“Scha Pengkritik Saya Yang Paling Jujur. Dia Ibarat Cermin Kedua Saya” AWAL ASHAARI

The most fashionable couple! Itulah gelaran paling tepat yang dapat diberikan buat pasangan serasi, Awal Ashaari dan Scha Alyahya. Setiap kali tampil di khalayak, penampilan pasangan selebriti popular ini tak pernah mengecewakan sekaligus menyerlahkan fashion statement mereka yang tersendiri.

Selain sehati sejiwa, pasangan ini seringkali dilihat bersama khususnya di acara-acara ekslusif. Baru-baru ini Scha turut menemani Awal ke acara Nona Superhero Award 2021. Ini membuktikan, pasangan ini saling menyokong kejayaan antara satu sama lain.

PERMULAAN KARIER AWAL
“Sudah 16 tahun saya berada dalam industri seni. Karier bermula sebagai seorang model selepas saya memenangi sebuah rancangan model search sekitar tahun 2004. Kemudian saya aktif sebagai model komersil termasuk untuk catwalk. Setelah itu barulah saya berjinak-jinak dengan audition antaranya Akademi Fantasia dan Malaysian Idol. Bila makin dikenali itulah stepping stone dalam karier saya. Mulanya hajat hendak jadi penyanyi tetapi bidang pengacaraan nampaknya menjadi sumber rezeki saya sekarang, alhamdulillah.

Lelaki yang menjadi superhero dalam hidup saya ialah bapa, Ashaari Haji Ahmad. Beliau seorang yang tegas. Walau seorang pesara askar tetapi bapa tidak pernah angkat tangan mahupun tengking anak-anak. Itu yang membuatkan kami lebih hormat, taat dan takut dengannya. Beliau tidak pernah menggunakan kuasa sebagai ketua keluarga dengan cara kekerasan,” ungkap penerima Nona Men’s Style Icon Award ini.

HARGAI ISTERI
“Ketika baru-baru dikenali dan kebetulan baru juga mengenali Scha kami pernah melalui pengalaman pahit yang menjadi liputan meluas media ketika dulu. Dunia jadi gelap seketika kerana semua orang bercakap tentang itu walaupun tuduhan diberikan tidak berasas. Apa yang saya belajar dari pengalaman itu, bila kita di atas ramai yang akan suka dan sanjung. Tetapi bila kita buat silap sikit atau the moment kita nak jatuh tiada seorang pun yang nak tolong kita.

Orang yang paling ada dengan kita saat susah senang ialah support system iaitu keluarga dan sahabat. Jadi, kita kena dekat dengan orang yang sentiasa percaya dengan kita. Ia satu pengajaran yang sangat besar yang menjadi turning point bagi saya. Saya bangkit semula, bina kembali nama dan lebih berwaspada. Ini juga menjadikan saya lebih matang.

Scha seorang yang sangat penting dalam hidup saya. Dialah isteri, ibu, sahabat, pengkritik dan penasihat fesyen saya. Scha adalah cermin bagi diri saya. Dia ibarat cermin kedua saya. Kadangkala apa yang kita nampak tidak sama seperti orang lain nampak. Scha juga pengkritik saya yang paling jujur. Walaupun kata-katanya ringkas tapi amat memberi kesan.

Kami juga saling meraikan pendapat masing-masing. Contohnya, saya akan tanya pendapat Scha kalau pakai barang lelaki selalunya apa yang perempuan suka lihat. Begitu juga Scha yang akan tanya pendapat saya dari segi penampilannya.

Buat pertama kalinya saya mendapat pengiktirafan sebagai salah seorang superhero oleh sebuah majalah wanita terunggul di Malaysia iaitu Nona. Ia satu benda baru dan saya sangat bersyukur dan gembira kerana dapat menjadi first badge atau pioneer untuk anugerah ini. Sejujurnya, saya tidak pernah merasa saya ini ikon fesyen tetapi orang-orang di sekeliling yang memberikan gelaran itu. Saya hargainya kerana saya sendiri suka bereksperimen dengan fesyen.

Kadangkala padanan T-shirt dengan seluar pendek dan selipar pun boleh nampak fashionable kalau kita pandai gayakan. Bagi saya dalam fesyen tidak ada yang salah atau betul. Bila ada stigma negatif dalam fesyen ia memberikan sedikit limitasi kepada seseorang. Istilah ‘mangsa fesyen’ pula sangat subjektif. Bila seseorang itu over the top atau terlalu bersiap ada yang anggap dia mangsa fesyen. It goes back to apa yang membuatkan kita selesa. Ada yang selesa bergaya dengan color blocking, baju berlapis-lapis, merelip dan sebagainya. Ada orang yang sangat minimal, less is more. Jadi istilah mangsa fesyen bergantung kepada keselesaan. Itu adalah diri dia, menjadi diri sendiri.

Kalau semuanya less is more and play safe dunia fesyen akan menjadi hambar. Kadangkala yang dikatakan mangsa fesyen ini memberi vibrant or colors dalam industri fesyen kita. So, if you feel you are awesome in it, why not? Ia sangat subjektif dan tidak adil bagi saya untuk labelkan seseorang itu sebagai mangsa fesyen.

Untuk menjaga nilai exclusivity pula seorang selebriti juga perlu ada standard SOP masing-masing. Ilmu ini saya belajar dari pengalaman pernah bekerja di sebuah syarikat pengiklanan. Branding atau identiti perlu kuat. Kalau ke mana-mana orang kenal kita. Kalau ada produk pun sama, perlu ada standard tersendiri. Itulah formula yang saya bawa dalam karier. Bukan saja berjaya cipta branding

untuk diri sendiri bahkan untuk Scha, anak-anak dan keluarga. Alhamdulillah sampai sekarang kami diberi kepercayaan menjadi wajah utama untuk produk-produk besar. Bila kita jaga branding kita ia akan berada di satu tahap yang selesa dan berbeza dengan selebriti-selebriti lain. Bagi saya percaturan ini betul dan pada masa sama masih ada rezeki kami walau banyak persaingan.

Terima kasih dan tahniah buat Nona kerana tampil dengan satu anugerah yang julung kali dilakukan oleh sebuah majalah wanita. Ia satu penghargaan yang sangat bernilai buat saya sebagai seorang lelaki. Inilah masanya untuk kita saling menyokong, menghargai dan runtuhkan stigma siapa lebih kuat dan berkuasa. Terima kasih atas penghargaan ini. I wish you all the best and congratulations!”

Kredit Foto: Instagram Awal Ashaari

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad