Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Fadhlina Sidek sebentar tadi berkongsi hantaran di Facebook miliknya di mana beliau meluangkan masa menemani anak sulung, Thurayya Fadhilah Mohd Fadzli, 18, mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan pada hari ini.
Ads
YB Fadhlina tiba di Sekolah Menengah Agama (SMA) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Bandar Sri Permaisuri Cheras sekitar jam 10 pagi. Beliau meluangkan masa lebih satu jam dengan duduk di kerusi bahagian ibu bapa sebelum meninggalkan lokasi jam 11.40 pagi.
“Pagi ini saya bersama suami hadir mengambil keputusan anakanda sulung saya di sekolah.
“Alhamdulillah atas nikmat dan rezeki dari Allah subhanahu wa ta’ala, anakanda Thurayya Fadhilah berjaya memperoleh keputusan 9A dalam SPM tahun 2022.”
Beliau turut mengambil peluang beramah mesra dengan para pelajar cemerlang yang diraikan pada Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Beliau turut meluahkan rasa terharunya atas kejayaan anaknya itu.
“Sebagai ibu, saya sangat terharu dengan kejayaan ini kerana saya tahu jerih perih usaha yang telah anakanda berikan dan terhadnya masa dan perhatian yang saya luangkan untuk bersamanya menghadapi tahun-tahun yang mencabar ini.”
Sementara itu, Thurayya Fadhilah yang memperoleh 9A dalam SPM meluahkan rasa syukur dengan keputusan itu. Dia juga merancang untuk menyambung pengajian dalam bidang Sains Kemanusiaan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selepas ini.
Ads
“Sebagai anak Menteri Pendidikan dan anak sulung pula, saya akui tertekan kerana ramai pihak meletakkan harapan yang tinggi.
“Bagaimanapun ibu sentiasa memberi sokongan dan tidak kisah dengan apa juga keputusan yang diperoleh.
“Sambil peluk, ibu ucapkan tahniah kepada saya,” luah Thurayya Fadhilah.
Dalam pada itu, Thurayya Fadhilah turut merakamkan penghargaan buat semua guru yang pernah mengajarnya dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah.
Ads
Harapannya agar kejayaan itu menjadi suntikan semangat dan contoh buat empat adiknya yang lain untuk berjaya dalam akademik.
Ini pula harapan YB Fadhlina buat anak sulungnya itu: –
“Semoga anakanda terus berusaha mencapai kejayaan dunia dan akhirat.”
Semoga Thurayya Fadhilah terus berjaya pada masa akan datang dan sentiasa menjadi kebanggaan ibu bapa.
Sumber: Sinar Harian
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kami sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Hari ini genaplah usia sosok isteri negarawan, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali mencapai 95 tahun. Suatu angka yang besar, sarat dengan pelbagai kisah hidup bersejarah sebagai isteri kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu kedua di Malaysia itu kian bertambah apabila melihatkan kesihatan Tun Hasmah yang tidak banyak terjejas kecuali penglihatan. Pada usia 95 tahun, beliau juga masih mempunyai memori yang bagus.
Pelbagai peristiwa bersejarah termasuk nama dan tarikh-tarikh penting masih tidak luput dari ingatan Tun Hasmah. Beliau bercerita seperti seorang diari yang bergerak. Ingatannya begitu kuat, mungkin ada rahsia yang diamalkan Tun Hasmah?
Jawab beliau, “Yang pertama sekali tu, kita kena buat sesuatu berulang-ulang, khasnya pemikiran. Selalu saya berdoa, ‘Waraskanlah pemikiran hamba’ sebab ini penting. Kalau kita tak berulang-ulang buat sesuatu tu, kita lupa.
Khasnya sekarang ni saya tak nampak. Jadi saya kena hafal untuk masukkan dalam memori. Contohnya lagu-lagu. Kalau lagu-lagu yang saya ingat, bolehlah saya ingat tapi kalau yang baru, kenalah kita dengar lagu tu berkali-kali supaya otak kita tu meresap,” dedah Tun Hasmah sambil mengakui bermain muzik dapat menajamkan fikiran.
MAHIR GESEK BIOLA
Mendengar alunan gesekan biola ‘The Moon Represents My Heart’ ini begitu syahdu rasanya. Mungkin kerana melihat wajah bonda Tun Hasmah, wanita tertua yang bermain biola pada usia bakal mencecah 95.
Bercerita kepada Nona, rupa-rupanya banyak sejarah di sebalik kemahiran beliau menggesek biola. Kemahiran muzik pun salah satu cara bijak untuk kuatkan ingatan.
Cerita Tun Hasmah, “Saya mula bermain biola pada usia 16 tahun. Masa tu zaman Jepun tiga tahun je. Disebabkan tidak bersekolah dan tiada apa yang boleh dibuat, ayah suruh saya main biola dan kakak-kakak main piano.
Lepas British masuk balik, saya terus sambung pengajian di Singapura. Sejak itu saya tak pernah main biola, dan biola itu pun dah dicuri dari rumah mak.
Selepas saya balik semula ke tanah air, bekerja, berkahwin, pindah ke Alor Setar dan ada famili semua, saya tak usik sikit pun biola. Cuma sesekali saya main keyboard bila ada masa.
Penulis, Norzalina Mohd Alias, bersama Tun HasmahTeam Nona ketika bertamu ke kediaman Tun Hasmah
Apabila Tun Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau kena jelajah satu negara untuk terangkan tentang Kod Raja-Raja. Ketika di Melaka, mereka beri sebuah biola kepada beliau kerana ingatkan Tun pandai main biola. Tapi biola tu cuma dibawa pulang dan disimpan di pejabatnya.
Begitu juga artis Wah Idris pun pernah beri saya sebuah gitar, siap dengan tanda tangannya… pun saya simpan. Dapat trompet, simpan.
Sehinggalah pada tahun 2012, Petronas Philharmonic Orchestra (MPO) datang kepada saya yang pada masa tu Penaung MPO. Mereka nak adakan sebuah konsert kebajikan.
Masa tu saya boleh menyanyi koir je. Tapi Tun cakap pada saya, buatlah yang ganjil sikit dan orang tak pernah nampak. Saya pun fikir.
Jadi okay, BIOLA!
Bayangkan jarak 70 tahun, baru saya mula balik (main biola) sampai sekarang.
Bahu dan tengkuk saya ni pun baru rasa sakit-sakit. Doktor tak bagi saya main biola seketika,
Setiap hari Selasa, guru muzik akan datang mengajar di rumah saya. Winnie, guru saya, dia seorang yang tegas. Saya pernah cakap, ‘Winnie, pelajar baru ni dah tua.’ Dia tanya saya balik, ‘How old?’ dan saya jawab, 86. Dia pun diam tapi setuju mahu mengajar saya,” cerita Tun Hasmah.
Tidak hanya terkenal sebagai isteri pemimpin negara dan doktor perubatan, bonda Tun Hasmah terus meniupkan inspirasi kepada generasi wanita moden seperti kita semua agar lebih bijak memberi masa untuk menjaga diri sendiri.
Dari hobinya yang suka menulis, bermain muzik dan mengambil tahu perihal isu semasa, beliau jelas melambangkan sisi Nona Superwoman yang sebenar… She’s truly a living legend.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Membesarkan anak tanpa suami di sisi pasti sangat mencabar. Dialah ibu, dialah bapa. Namun sesukar manapun, anak-anaklah sumber kekuatan sebenar bagi wanita yang bergelar ibu tunggal.
Nona senaraikan 9 ibu tunggal yang cukup dikenali ramai dan wajar digelar ‘superwoman’ kerana cekal membesarkan anak-anak serta berjaya mengubah kehidupan keluarga menjadi lebih baik. Malah, mereka kini juga semakin cantik dan berkeyakinan tinggi.
HIDAYAH Tiga tahun bergelar ibu tunggal, balu kepada arwah Abam Bocey iaitu Siti Nor Hidayah Mohd Ali, 30, kini tenang menjalani kehidupan bersama anak lelakinya, Hamzah. Mesra disapa Hidayah, dia kini ligat berniaga. Ternyata, usahanya membuahkan hasil apabila rangkaian bisnesnya makin berkembang.
Untuk info, Hidayah dan Abam berkahwin pada 2017 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey, 3 tahun. Namun jodoh mereka tidak panjang apabila Abam menghembuskan nafas terakhirnya pada 10 Februari 2020 akibat demam panas.
RITA RUDAINI Sedar tak sedar sudah sembilan tahun pelakon versatil, Rita Rudaini bergelar ibu tunggal kepada dua anak lelaki iaitu Airit Rayyan Rizqin, 14, dan Airit Qaqa Arjuna. Rita dilihat berjaya menerapkan didikan dengan caranya yang tersendiri sama ada dalam bidang akademik mahupun agama.
Sekian lama tidak muncul dalam dunia lakonan, Rita kini mengorak langkah ke dunia bisnes. Ternyata, ia menjadi cinta baharu buat Rita yang awet muda pada usia 47 tahun.
ERRA FAZIRA Aktres jelita yang terkenal dengan gelaran primadona filem Melayu. Pemilik nama sebenar, Fazira Wan Chek kini beruisa 49 tahun. Terdahulu, Erra pernah mendirikan rumahtangga dengan komposer serta ahli kumpulan KRU, Yusry Abdul Halim pada 2003, namun berpisah tiga tahun kemudian.
Setahun kemudian Erra bertemu jodoh pula dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin. Mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Engku Aleesya, yang kini berusia 14 tahun. Namun, jodoh mereka hanya bertahan selama tujuh tahun dan bercerai pada Februari 2014.
ZIANA ZAIN Hampir empat tahun melayari hidup sebagai ibu tunggal, penyanyi terkenal Ziana Zain kini lebih senang memberikan fokus terhadap karier dan keluarga. Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, 54, pernah mendirikan rumah tangga dengan bekas ketua pramugara, Armin Zaharin pada 9 Mei 1998.
Mereka dikurniakan empat anak iaitu Muhammad Aiman, 23, Muhammad Ammar, 19, dan pasangan kembar Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh yang kini berusia 14 tahun. Selepas dua dekad hidup bersama, mereka disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 12 Julai 2018.
RAJA AZURA Pelakon dan pengacara, Raja Azura atau Kak Engku sudah 13 tahun berstatus ibu tunggal. Walau sudah bercerai, hubungan Raja Azura dan bekas suami masih mempunyai hubungan baik.
Untuk info, Raja Azura berkahwin dengan Adzmin Osman iaitu anak bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff pada Mac 2001. Mereka bercerai pada 28 September 2010 dan dikurniakan tiga anak iaitu Megat Muhammad Raziq (21), Megat Luqman Hakim (20), dan Puteri Mia Maizura (18).
FARAH LEE Farah Lee, seorang ibu tunggal yang memiliki semangat ibu muda yang luar biasa. Kisah pemilik nama sebenar, Nurfarahin Romli ini terkenal di media sosial serta menjadi inspirasi wanita kerana kekuatan dan kejayaannya dalam kehidupan.
Selain berkelulusan tinggi, Farah juga merupakan seorang usahawan sukses. Farah kini membesarkan seorang anak perempuan, Maream Esabel Ally Iskandar, hasil perkongsian hidup bersama bekas suami iaitu Ally Iskandar.
SHILA AMZAH Setelah empat tahun mendirikan rumahtangga, penyanyi Shila Amzah yang juga anak kepada artis veteran ND Lala, kini tenang menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal kepada seorang anak lelaki.
Shila atau nama lengkapnya Nurshahila Amir Amzah, 32, mendirikan rumahtangga dengan Haris Idraki Elias pada April 2018. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Seth Uwais yang kini berusia dua tahun. Namun, pada Februari 2022 mereka sah bercerai di sebuah mahkamah syariah di Selangor.
LUFYA Pelakon dan penyanyi jelita, Lufya Omar atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar merupakan ibu tunggal kepada seorang anak. Lufya, sebelum ini pernah berkahwin dengan Che Hafiz pada 29 November 2016 namun bercerai pada 17 Jun 2020.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Laana Haura yang kini berusia enam tahun.
JOY REVFA Siapa yang tak kenal dengan usahawan kosmetik sensasi, Joy Revfa atau nama sebenarnya Siti Arifah Mohd Amin. Pemilik empayar perniagaan MERVE Cosmetics Malaysia ini merupakan ibu tunggal kepada Arryan Firdaus yang kini berusia sembilan tahun.
Terdahulu, Joy pernah bergelar isteri kepada penyanyi, komposer dan penulis lirik Hafiz Hamidun. Mereka berkahwin pada 2017 namun jodoh tidak panjang. Selepas itu, Joy pernah mengikat tali pertunangan dengan seorang jurulatih kecergasan namun tiada jodoh. Joy kini lebih komited dengan keluarga dan bisnes demi membantu lebih ramai wanita termasuk ibu tunggal sepertinya agar lebih berjaya.
Nona mendoakan agar anda yang bergelar ibu tunggal terus bangkit demi kehidupan yang lebih baik.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Malaysia kehilangan seorang negarawan dan tokoh politik berpengalaman yang menyumbang kepada pembangunan infrastruktur negara dan kemajuan masyarakat India berikutan pemergian Tun S. Samy Vellu, 86, yang menghembuskan nafas terakhir pagi 15 September 2022.
Tun S. Samy Vellu.
Sepanjang hayatnya, mendiang merupakan antara Menteri kabinet paling lama berkhidmat, kira-kira 30 tahun bermula sebagai Menteri Kerja Raya pada 1979.
Semasa menjadi Menteri Kerja Raya, Samy Vellu banyak memainkan peranan dalam membangunkan rangkaian jalan raya serta pengangkutan dalam negara. Atas daya usahanya itu, pada tahun 1987 beliau dianugerahkan ‘International Man of the Year Award’ oleh The International Road Federation (IPF).
Sebelum itu, mendiang pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 1978.
Kredit Foto; FMT
Samy Vellu pernah menerajui Kementerian Tenaga, Telekomunikasi dan Pos dari 1989 hingga 1995, yang menyaksikan kejayaan beliau mengendalikan projek penswastaan Jabatan Telekom, Lembaga Letrik Negara dan Jabatan Pos, sebelum kembali ke Kementerian Kerja Raya pada 1995 hingga 2008.
Mendiang turut mempunyai peranan besar dalam pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan serta pembinaan jambatan Pulau Pinang manakala pada 2011, Samy Vellu dilantik menjawat jawatan Duta Khas Malaysia bertaraf Menteri bagi infrastruktur ke India dan Asia Selatan.
Mendiang juga merupakan antara nama penting yang menyumbang kepada idea mengenai pentingnya Malaysia memiliki satelit sendiri, Measat 1 yang dilancarkan pada 1995.
Kredit Foto: FMT
Selain berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Siput selama lapan penggal, sejak Pilihan Raya Umum Keempat (PRU4) hingga PRu-12, ahli politik veteran ini juga banyak menyumbang kepada pembangunan kaum India dan merupakan Presiden MIC paling lama iaitu lebih tiga dekad.
Samy Velly yang pernah menjadi pelakon drama Tamil ‘Natpu’ pada 1954, dan penyampai berita di RTM pada 1964, melibatkan diri dalam politik sejak 1959 dengan menjadi anggota MIC cawangan Batu Caves dan memegang jawatan setiausaha cawangan itu.
Kredit Foto: Bernama
Mendiang pernah dipilih sebagai Ketua Pemuda MIC pada 1971, Naib Presiden MIC (1975), Timbalan Presiden MIC (1977) dan ahirnya sebagai Presiden parti pada 1981 selepas memangku jawatan itu susulan kematian Tan Sri V Manickavasagam pada 1979.
Pada 1974, Samy Vellu buat pertama kali dipilih untuk bertanding pada PRU4 seterusnya memenangi kerusi Parlimen Sungai Siput yang disandangnya sehingga 2008, sebelum tewas kepada calon Parti Sosialis Malaysia Dr Michael Jeyakumar Devaraj.
Kredit Foto: FMT
Dari segi pembangunan bidang pendidikan Samy Vellu merupakan penggerak kepada penubuhan Maju Institute of Educational Development (MIED) dan memainkan peranan penting dalam penubuhan Kolej Tafe Seremban serta Asian Institute of Medciine, Science and Technology (Aimst).
Mendiang berkahwin dengan Toh Puan R. Indrani dan mempunyai dua anak, S. Mangayarkarasi dan Datuk Seri S. Vell Paari.
Samy Vellu meninggal dunia di kediamannya di sini kira-kira 7 pagi tadi dan perkara itu disahkan bekas Presiden MIC Tan Sri Dr S. Subramaniam.
Sumber: Bernama
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!