awal dengan memperkenalkan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) kepada para pelajar yang akan memasuki Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tanpa perlu ibu bapa mengorbankan tanah, barang kemas atau binatang peliharaan mereka.
Tidak hairanlah mengapa jenama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional ini cukup sinonim dalam melestarikan impian pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Malah pelbagai inisiatif telah diperkenalkan untuk memastikan ibu bapa cakna
soal menabung untuk dana pendidikan anak-anak supaya peluang dan ruang untuk melanjutkan pelajaran terbuka luas tanpa kekangan dari aspek kewangan.
“PTPTN merupakan tabung pendidikan untuk masa depan rakyat Malaysia. Ia merupakan satu tabung yang disediakan ibu bapa untuk anak-anak melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. Dengan adanya tabung ini, ia membolehkan anak-anak belajar sehingga ke
peringkat yang tertinggi tanpa masalah kewangan.
Ia membuka peluang masa depan yang lebih cemerlang menerusi manfaat dan nilai tambah yang diperoleh daripada pendidikan tinggi sekali gus menjadi orang yang berguna untuk masyarakat dan dapat memberi sumbangan kembali kepada masyarakat,” ujarnya mewakili badan tersebut untuk pengiktirafan sebagai NONA BEST FUTURE EDUCATION FUND AWARD sempena NONA Superhero Award 2023.
Ketika ditanya mengenai pelbagai medium simpanan yang wujud sebagai langkah untuk menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan amalan menabung, Ahmad Dasuki mempunyai pandangannya tersendiri.
“Sejak kebelakangan ini banyak cara simpanan yang diperkenalkan antaranya termasuklah simpanan emas dan sebagainya. Ada juga yang menjadikan hartanah sebagai tabungan untuk dana pendidikan. Tetapi di PTPTN kami memperkenalkan tabungan yang dikenali sebagai Simpan SSPN untuk penabungan awal anak-anak.
“Antara produk simpanan yang diperkenalkan oleh PTPTN termasuklah Skim Simpanan Pendidikan Nasional atau dikenali Simpan SSPN. Ia merupakan satu skim simpanan yang diwujudkan oleh PTPTN untuk penabungan pendidikan tinggi dari seawal usia 1 hari. Ia diperkenalkan sejak tahun 2004 lagi untuk menyemai tabiat menabung di kalangan
ibu bapa.
Dengan adanya simpanan ini, ia dapat menjadi tabungan pendidikan untuk anak-anak tanpa perlu meminjam dari mana-mana institusi. Inilah yang dikatakan pendidikan secara percuma oleh PTPTN di mana ibu bapa menyediakan satu dana dan tak perlu bergadai dengan adanya simpanan,” ujarnya lagi.
Ramai beranggapan usai menamatkan pengajian di peringkat universiti, para graduan merasa terbeban untuk membayar kembali pinjaman pendidikan atas pelbagai faktor dan desakan kewangan. Stigma tersebut dapat dielakkan sekiranya tabiat menabung dapat disemai sebaik mungkin.
Menurut Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, dari perspektif pelajar, minat dan tabiat menabung boleh dibuat secara berterusan dan berbelanja secara berhemah untuk masa depan.
Jika sebelum ini pelanggan perlu log masuk di portal yang berbeza untuk mendapatkan
perkhidmatan PTPTN. Kini, pelanggan dapat menikmati pelbagai kemudahan PTPTN
berkaitan bayaran balik, simpanan dan pinjaman dalam satu aplikasi secara Single Sign On (SSO). PTPTN juga terus komited untuk memastikan para peminjam membuat
bayaran balik pinjaman secara konsisten bagi kelangsungan dana untuk generasi akan
datang.
Sehingga 31 Oktober 2023, seramai 2.25 juta peminjam atau 83.05% yang sepatutnya
membuat bayaran balik, telah mula membuat bayaran balik pinjaman mereka. Terima
kasih diucapkan kepada para peminjam atas sifat tanggungjawab yang ditunjukkan.
Semoga amalan mulia ini dicontohi oleh para peminjam lain. Sesungguhnya bayaran
balik yang diterima adalah penting untuk memastikan kesinambungan pinjaman kepada
pelajar baharu.
“Ia sekali gus memberikan peluang dan ruang untuk para pelajar belajar bersungguh-sungguh dan menamatkan pengajian ke peringkat yang tinggi dan mendapat pengecualian bayaran balik pinjaman pendidikan. Ia adalah antara motivasi terbaik diterapkan oleh PTPTN untuk melahirkan graduan yang berkualiti serta mampu mencapai tahap pendidikan terbaik untuk pembangunan bangsa dan negara,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan.■
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Semakin berisi semakin menunduk. Itu kata-kata motivasi yang sentiasa menjadi pegangan selebriti dan usahawan terkenal Nubhan.
Pemilik nama penuh, Ahmad Nubhan Ahamad kini dilihat semakin ligat mengatur langkahnya sebagai seorang usahawan selebriti.
Selepas berjaya mengeluarkan produk kosmetik dan penjagaan wajah, Nubhan mencabar diri dengan menceburi perniagaan makanan pula bersama ibu tercintanya Badariah Omar atau terkenal dengan panggilan Mak Jenny.
Ternyata usaha itu tidak sia-sia apabila perniagaan makanannya itu mendapat sambutan yang sangat luar biasa.
Sehinggakan kisah keuntungan lima juta hasil jualan sambal Omak Jenny tular di media sosial serta menjadi bualan ramai hingga kini.
Memetik kata-kata penerima Nona Men’s Celebrity Business Award ini: –
“Dari buat suka-suka tak sangka sekarang jadi usahawan sambal. Rezeki tak salah alamat. Semua dengan izin-Nya.”
“Segalanya bermula apabila saya secara tak sengaja merakam video Mak Jenny dalam content yang biasa saya keluarkan di Youtube dan Facebook.
“Tak sangka respon terhadap karakter ibu saya sangat disukai penonton. Mereka sentiasa request nak lagi Mak Jenny.”
Bergelar seorang selebriti, usahawan dan pada masa sama menggalas tanggungjawab sebagai suami dan bapa bukan mudah bagi Nubhan.
“Perkara paling sukar dan struggle sebagai seorang ketua keluarga mahupun ketua sesebuah organisasi ialah membina persefahaman.
“Dalam perjalanan menuju kejayaan, sokongan dan kepercayaan yang kuat daripada insan-insan tersayang amat penting,” jelas Nubhan yang turut membuka sebuah klinik pergigian khas buat isteri tercinta Dr Afifah Tawfek yang merupakan seorang doktor gigi bertauliah.
‘ROLE MODEL’ KEPADA ANAK-ANAK
Sebagai ketua keluarga, turut meletakkan dirinya sebagai role model kepada anak-anak dengan mempamerkan sikap yang baik dan terpuji.
“Pertama, saya tekankan tentang akhlak. Keduanya ialah ilmu. Doa saya semoga mereka berjaya kelak, semakin berisi semakin menunduk,” luah bapa kepada tiga anak ini.
Bagi Nubhan, gelaran superhero wajar diberikan kepada individu yang disegani dan dihormati serta yang memberi inspirasi kepada orang lain.
“Superhero haruslah seorang yang bertanggungjawab, pemimpin dan ketua yang baik. Orang-orang yang ada bersamanya turut mendapat kebaikan sama rata,” kongsi Nubhan yang menyifatkan superhero sebagai insan hebat yang terpilih.
IMPIAN “Saya ingin melihat anak-anak membesar di hadapan mata seterusnya menjadi insan berguna, bertanggungjawab serta berbakti kepada agama, bangsa dan negara,” tutur Nubhan.
Nubhan turut berkongsi impiannya terhdap perniagaan Omak Jenny yang semakin berkembang dan mendapat permintaan tinggi seluruh Malaysia.
“Saya juga ingin membawa produk Omak Jenny ke pasaran antarabangsa. Untuk pasaran tempatan, saya berharap agar produk ini menjadi salah satu top product di Malaysia untuk kategori ready to eat.
“Semestinya ia menjadi legasi untuk masa depan anak-asnak dan keluarga saya. Inilah salah satu usaha yang saya buat demi mereka.
“Impian saya seterusnya ialah ingin membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada orang-orang kampung. Tanpa mereka, perniagaan ini tak akan sampai ke tahap sekarang,” akhiri Nubhan.
Penulis & Penyelaras: AMY MOHD
Penata Gaya: KIFFY RAZAK
Konsep: AZNIZA AZIZ
Foto: FADHIL KAMARUDDIN (THE LOFT STUDIO ASIA)
Solekan: CHE WAN
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Seawal pembabitannya dalam dunia seni lagi, ramai terpikat dengan kejelitaan Nur Fathia Abdul Latiff. Mana tidaknya, bukan hanya berbakat besar sebagai pelakon, dia juga...