Setiap hari pasti kita mendengar khabar tentang saudara rapat mahupun rakan terdekat sedang kritikal mendepani pandemik COVID-19. Dari sehari ke sehari pasti ada berita duka sampai ke telinga. Sesungguh COVID-19 bukan mainan kerana ramai yang terkesan dengan pandemik ini.
Apabila sudah terkena kepada ahli keluarga baharu kita tahu erti sebenar COVID-19 ini. Sebak mendengar perkongsian Dato’ Hajah Sharifah Shareen Almashoor tentang pengalamannya sebagai pesakit COVID-19.
Dalam masa sama, terpalit rasa terharu dengan pengorbanan wanita yang mesra di sapa sebagai Dato’ Shareen ini membantu pesakit COVID-19 tidak berupaya menjaga diri sendiri.
Pengalaman 24 Jam
“Pengalaman 24 jam di hospital, memang suatu pengalaman yang tak akan lupa sampai mati. Saya bersyukur kerana Allah bagi saya peluang tempuh pengalaman begitu,” ujar peneraju pelbagai bisnes termasuk bisnes keluarga iaitu ‘Saudagar Arab Malaysia’ yang hampir 40 tahun beroperasi ini.
Tidak berbayang bagaimana seorang wanita VIP atau ‘Kayangan’ terlupa bahawa dirinya pesakit COVID-19 dan sibuk membantu pesakit lain sepanjang menerima rawatan di salah sebuah hospital kerajaan. “Saya telah ditempat di sebuah hospital selepas melalui detik cemas tidak boleh bernafas di Pusat CAC Stadium Melawati, Shah Alam.
Setelah melalui rawatan di sana, saya telah dihantar dengan ambulan ke sebuah hospital. Setibanya di sana, saya melihat ramainya pesakit. Ini sangat berbeza dengan pengalaman saya menerima rawatan kanser dahulu.
Sayu melihat warga emas yang tidak berdaya menjaga diri sendiri telah membuatkan saya lupa bahawa saya juga pesakit seperti mereka. Rasa bersalah mula menyelinap dalam diri apabila melihat pesakit lain yang lebih kritikal dan berusia,” tutur wanita berusia 41 tahun ini.
Naluri
Pemilik hotel The Lov Penang ini memang terkenal rajin berkongsi rezeki dan aktif melakukan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan serta misi bantuan kemanusiaan. Ketika dirinya diuji positif COVID-19 dan sedang kesakitan, nalurinya untuk membantu orang lain tidak mampu dibendung lagi.
“Saya tak sanggup melihat mereka terutama warga emas yang tak dapat menguruskan diri sendiri. Jika dalam situasi biasa, orang tua sakit pasti anak-anak akan datang menguruskan makan pakai mereka.
Tapi situasi pandemik ini, pesakit terpaksa urus diri sendiri. Di sini saya melihat bagaimana jika ibu kita sendiri yang terbaring di atas katil tanpa bantuan. Ada yang nak bangun nak makan pun tak boleh. Tak boleh nak harapkan doktor dan jururawat kerana mereka semua sibuk dengan urusan lebih penting,” katanya.
Tukar Lampin
Tambahnya lagi, “Apa yang saya buat selama 48 jam itu, pergi ke katil orang yang tak boleh bangun. Saya bercakap dengan mereka dan fikir apa yang saya boleh tolong. Saya bantu bagi makan tukar lampin pakai buang dan bantu mereka ke bilik air untuk mandi,” ucap Dato’ Shareen sambil menitiskan air mata.
Walaupun wanita yang lembut tutur kata ini berjaya menempatkan diri di hopsital swasta untuk meneruskan rawatan lanjut namun jauh di sudut hatinya mahu kekal di situ untuk terus membantu mereka yang memerlukan.
“Selepas memberitahu doktor saya sudah dapat tempat di hospital swasta saya bersyukur kerana proses discharge mengambil masa lama dalam 7 jam. Saya berdoa agar doktor lambatkan proses discharge.
Dalam masa 7 jam itu sempat saya bantu mereka semaksimum mungkin beri makan, tukar lampin pakai buang dan mandi termasuk mendengar cerita mereka. Dalam situasi begini duit mungkin sudah tidak berharga lagi, kalau ada orang dengar cerita pun sudah mampu menceriakan pesakit,” ucapnya.
Kanser Survivor
“Sepanjang saya di sana juga saya melihat lima kematian. Antara momen yang tak dapat dilupakan bila ada seorang makcik berbangsa Tionghua, saya bawa ke tandas untuk mandi sebelum saya nak discharge
Kalau kita sakit kanser hanya kita seorang. Tapi COVID-19 kita tengok semua orang sakit. Kita rasa helpless tak tahu macam mana nak tolong. Saya panic attack tak tahu macam mana nak tolong,” ujar kanser survivor ini.
Kagum dengan usahawan korporat yang berjiwa murni ini. Terpahat kukuh pesanannya, “Kalau nak bantu orang jangan pandang bangsa dan agama. Kalau dia wanita pandanglah dia sebagai mak kita. kalau dia lelaki pandanglah seperti dia ayah kita,” tutur Dato’ Shareen penuh kelembutan.
This website uses cookies.