“Sebagai Anak Menteri Pendidikan, Saya Akui Tertekan” Anak FADHLINA SIDEK Raih 9A Dalam SPM, Tahniah!

Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Fadhlina Sidek sebentar tadi berkongsi hantaran di Facebook miliknya di mana beliau meluangkan masa menemani anak sulung, Thurayya Fadhilah Mohd Fadzli, 18, mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan pada hari ini.

YB Fadhlina tiba di Sekolah Menengah Agama (SMA) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Bandar Sri Permaisuri Cheras sekitar jam 10 pagi. Beliau meluangkan masa lebih satu jam dengan duduk di kerusi bahagian ibu bapa sebelum meninggalkan lokasi jam 11.40 pagi.

“Pagi ini saya bersama suami hadir mengambil keputusan anakanda sulung saya di sekolah.

“Alhamdulillah atas nikmat dan rezeki dari Allah subhanahu wa ta’ala, anakanda Thurayya Fadhilah berjaya memperoleh keputusan 9A dalam SPM tahun 2022.”

Beliau turut mengambil peluang beramah mesra dengan para pelajar cemerlang yang diraikan pada Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Beliau turut meluahkan rasa terharunya atas kejayaan anaknya itu.

“Sebagai ibu, saya sangat terharu dengan kejayaan ini kerana saya tahu jerih perih usaha yang telah anakanda berikan dan terhadnya masa dan perhatian yang saya luangkan untuk bersamanya menghadapi tahun-tahun yang mencabar ini.”

Sementara itu, Thurayya Fadhilah yang memperoleh 9A dalam SPM meluahkan rasa syukur dengan keputusan itu. Dia juga merancang untuk menyambung pengajian dalam bidang Sains Kemanusiaan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selepas ini.

“Sebagai anak Menteri Pendidikan dan anak sulung pula, saya akui tertekan kerana ramai pihak meletakkan harapan yang tinggi.

“Bagaimanapun ibu sentiasa memberi sokongan dan tidak kisah dengan apa juga keputusan yang diperoleh.

“Sambil peluk, ibu ucapkan tahniah kepada saya,” luah Thurayya Fadhilah.

Dalam pada itu, Thurayya Fadhilah turut merakamkan penghargaan buat semua guru yang pernah mengajarnya dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah.

Harapannya agar kejayaan itu menjadi suntikan semangat dan contoh buat empat adiknya yang lain untuk berjaya dalam akademik.

Ini pula harapan YB Fadhlina buat anak sulungnya itu: –

“Semoga anakanda terus berusaha mencapai kejayaan dunia dan akhirat.”

Semoga Thurayya Fadhilah terus berjaya pada masa akan datang dan sentiasa menjadi kebanggaan ibu bapa.

Sumber: Sinar Harian

Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kami sekarang di https://t.me/majalahnona

 

Share
Published by
Amy Mohd