Di wajahnya, jelas terpancar kelembutan dan keanggunan budi bahasa jiwa seorang ibu. Kehadiran YM Tengku Datin Sri Zawyah di acara keramaian sentiasa tenang dan berkeyakinan.
Posturnya tanjak, namun lembut gemalai. Ramah kala berbicara, penuh tekad, bersemangat, ceria dan membuatkan siapa sahaja teruja kala bersamanya.
Tengku Zawyah, bijak penyesuai korektor dengan tata gaya peribadinya sebagai wanita berhijab di usia 50-an, kelihatan cantik dan manis dipandang. Itulah personaliti menarik yang ada pada pesona jelitawan VIP berdarah kerabat diraja Kedah ini.
Bagi yang mengenali Tengku Zawyah secara peribadi, beliau adalah seorang yang berpandangan terbuka dan bersifat sporting. Walau bagaimanapun beliau percaya pada ketentuan takdir dalam menghadapi setiap ranjau kehidupannya.
“Bagi saya setiap dugaan hidup itu pasti ada hikmah di sebaliknya. Allah tidak akan menguji hambanya di luar kemampuan hambanya.
Ujian hidup itu bermakna Allah masih peduli dan sayang kepada kita, untuk itu ia memberikan ujian agar kita lebih kuat, lebih bijak, dan lebih mulia. Allah ingin kita menjadi lebih baik di hadapan-Nya. Setelah itu, bersabarlah karena sesungguhnya kesabaran akan membuahkan ketenangan jiwa, kekuatan hati dan sesungguhnya Allah selalu bersama orang-orang yang sabar.
Saya turut bersyukur dengan kehidupan yang saya lalui sekarang. Alhamdulillah diberikan seorang suami yang baik, penyayang, memahami dan penyabar. Anak-anak telah berjaya dan berkahwin, kecuali dua lagi masih lagi menuntut ilmu.
Sekarang saya banyak menghabiskan masa bersama cucu-cucu tersayang. Saya sudah cukup bersyukur dengan apa yang dihadirkan dalam hidup saya sekarang,” jelas Tengku Zawyah.
Falsafah hidup Tengku Zawyah ialah keikhlasan dalam melakukan apa jua dalam hidup ini, barulah memperoleh ketenangan. Baginya hidup ini terlalu indah untuk hanya bersedih dan bermuram durja.
“Dalam usia seperti saya sekarang, hanya ketenangan yang dicari. Mengukir sebanyak mungkin kenangan terindah bercuti bersama keluarga dan rakan-rakan, di samping memperbanyakkan amal ibadat sebagai bekalan kita satu hari nanti. Biasanya seminggu dua kali saya mengikuti kelas tadarus Al-Quran bersama rakan-rakan masjid.
Hidup ini perlu ada keikhlasan dalam semua perkara, terutama bila kita berkawan. Tidak perlu memandang status atau darjat, semuanya sama sahaja bagi saya, asalkan niat keikhlasan itu ada,” ujar Tengku Zawyah yang sentiasa bermurah hati memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan kala terjadinya bencana alam dan turut menghulurkan derma setiap bulan untuk mangsa Rohingya.
Tengku Zawyah merupakan bekas seorang pendidik, “Saya berkhidmat sebagai seorang guru selama 12 tahun. Alhamdulillah, anak-anak murid yang pernah saya ajar kini telah berjaya dalam kerjaya mereka dan sebahagiannya masih lagi mengingati saya sebagai salah seorang cikgu yang pernah mendidik mereka. Saya turut berbangga, sekurang-kurangnya saya pernah menyumbang bakti kepada anak bangsa walaupun hanya seketika.
Menambah cerita, katanya… “Cuma saya sedikit terkilan apabila berlakunya isu ibu bapa yang cepat menyalahkan guru jika anak dipukul atau dimarahi oleh guru. Bagi saya, jika berlaku keadaan seperti ini, jalan terbaik untuk mendengar penjelasan daripada kedua-dua belah pihak. Jangan cepat melatah dan mengikut emosi, guru tidak mungkin mengenakan sesuatu tindakan itu sekiranya anak murid tidak membuat salah,” tegas Tengku Zawyah.
Bercakap tentang perihal cantik, masakan jelitawan ini tiada rejim dan petua sendiri. Kata tengku Zawyah, dia antara wanita paling simple dalam penjagaan kecantikan. Tidak ada petua khusus hanya praktik yang asas sahaja.
“Saya sentiasa bersyukur dengan setiap kurniaan yang Allah telah berikan. Antara rutin biasa yang saya lakukan, kita perlu bijak membahagikan masa untuk bersenam dan melakukan aktiviti luar. Bersenam dapat meningkatkan jumlah kolagen, membantu melawan radikal bebas di dalam tubuh kita dan semestinya dapat menurunkan berat badan serta menjadi sihat.
Selain itu, perlu sentiasa tersenyum dan tenang dalam apa jua keadaan sekalipun. Stres akan menyebabkan lebih banyak garis-garis kedut dan membuat wajah terlihat tidak segar. Senyum dan tertawa dapat mengurangi jumlah hormon stres dalam tubuh anda dan membuat otot-otot pada wajah menjadi lebih santai.
Tidur perlu cukup, iaitu selama 6-8 jam setiap malam. Mata yang bengkak akibat tidak cukup tidur akan membuat anda terlihat lebih tua. Tidur akan mengurangi hormon stres dalam tubuh anda, ini sangatlah baik kerana hormon stres akan membuat kulit terlihat tidak sihat dan kusam.
Selain itu, perbaiki postur tubuh Anda. Ini adalah trik yang sederhana tetapi berdiri tegak akan membuat kita percaya diri dan berkeyakinan. Ini adalah aspek utama yang dimiliki oleh orang berjiwa muda. Berjalan dengan badan dan kepala yang tegak akan membuat kita kelihatan lebih muda.
Proses penuaan membuat kulit menjadi kering. Gunakan krim pelembap khusus untuk wajah dan jangan menggunakan pelembap badan pada wajah kerana kulit wajah lebih sensitif dibandingkan kulit kita pada bahagian lain. Jangan sesekali keluar rumah tanpa memakai krim pelindung matahari, oles dengan lembut dan menepuk manja pada permukaan kulit wajah. Akhir sekali, kenakan solekan mini malis bagi membantu terlihat lebih muda,” bicara Tengku Zawyah.
This website uses cookies.