“Saya Tak Menyesal Dengan Ketentuan-Nya & Bersyukur Dengan Apa Yang Dimiliki” YAM Tengku Puteri Dato’ Sri Zahariah

Berdarah diraja, punya personaliti mesra dengan nilai-nilai keperibadian yang sentiasa merendah diri, memberi suntikan jiwa pada setiap yang dilakukan. Pasti siapa sahaja mendekati, berasa selesa bersama YAM Tengku Puteri Dato’ Sri Hjh Zahariah…

Dengan segala kemewahan yang sudah dinikmati, tidak ingin memiliki keinginan lain selain daripada sebuah kehidupan sederhana dibaluti dengan rasa cinta dan kasih sayang keluarga dan sahabat. Itulah harapan bermakna dalam kehidupan Tengku Puteri yang kini telah menganjak usia 60-an.

“Saya lebih selesa sekarang dengan kehidupan yang sederhana. Saya ingin masyarakat merasa lebih dekat dan mesra. Semua orang sudah tahu saya anak raja dan adik kepada Tuanku Sultan, jadi saya tidak perlu menonjolkan diri untuk menampakkan segala-galanya. Jika di istana atau ke majlis rasmi bersama anak-anak raja, ya, saya harus mengikut protokol. Tetapi luar istana dan hari-hari biasa, biarlah segala-galanya dalam suasana biasa dan sederhana.

Saya ingin menikmati kehidupan yang sempurna, seperti manusia biasa. Punya ramai kawan dan hidup berdikari. Memang benar ada juga yang mendekati saya untuk kepentingan peribadi, namun begitu selepas beberapa kali terjebak dengan keadaan sedemikian rupa, saya menjadi lebih berhati-hati dalam memilih sahabat. Saya enggan sekali menunjukkan sikap sombong, sebaliknya bertindak dengan bijak dalam setiap aturan langkah kehidupan,” ujar Tengku Puteri yang kini sibuk dengan perniagaan sendiri yang diuruskannya.

Di usia 60-an, ramai terpukau dengan kejelitaannya… Ada kedengaran suara berkata, “She always looks gorgeous and beautiful!” Menatap Tengku Puteri Zahariah yang cantik manis dan berkulit putih gebu, apa rahsianya “Saya bangga dengan usia saya sekarang, tidak perlu berselindung. Dengan teknologi moden yang ada sekarang, siapa sahaja boleh dapatkan rawatan kulit wajah terbaik dan menggunakan krim yang sesuai pada diri anda. Paling penting, mestilah mengikut kemampuan masing-masing juga.

Selain itu, sejak kecil hingga sekarang saya mesti makan buah-buahan dan jus setiap hari, selain banyakkan pengambilan sayur dan salad. Amalan lain mungkin sama sahaja seperti orang lain, minum air secukupnya. Dan sebelum tidur saya pastikan minum air bersama madu dan limau, banyak khasiatnya,” katanya yang tidak menafikan solekan juga memainkan peranan yang penting untuk mencantikkan raut wajah seseorang.

Pernah digelar sebagai Joan Collins Malaysia, “Itu semua cerita dulu yang menjadi sejarah dalam perjalanan hidup saya. Saya tidak pernah menyesal dengan apa yang telah terjadi dan bersyukur dengan apa yang saya miliki hari ini. Waktu itu, orang boleh kata apa sahaja pada diri saya tetapi yang melalui susun alur kehidupan ini adalah saya sendiri, bukan mereka. Paling penting, ketika darah ini masih muda dan rancak, saya suka mengikuti perkembangan fesyen selebriti barat. Diri sendiri terbawa-bawa meniru gaya penampilan mereka dari hujung rambut sampai ke hujung kaki.

Itu semua dulu, sekarang dalam usia begini saya senang dengan pilihan busana yang ringkas,  sopan, longgar dan selesa. Hanya jika saya menghadiri majlis keramaian, tentu sahaja yang lebih glamor dan elegan menjadi pilihan. Bagi saya, stail itu hadir daripada kebijaksanaan kita mencampurkan gaya walaupun barang itu tidak semestinya mahal. Namun tidak dinafikan yang barang berjenama mahal itu tentu sahaja datang dengan kualiti tinggi dan baik. Apa pun, semuanya terpulang kepada kemampuan dan cara kita menggayakannya,” jelas Tengku Puteri Zahariah.

“Saya mengagumi Ratu Rania sebagai seseorang wanita yang bijak dan sangat cantik. Rania di lihat sebagai seorang ratu yang tidak mensia-siakan pangkat dan pengaruhnya begitu saja apabila sering terlibat dengan kerja amal dan penambahbaikan pendidikan serta kesihatan di Jordon. Saya melihat keperibadiannya yang mulia, sentiasa merendah diri, tidak menunjuk kekayaan, lemah lembut dan bijak daripada segi penampilan.

Rania sering dilihat menggayakan etika berpakaian dengan begitu menarik di setiap majlis dihadiri. Kebijaksanaannya dalam menggabungkan gaya tradisional dengan sentuhan yang lebih segar membuatkan Ratu Rania sentiasa kelihatan elegan dan menawan.”

Menikmati sebuah kehidupan yang sempurna, perjalanan kita perlu diatur… “Saya harapkan  hari-hari seterusnya akan memberi sinaran yang lebih bermakna. Saya ingin menghabiskan banyak masa lapang bersama keluarga dan sahabat tercinta. Menghargai insan-insan yang saya sayangi, seperti mana mereka mencintai saya.”

Masih ada rasa cinta berbunga di hati Tengku Puteri, “Selagi jiwa saya masih muda, tentu sahaja perasaan cinta kekal ada. Hanya Tuhan yang menentukan segala-galanya, kita tidak tahu mungkin suatu hari nanti dipertemukan dengan cinta sejati. Semuanya kehendak Allah. Sebaiknya biarlah my heart speak in silence,” ungkap Tengku Puteri bahagia.

Share
Published by
KR