Sayuran Organik & Chia Seed, Rahsia RAJA PETRINA Cantik & Langsing Macam Anak Dara!

Melihat susuk tubuh Yang Mulia Raja Petrina Suziana Raja Putera Shah pasti ramai yang tidak menyangka kerabat diraja ini merupakan ibu kepada dua orang anak. Macam anak dara! Mengakui mudah turun berat badan kerana sibuk menjaga kedua-dua putera kesayangan, salah satu cara beliau untuk memastikan kesihatan tubuh kekal langsing dan bertenaga adalah dengan minum air kosong secukupnya.

Selain mengawal pemakanan, Raja Petrina juga seorang wanita Melayu yang begitu menitikberatkan soal kesihatan sewaktu berpantang. “Bonda akan memastikan saya mengikut segala pantang-larang terutamanya selepas bersalin. Dari melahirkan anak pertama lagi, bonda ajar saya amalkan petua berpantang ‘Pah Laili’. ‘Pah’ ini sebenarnya panggilan ibu angkat bonda saya dari kecil dan antara dayang istana yang teliti bab pantang-larang dan adat istiadat di istana.

Untuk kesihatan badan agar kekal sihat, saya akan pastikan setiap hidangan yang saya ambil perlu ada buah dan sayur. Juga, semestinya makanan yang sihat sebab saya tak makan fast food. Lagi elok kalau masak sendiri dari rumah di samping menikmati sayur-sayuran organik dan juga chia seed.

Sejujurnya saya selesa mengawal cara makan tiga kali sehari. Snacks on fruits, makan nasi dan sayur sama banyak. Waktu malam memang saya jarang makan nasi. Biasanya saya akan pastikan makan sebelum Maghrib.”

Diaju tentang penjagaan kulit wajah pula, sambil tersenyum ibu muda ini membongkar rahsia. “Kalau penjagaan harian biasanya saya selesa buat di rumah saja. Jarang ke salun pun. Cuma pakai masker sekurang-kurangnya sekali atau dua kali seminggu. Ikutkan, penjagaan kulit wajah saya ringkas je. Hanya amalkan lima langkah mudah.

Pertama sekali, bersihkan muka dengan pencuci wajah, kemudian gunakan mask atau scrub. Fungsinya untuk menyingkirkan kulit mati atau kekotoran yang melekat di muka diikuti pemakaian serum. Tak lupa juga menggunakan krim pelembap dan krim pelindung sinar UV.”

Hendak nampak cantik, kenalah rajin. Kalau sudah terbiasa buat penjagaan asas kulit seperti ini mesti tak ada masalah hendak tiru rejim kecantikan Raja Petrina. Apa yang pasti, kecantikan dan kesihatan kulit wajah sebenarnya bukan terletak pada jenama produk sebaliknya tentang bagaimana kita ‘memanjakannya’.

Tambahnya lagi, “Tak lupa juga rutin senaman selama 30 minit dalam empat hingga lima kali seminggu. Itu pun saya buat di rumah saja sebab senang hendak jaga anak-anak,” terang wanita berkulit cerah berusia 34 tahun ini.

Enggan duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa, Raja Petrina mengambil keputusan untuk berjinak-jinak dalam bidang perniagaan melalui bisnes aksesori wanita yang diusahakan iaitu Petrina Putra. Boleh rambang mata kalau tengok koleksi yang dihasilkan kerabat diraja ini.

“Menguruskan rumah tangga dan dalam masa sama usahakan perniagaan sendiri memang perlukan banyak pengorbanan. Buat masa sekarang, saya berniaga aksesori ‘statement necklace’ ini dulu secara online. Sambutan terhadap aksesori Petrina Putra setakat ini sangat memberangsangkan. Idea untuk buat bisnes ini sebenarnya tercetus kerana minat saya terhadap dunia fesyen.

Bagi saya, penglibatan dalam perniagaan bukan saja kena kuat mental dan fizikal malah kena ada minat serta kesungguhan tinggi. Saya bersyukur sebab perniagaan ini ada masa yang fleksibel. Selain dapat wang, saya juga ada masa untuk pantau anak-anak.

Ada ketika memang terlalu sibuk melayan permintaan daripada pelanggan tapi keutamaan tetap diberikan kepada anak-anak dan keluarga. Saya mahu setiap masa yang saya luangkan untuk mereka berkualiti atau dalam erti kata lain, tak juga menjejaskan periuk nasi saya sendiri. Kiranya, dua-dua perlu seimbang,” akhirinya.

Kredit foto: Instagram rajapetrina_mk

 

 

Share
Published by
Suzi