Selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara rasminya meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-8 negara kita. Memerintah Malaysia selama 532 hari, Tan Sri Muhyiddin kini dilantik menjadi caretaker Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.
Tan Sri Muhyiddin baharu sahaja menyampaikan ucapannya sejurus perletakan jawatannya. “Maka, pada hari ini saya meletakkan jawatan saya sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh ahli Jemaah Menteri sebagaimana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan,” sayu mendengar Perutusan Khas Perdana menteri sebentar tadi.
Memulakan jawatannya dahulu dengan sebuah doa yang indah, Tan Sri Muhyiddin mengakhiri jawatannya dengan sebuah doa untuk kita sebagai rakyat hayati sepenuhnya.
Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim
Engkau kurniakanlah kerahmatan kepada kami
Engkau lindungilah keselamatan dan keamanan negara kami
Engkau peliharalah kesihatan dan kesejahteraan hidup kami
Engkau lenyapkanlah penyakit Coronavirus dari muka bumi-Mu ini, Ya Allah
Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim
Engkaulah yang mempunyai segala kepujian
Engkaulah yang berhak menerima segala kesyukuran
Engkaulah yang memiliki segala pemerintahan
Di tangan Engkau segala kebajikan
Kepada Engkaulah kembali segala urusan
Tan Sri Muhyiddin juga telah mengambil kesempatan memohon maaf sepanjang bekerja sebagai Perdana Menteri. “Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon keampunan daripada saudara dan saudari atas segala kekhilafan dan kelemahan saya sepanjang saya menjadi Perdana Menteri,” ucapnya.
Terima kasih Tan Sri Muhyiddin atas segala usaha membantu rakyat terutama ketika menjalankan misi memutuskan rantaian pandemik COVID-19 ini.
This website uses cookies.