Tahun lalu merupakan detik paling getir buat wanita berusia 40an ini apabila diuji dengan kanser payudara. Sesuatu yang tak pernah terlintas di fikiran kerana tiada sejarah dalam keluarganya yang menghidap kanser yang menjadi ‘musuh’ paling digeruni setiap wanita.
Finalis Anugerah Wanita Cemerlang Nona yang juga pengasas Elite Group of Consultants dan Elite Wealth Advisors, Dr Siti Zainab Mohd Zaini atau terkenal dengan panggilan Bochi ini tidak patah semangat sebaliknya positif dengan apa yang berlaku selain pasrah dan percaya dengan hikmah Allah SWT. Berkat kesabaran dan semangat yang tinggi kini Dr Siti Zainab mampu tersenyum apabila disahkan sembuh sepenuhnya daripada kanser payudara.
“Saya dilahirkan dalam keluarga yang kuat bekerja. Abah seorang petugas kerajaan di siang hari dan berniaga satay pada waktu malam. Begitu juga ibu siang bekerja di kilang, malam membantu Abah menjual satay di samping bekerja sampingan sebagai ejen jualan langsung demi menyara kami 4 beradik. Jelaslah darah workhalic sudah mengalir dalam diri saya sejak kecil.
Ceritanya bermula apabila tahun lalu, saya melakukan rutin pemeriksaan kesihatan termasuk mammogram dan pap smear di KPJ Ampang Puteri. Keputusan secara keseluruhannya perfect tapi keputusan mammogram dan ultrasound pula sebaliknya. Terdapat satu ketulan kecil di payudara kanan. Saya dirujuk kepada pakar dan disyor melakukan pembedahan kecil iaitu biopsy
bagi mengenal pasti ketulan itu dengan lebih terperinci.Hari pertama saya didiagnos kanser, doktor mencari punca dengan interview saya lebih mendalam kerana tiada dalam sejarah keluarga saya yang mengidapnya. Point seterusnya doktor kaitkan dengan cara hidup saya. Menurutnya seorang yang workaholic, kurang rehat, pemakanan tak seimbang dan kurang bersenam antara sebab. Begitu juga dengan kerohanian semuanya perlu seimbang.
Walaupun mulanya agak terkejut namun saya pasrah dengan ketentuanNya. Saya mesti berjuang dan positif untuk beri semangat kepada keluarga. Saat merasa sakit, saya ingatkan diri ia hanya sementara dan membayangkan masa depan yang sihat dan bahagia. Maka bermulalah perjalanan saya sebagai pesakit kanser payudara yang perlu menjalani rawatan susulan dan pembedahan sehinggalah disahkan sembuh baru-baru ini.
SEMBUH
Syukur, pada Julai 2020 doktor memaklumkan saya sudah sembuh setelah melalui 6 cycle kemoterapi, 15 kali radioterapi dan setahun rawatan susulan. Satu pengalaman ‘perit’ yang tiada seorang pun mahu melaluinya. Namun, ia mengajar saya agar menghargai kehidupan sebaiknya. Sepanjang bergelar seorang pejuang kanser inilah 7 prinsip yang saya amalkan.
Pertama, pentingnya pemeriksaan kesihatan menyeluruh dibuat setiap tahun. Kebanyakan penyakit dalaman tidak menunjukkan tanda-tanda sehinggalah dah sampai ke peringkat serius. Bagi wanita bila dah berumur 40 tahun perlu menjalani pemeriksaan mammogram bagi mengesan kanser payudara di peringkat paling awal iaitu sebelum ketumbuhan dapat dirasai.
Kedua, peka dalam pemakanan. Tukar kepada yang lebih sihat agar lebih bertenaga dan dapat menstabilkan berat badan ke paras ideal. Saya juga bertemu dengan pakar diet. Selain belajar tentang pemakanan sihat saya juga belajar mengira kalori.
Saya juga jadikan senaman sebagai rutin seperti Zumba atau latihan regangan, minimum 20 minit sehari. Saya rasa lebih kuat, badan lebih ‘ringan’ dan mudah tidur lena di waktu malam. Bersenam menjadikan jantung kita lebih sihat, awet muda, mengurangkan risiko penyakit dalaman, menguatkan tulang dan stamina.
Seterusnya, tidur yang cukup. Dulu saya terlalu workaholic, kerja sampai 16 jam sehari pun ada. Kini saya tidur dalam 4 ke 5 jam sehari saja. Atas nasihat doktor saya mula berehat dan tidur pukul 11 malam. Keesokannya bangun pada pukul 5 pagi.
Urusan perniagaan saya hadkan kurang dari 8 jam sehari agar banyak masa dengan keluarga termasuk aktiviti bersama rakan-rakan, persatuan dan kebajikan. Saya amalkan work ife balance, bukannya berapa banyak masa yang kita kena fokus untuk sesuatu urusan. Yang penting kualiti kerja dan usaha kita.
Secara tak langsung saya belajar bagaimana menguruskan stres termasuk kurangkan banyak berfikir sebab saya ini pemikir orangnya. Jadi, dugaan kanser mengajar saya untuk nikmati kehidupan dengan lebih ceria, gelak tawa, menganggap sesuatu masalah kecil saja serta sayangi keluarga, rakan dan orang di sekeliling.
SUAMI SENTIASA DI SISI
Dari hari pemeriksaan sehingggalah keluar keputusan pemeriksaan dan biopsy suami sentiasa di sisi. Suami banyak memberi nasihat, dorongan dan kata-kata semangat agar saya terus berjuang dan kembali sihat.
Antara kata-kata semangat suami kepada saya ialah “Kita cari ubat, kita ikut cakap doktor”. Suami turut membawa saya bertemu dengan sahabat baik saya, Dr. Nor Aniza yang juga seorang pejuang kanser bagi bertanyakan pendapat dan nasihat. Selain suami, dua anak saya iaitu Iskandar dan Natasha juga sumber kekuatan saya.
KERJAYA
Syarikat saya baru melancarkan Pelan IFP dan Elite Perihatin sempena meraikan 20 tahun berada dalam industri pengurusan kewangan. Pelancaran itu sejajar dengan permasalahan semasa iaitu perancangan kewangan yang efektif di kala COVID 19 dan bantuan serta idea menambah baik kewangan kepada mereka yang terjejas teruk. Selari dengan projek Penjana, saya juga menyambut baik saranan kerajaan untuk mengambil dan melatih seramai mungkin mereka yang telah hilang pekerjaan.
Tak ramai yang peka tentang kanser serta tabiat dan pola pemakanan yang betul. Kempen ini perlu beri tumpuan kepada pesakit kanser kerana ramai lagi di luar sana masih tak tahu untuk menguruskan dengan betul, baik pesakit mahupun penjaga itu sendiri. Semoga perjuangan saya ini memberi inspirasi kepada para pesakit kanser untuk berusaha ke arah kesembuhan. Usah berputus asa.”
Kredit Foto: Instagram @drsitibochi.skillmentor
This website uses cookies.