Insan bernama Tun Dr Mahathir Mohamad ini cukup bertuah kerana dikurniakan Allah SWT sifat kepimpinan yang tinggi, berwibawa, berani mengambil risiko, lantang menyuarakan pendapat, rajin membaca dan berpandangan jauh. Dek kerana aura pemimpin yang dimiliki, tidak hairanlah Tun Dr Mahathir masih mendapat tempat di hati rakyat hingga ke hari ini. Meskipun beliau sudah dua kali menjadi Perdana Menteri Malaysia!
Tidak sekadar mencatat sejarah politik negara kerana menjadi satu-satunya rakyat Malaysia yang diangkat sebagai Perdana Menteri sebanyak dua kali, Tun Dr Mahathir juga menarik perhatian antarabangsa apabila mengungguli senarai Perdana Menteri Tertua Di Dunia. Ketika dilantik sebagai Perdana Menteri ke-7 pada 10 Mei 2018, beliau berusia 92 tahun! Sebelum ini Tun Dr Mahathir telah berkhidmat sebagai Perdana Menteri ke-4 bermula 16 Julai 1981 hingga perletakkan jawatannya pada 31 Oktober 2003.
Kini selepas berdekad mentadbir negara nama Tun Dr Mahathir terus menjadi sebutan. Lebih-lebih lagi sejak berlakunya kemelut politik negara yang menyaksikan beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Interim oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Biarpun bakal meniti usia 95 tahun dan terpaksa menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara tanpa bantuan jemaah menteri namun pemimpin kelahiran Kedah ini masih bekerja seperti biasa. Masuk ke pejabat awal pagi, menandatangani segala dokumen berkaitan dan meneliti fail-fail sulit negara di atas mejanya. Melihat senario tersebut, ramai rakyat yang memuji kemampuan dan komitmen Tun M.
Mengambil pengakuan Tun Dr Mahathir ketika ditemuramah Hello Tuns Astro Gempak, beliau sendiri tidak pernah menyangka dipilih rakyat sebagai Perdana Menteri memandangkan cita-citanya ketika kecil ialah menjadi peguam.
“Saya bercita-cita untuk jadi seorang peguam tapi tak berjaya dapat biasiswa. Sebaliknya, saya dapat biasiswa untuk bidang perubatan. Saya tak pernah terfikir saya akan dapat jadi Perdana Menteri sebab saya bukanlah siapa-siapa. Keluarga saya bukanlah dari kelas atasan, saya hanya anak seorang guru sekolah. Tapi saya tetap cuba dan bertanding dalam pilihan raya dan menang,” ujarnya penuh rendah diri.
Tambah Tun Dr Mahathir lagi, “Sesiapa pun boleh menjadi Perdana Menteri. Tapi anda mesti kerja kuat. Buat baik kepada orang, menangi sokongan mereka. Anda juga mesti sentiasa berpegang pada janji, buat perkara yang betul, jangan tipu. Semua ini, jika anda ada… orang akan suka dan mengikut demokrasi, anda boleh jadi Perdana Menteri.”
Setia ditemani isteri tercinta, Tun Dr Siti Hasmah… wanita hebat ini turut mengakui suami yang dikahwininya sejak 64 tahun lalu seorang yang sangat kuat bekerja. “Kerja saban hari, kadang sampai lupa akan saya di rumah. Sepertimana yang disebut tadi, itu tugas dia. Maka saya perlulah terima pengorbanan untuk menjalankan tugas-tugas dan tanggungjawabnya untuk bangsa dan negara.”
This website uses cookies.