Sejak dari penghujung tahun 2018 lagi kisah anak angkat pasangan pengasas kosmetik terkenal, Dato Seri Aliff Syukri dan Datin Seri Shahida dikongsikan dalam laman sosial Instagram mereka.
Semalam, video ringkas dari Datin Seri Shahida bersama Qayyum Aliffshah bin Abd A’liy menarik perhatian kami. Nyata, Datin Seri Shahida bertekad untuk menyerahkan Qayyum atau lebih mesra dengan panggilan Yom kepada mak kandungnya.
“InsyaAllah hari Jumaat ni Yom akan diserahkan semula kepada mak kandungnya. Setelah hampir setahun dua bulan kami menjaganya, kini biarlah dia bersatu kembali bersama keluarganya. Pembantu saya yang akan bertemu ibunya, saya tak kuat untuk rangkap kesedihan tu nanti.”ujar Datin Seri Shahida.
Baru sahaja beberapa hari lepas Qayyum dimasukkan ke hospital kerana demam campak. Habis seluruh badannya penuh bintik-bintik. Terngiang-ngiang rengekkan si kecil melalui video yang dikongsikan Dato Aliff Syukri. Alhamdulillah kini hanya parut-parut yang tinggal.
“Empat hari Yom dimasukkan ke hospital. Setiap kali selepas memegang Yom, saya perlu mandi dan tukar baju kerana bimbang berjangkit dengan anak-anak yang lain kerana mereka semua belum pernah demam campak.
Yom memang sangat manja dan suka menangis. Memang nak selalu dipeluk dan dibelai. Mungkin keadaannya yang tidak berapa sihat membuatkan Yom perlukan lebih banyak perhatian. Nanti bila Yom tak ada, tak dapatlah nak tengok dia bermanja dengan abang-abang dan kakak Qadejah. Yang paling terkesan nanti Ammar kot sebab dia paling rajin melayan Yom dan Ameena.
Saya terpaksa memulangkan Yom kembali kepada mak kandungnya kerana saya tak sanggup nak berhadapan dengan lebih banyak masalah di kemudian hari. Suami saya asyik memujuk untuk tidak memulangkan Yom tetapi saya bertekad kerana masalah ini mungkin akan lebih sulit nanti. Saya redha.”katanya.
CUKUPLAH HANYA SEKALI
Kehadiran Qayyum di dalam keluarga pasangan ini menjadikan Datin Seri Shahida ibu kepada enam orang anak, empat daripadanya anak kandung manakala Ameena juga di ambil sebagai anak angkat sebelum hadirnya Qayyum. Video yang viral kononnya bibik menunjal kepala Yom menjadi titik permulaan Yom diminta untuk dikembalikan.
“Saya terima mesej ada yang nak serahkan anak kepada saya. Dengan hati yang terbuka, saya terima Qayyum dan jaga seperti anak sendiri. Terujanya bukan kepalang kerana dah lama tak ada anak kecil. Saya sendiri menjaga ibu Yom dari usia kandungannya lima bulan sehingga dia selamat bersalin dan berpantang. Malah, bibik yang kononnya ‘menunjal’ Yom itulah yang pernah memandikan ibu Yom sewaktu dia di rumah saya sedangkan saya sendiri mandi sendiri sewaktu dalam pantang!
Bila video itu viral dan saya pula mula menerima mesej dari ibu Yom, saya jadi tertekan kerana apa yang digambarkan di dalam video itu adalah dari angle yang salah. Saya sendiri berada di situ, takkan saya nak biarkan saja Yom ditunjal!
Terlalu banyak complaint yang saya terima dari ibu Yom, walaupun bukan dihantar terus kepada saya. Jika hendak dikenangkan semula, macam-macam tohmahan dilemparkan kepada kami. Saya cuba sedaya upaya untuk menjaga Yom dan anak-anak lain sebaik yang mungkin.
Sejak lahir lagi, saya dan suami menjaga Yom yang sering sakit. Demam kuning, sakit mata, sawan tangis, demam dan macam-macam lagi. Tak pernah pula saya biarkan Yom terlantar sakit. Susah senang kami menjaga Yom hanya kami sahaja yang tahu tetapi video itu pula yang menjadi penyebab untuk mengembalikan Yom.
Saya hanya mampu mendoakan Yom dari jauh. Dalam hati ini, sentiasa ada Yom yang pernah menjadi penawar hati saya. Saya doakan ibu Yom dapat menjaganya dengan baik dan Yom akan menjadi anak yang soleh. Saya terpaksa menyerahkan Yom dan move on…cukuplah setakat ini.” akhiri Datin Seri Shahida.
Foto kredit: Instagram Datin Seri Shahida
This website uses cookies.