Setiap orang berbeza jalan hidup dan ujiannya. Ada yang diuji dengan kemiskinan, ada pula dengan kesakitan, kehilangan, masalah perkahwinan, kecelaruan identiti atau apa saja yang mendorong soalan… ‘God, why me?’
Nona tertarik berkongsi kisah Farah Fazarina Mohamad, seorang pegawai diplomatik di Putrajaya yang kini sedang bertempur penyakit kanser ovari.
Ketika menyelami perasaan ibu beranak dua ini, bergaul rasa sebak dan kagum melihatkan kekuatan semangat yang menyalutinya. Dia begitu positif, malah memandang kehidupan kini lebih bermakna daripada dulu.
Semoga coretan ini memberi manfaat kepada pejuang kanser lain. Khasnya mereka yang berdepan relapsed iaitu kanser yang berulang selepas sembuh.
Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah… selesai jua chemo cycle ke-5 hari ini dengan izin Allah SWT.
Masa berlalu pantas walaupun dari treatment bermula seawal jam 8 pagi – 4 petang. Allah bagi kesempatan untuk rehat dan tidur juga hari ni kerana terlalu penat masa nurse masukkan ubat. Alhamdulillah.
Pagi hari ini juga terbaca kisah seorang pejuang kanser di Facebook Page CANCER SURVIVORS (MSIA) yang selepas beberapa tahun menjalani rawatan, dan kanser itu datang semula.
Dalam istilah perubatan kita panggil sebagai relapsed. Dan umum tahu bahawa sebagai seorang pesakit kanser, kebanyakan (bukan semua) berpotensi untuk mendapat kanser semula. Sebab itu pesakit kanser, walaupun sudah menjalani dan melengkapkan regimen rawatan (chemotherapy atau sebagainya), pesakit masih perlu menjalankan check-up secara berkala, sekurang-kurangnya selama 5 tahun pertama dan kekerapan check-up akan dikurangkan mengikut keadaan semasa pesakit.
Ada yang relapsed selepas 7-8 tahun. Ada yang dan survive sampai lebih 10 tahun dan ke atas. Dan semua itu bergantung kepada keadaan diri pesakit masing-masing.
Kita sebagai pesakit kanser boleh memilih untuk menjadi seorang yang positif ataupun negatif. Seorang yang mudah mengalah dengan ujian ini atau seorang yang terus kekal berjuang selagi hayat dikandung badan. Dan benda ini hanya diri pesakit berkenaan sahaja yang boleh tentukan.
Orang sekeliling (walaupun keluarga terdekat, suami, isteri, anak) hanya boleh memberi sokongan dan nasihat. Tapi hanya pesakit yang boleh membuat keputusan hidupnya. Dan bila kanser relapsed, saya tengok kebanyakan pesakit akan mula berputus asa. Sebab itu, pesakit kanser sebenarnya memerlukan sokongan emosi yang berterusan. Bukan hanya ketika menjalani rawatan sahaja.
Sokongan emosi yang berterusan sepanjang hayat diperlukan oleh pejuang seperti kami.
Pandangan peribadi saya sebagai seorang pejuang, bukan senang pada mulanya untuk menerima hakikat yang anda pesakit kanser. Lebih-lebih lagi bagi saya yang terlalu mengharapkan dapat baby baru, tapi Allah uji dengan penyakit yang terpaksa dibuang rahim, ovari dan segala yang berkaitan.
Sekiranya saya tidak positif, mungkin saya pun menyalahkan takdir Allah dan terus berkata “kenapa saya..?” “Why me..?”. Saya boleh memilih untuk mempersoalkan tentang kenapa saya diuji lagi sedangkan Allah telah menguji saya pada tahun 2017***. Tetapi tidak.
***(Untuk yang baru follow kisah saya, tahun 2017 sy pernah diuji dengan jangkitan kuman yang kritikal, menyebabkan saya terpaksa melalui beberapa siri pembedahan, terpaksa mengorbankan bayi yang sedang dikandung 25-26 minggu dan bermalam di ICU, HDU dan berada di hospital selama hampir 4 bulan dengan ditemani suami tercinta yg sentiasa memberi sokongan Azizirrahim Irealty)
Allah telah memberi petunjuk dan memilih saya untuk bersangka baik dengan-Nya. Dia jua yang reveal bahawasanya Dia jua yang Maha Pemurah, Maha Penyayang dan, Maha Mengetahui segala perancangan yang terbaik bagi hamba-Nya. Alhamdulillah sayangnya Allah kepada saya.
Di sebalik ujian kali ini, Allah hadirkan kekuatan pada saya dan memberikan petunjuk-petunjuk yang menjadi kekuatan saya sampai sekarang. Subhanallah dan sampai sekarang saya berterusan berdoa, “Ya Allah, aku sangat bersyukur dengan ujian ini Ya Allah. Yang telah mendekatkan aku pada-Mu dan telah mendatangkan nikmat dan aku reda dengan segala ketetapan-Mu kepadaku, dan janganlah Engkau hilangkan petunjuk-Mu kepadaku Ya Allah, dan tetapkanlah aku di landasan yang benar.” Alhamdulillah, hati rasa lapang sangat selapang-lapangnya.
Benarlah janji-janji Allah, jika kamu bersyukur, Allah akan tambah nikmat kepada kamu (Surah Ibrahim, Ayat 7).
Saya kini bersyukur dengan sekecil-kecil perkara. Contohnya, bila bangun tidur, perkara pertama saya buat adalah berterima kasih kepada Allah kerana masih kurniakan nikmat kepada saya untuk bernafas, anggota badan masih boleh berfungsi untuk beribadah kepada-Nya, tengok jari pun masih boleh bergerak, terlalu banyak kalau hendak dihitung rezeki yang Allah bagi dekat saya sampai kadang-kadang tu saya rasa malu untuk meminta dalam doa saya.
Kisah relapsed lain pula.
Tadi Pakar Onkologi yang merawat saya juga telah share satu benda yang dalam fikiran saya mendatangkan rasa kagum sangat terhadap kekuasaan Allah. Dia baru saja berjumpa seorang pesakit kanser ovari pada tahun 2012 telah didiagnos mempunyai sel kanser yg baharu di tengkuk setelah menyedari ada biji-biji sebesar guli.
Dan bila buat biopsi, sel kanser itu asalnya (primary location) dari sel kanser di ovari! Dan semua ovari telah dibuang pada tahun 2012. Subhanallah, bagaimana sel kanser yang asalnya berada di bawah, tiba-tiba naik berada di bahagian atas badan? Sedangkan sel-sel kanser tersebut tidak ada pun di bahagian tengah (paru-paru).
Hebatnya kuasa Allah yang menciptakan manusia sedemikian rupa dan saya selalu pesan kepada diri sendiri, ingatlah jua yang sel-sel kanser juga adalah ciptaan Allah. Allah yang berkuasa terhadap segalanya. Allah jualah yang berkuasa mematikan dan menghidupkan sel-sel kanser tersebut. Allah bersifat Ya Muhyi dan Ya Mumit (Yang Maha Menghidupkan dan Mematikan) dan Ya Hayyu Ya Qayyum (Yang Kekal Hidup dan Berdiri Sendiri).
Dan kebelakangan ini saya kerap berfikir mengenai doa-doa di dalam Quran, iaitu doa dari para nabi yang telah diuji dengan ujian yang maha hebat tetapi mereka tetap mempunyai tahap kepercayaan dan keimanan yang teguh kepada-Nya.
Sebagai contoh, doa Nabi Ayub ketika beliau sakit dan kehilangan segala-galanya (anak, saudara, harta kekayaan, kawan, kesihatan) namun beliau tidak meminta supaya Allah menyembuhkan penyakit tetapi beliau tetap memuji Allah dengan sakitnya.
Tiada sepatah pun yang menyebut Tuhanku, selamatkan aku! Doa-doa orang yang teguh keimanannya dan kepercayaan terhadap kuasa Allah semuanya merupakan puji-pujian terhadap Allah. Subhanallah.
Doakan semoga saya juga mempunyai keimanan seteguh itu. Saya catat di sini untuk peringatan kepada diri sendiri juga. Aamin ya rabbal’alamin.
This website uses cookies.