“Sayang, Ini Hadiah Hari Jadi Kita Paling Mahal Dari Allah” DR SAMHAN Sebak Dapat Tunai Haji Sebelum Umur 40

Tahun lalu, pasangan doktor yang juga suami isteri ini meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-10 di tanah suci Mekah.

Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Samhan Awang yang turut terkenal di platform media sosial kerana sering berkongsi tip-tip kesihatan bersyukur dapat menunaikan impian isterinya Dr Rushaida Zabidi untuk meraikan anniversary mereka di Mekah sambil mengerjakan umrah.

Tahun ini, mereka sekali lagi diizinkan Allah SWT untuk bersama-sama mengerjakan ibadah haji. Menariknya, niat pasangan ini untuk ke tanah suci mengerjakan haji sebelum umur 40 tahun termakbul.

Berita gembira itu telah dikongsi oleh Dr Samhan di akaun Instagramnya. Beliau memuat naik perbualan ringkasnya bersama isteri.

Bang, tahun depan kita pergi haji ya”

“Memang niat di hati nak buat haji sebelum umur 40.

“Masih ada 3 tahun lagi. Kalau tak pergi tahun ni, tahun depan. Kalau tak tahun depan, tahun depan sekali pun ok.

“Melihat wajah isteri tercinta, jelas dia tekad.

“Sayang doa sungguh-sungguh tahun ni nak pergi haji masa buat umrah haritu”

“InsyaAllah. Jika kita dipilih, Allah mudahkan.”

Pun begitu, jauh di sudut hati Dr Samhan bahawa banyak perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum melaksanakan rukun Islam ke-5 itu.

“Kerja, anak-anak dan kewangan. Semuanya perlu disusun rapi.”

 Dr Samhan turut berkongsi detik pertemuan dengan sahabat-sahabatnya beberapa bulan lalu. Ianya menjadi titik tolak kepada keputusan ke tanah suci.

“Masih lagi sangsi. Sehinggalah kami ziarah sahabat kami @rosezainal_official @hishammazelan @azidtahar @nuthrazak beberapa bulan lepas.

“Dr dah WAJIB pergi haji!”

“Kata-kata Tuan Azid buat kami tersentap.

“Dr kena lengkapkan rukun Islam ke-5. Dr selesai urusan dengan Allah, Allah mudahkan urusan Dr yang lain.

“Kami pergi haji dulu, bergolak bergadai. Tapi semuanya kami serah pada Allah.”

Mendengarkan itu, Dr Samhan dan isteri teruskan nekad.

“Memang betul-betul buat kami terus nekad. Allah lorongkan jumpa sahabat-sahabat yang baik. Terus kami bersemangat. Doa tak putus-putus. Sungguh-sungguh minta dengan Allah.

“Alhamdulillah, beberapa hari lepas kami dapat keputusan dipilih Allah jadi tetamuNya untuk tunaikan haji tahun ini. Subhanallah.

“Tak terkata. Rasa sayu. Rasa sebak. Rasa syukur. Terus sujud syukur. Tanpa sedar, air mata terus mengalir laju. Allah pilih kami. Allah jemput kami. Allah tunaikan hajat kami. Allahuakhbar.

“Sayang, ini hadiah hari jadi kita paling mahal dari Allah”

“Doakan perjalanan kami dipermudahkan dan diterima amalan serta dikurniakan Haji Mabrur. Maafkan segala silap salah kami. Kami doakan kalian juga dijemput Allah untuk tunaikan haji tahun depan. Amin.”

Semoga dimudahkan segala urusan Dr Samhan dan isteri serta dikurniakan haji yang mabrur.

Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona

Share
Published by
Amy Mohd