Memang benar, tiada apa yang diharapkan oleh kedua ibu bapa daripada anak-anaknya melainkan doa anak soleh dan solehah. Selebriti popular, Dato’ Adi Putra telah berkongsi rasa sebaknya saat mendengar anak istimewanya mengucapkan doa sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-40 tahun.
“Saya sangat sebak bila puteri saya, Zara Adelia yang tak boleh mendengar dan bercakap membacakan doa selamat buat hari jadi saya. Allahu, bergenang air mata saya. Allah saja yang tahu. Inilah hadiah paling cukup istimewa yang tak dapat beli di mana-mana.
Terima kasih isteriku, Az-Zahra dan Nani, yang meraikan ulang tahunku ke-40 tahun. Perasaan sangat bersyukur yang pernah dipesan oleh Habib Ali Zaenal Abidin,” coret Dato’ Adi Putra di laman media sosialnya. Selamat Hari Jadi Dato’ Adi Putra, semoga panjang umur dan dimurahkan rezeki.
Sebagaimana yang diketahui umum, perkahwinan di antara Dato’ Adi Putra dan Datin Aida Yusof belum lagi dikurniakan cahaya mata. Namun, pasangan ibu begitu terbuka bila bercakap soal anak. Datin Aida juga pernah berkongsi telah melakukan prosedur IVF 4 kali untuk mendapatkan zuriat namun rezeki belum berpihak kepadanya.
Pasangan ini juga reda dan telah mengambil dua orang anak angkat sebagai penyeri hidup mereka seperti temu bual bersama Datin Aida ketika sesi fotografi edisi Nona Mei 2018. “Saya dah pun ada dua orang anak angkat iaitu Az Zahra dan Zara Adelia. Waktu mereka kecil lagi saya dah susukan kedua-duanya. Zahra dan Adelia masing-masing berusia 7 tahun cuma beza sebulan je.
Zahra yang sulung, normal seperti kanak-kanak lain cuma Adelia ni sebenarnya anak OKU. Dia anak istimewa, tak boleh bercakap dan dengar. Kami dapat tahu keistimewaan Adelia ni masa masih bayi lagi bila dia tak tunjukkan sebarang reaksi terkejut dan seumpamanya,” jelas Datin Aida yang merupakan anak sulung daripada 11 adik-beradik.
Doa Ibu Tak Kenal Jarak & Masa-Nana Sheme
Benarlah kata orang, setiap kejayaan anak-anak bermula dari doa dan restu seorang insan bergelar ibu dan bapa. Memang tidak dapat dinafikan kuasa doa dari sang ibu mahupun bapa menjadi azimat yang penting untuk kejayaan anak-anak. Malah, kejayaan anak-anak bukan sahaja diukur dari kejayaan mengenggam segulung ijazah, malah ia lebih dari itu.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu Hantu Atau Buaya tidak menyesal meninggalkan bidang nyanyian buat sementara waktu untuk memberi perhatian penuh terhadap pengajiannya di Universiti Teknologi MARA atau UiTM. Nur Nabilah Hashimi atau lebih dikenali Nana Sheme membuktikan pilihannya untuk bergelar penyanyi tetapi tidak mengabaikan pelajaran adalah hadiah terbaik yang dapat diberikan buat ibu tersayang, Nur Aisyah Abdullah
Setelah bertungkus lumus selama empat tahun sebagai pelajar, Nana boleh berbangga menghadiahkan segulung ijazah buat ibu tersayang. Lebih manis lagi apabila dia berjaya menerima Anugerah Cemerlang Kelas Pertama dalam bidang Pengajian Pengurusan Pembinaan dari Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur pada Majlis Istiadat Konvokesyen ke-90 di Universiti Teknologi MARA baru-baru ini.
Nana melahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih di atas penghormatan yang diberikan untuknya. Sebagai seorang pelajar yang mengutamakan pengajian dari bidang nyanyian sepanjang tempoh pengajiannya memberitahu penat lelah dan usaha yang diusahakan selama ini berbaloi bukan sahaja untuk dirinya, malah ia lebih kepada menunaikan janji buat ibu tersayang.
“Alhamdulillah. Andainya dengan tawfiq Allah saya memiliki sekelumit kejayaan, maka kredit tersebut haruslah diberikan untuk ibu tersayang. Dia adalah rahsia dan kunci segalanya. Saya tidak pernah khuatir dengan sebarang ujian dan dugaan hidup andainya saya mempunyai doa wanita ini, Saya bersyukur kerana pengorbanan saya meninggalkan bidang seni buat seketika ketika nama saya mula dikenali berbaloi.
Nana menganggap faktor utama kejayaannya itu banyak bergantung kepada restu dan sokongan daripada ibunya yang tidak henti-henti memberi semangat serta berdoa untuknya terus kuat menghadapi segala cabaran dalam bidang pelajaran.
Katanya, tanpa doa, restu dan sokongan ibu, dia mungkin tidak akan berjaya sehingga kini dan berjanji akan terus membahagiakannya sehingga akhir hayat wanita itu.
“Banyak pengajaran saya dapat selepas mendengar nasihat ibu. Memang betul orang kata kalau kita mendapat restu ibu dalam apa jua yang dilakukan, banyak ganjaran yang Allah beri hinggakan saya doa minta satu, tapi saya dapat 10 rezeki.”
Ya, wanita yang menjadi rahsia kejayaan ini ialah insan teristimewa bergelar ibu yang telah berkorban segalanya melalui pelbagai keperitan hidup demi kebahagiaan anak-anaknya. Walaupun pelbagai “luka” dan air mata yang telah beliau titiskan apabila terpaksa berjauhan ketika melanjutkan pelajaran, namun wanita yang dipanggil sebagai “ibu” ini tidak pernah berputus asa mengirimkan doa dan bimbingan.
“Memang pada mulanya agak sayang untuk mengambil keputusan berehat seketika dari bidang nyanyian untuk menumpukan perhatian dalam pelajaran, tetapi saya berpegang pada janji terhadap ibu untuk berjaya dalam bidang akademik. Ibu mana yang tidak mahu melihat anaknya berjaya. Sebagai anak sulung juga, saya perlu buktikan kepada adik-beradik tentang kepentingan akademik. Saya perlu menjadi contoh yang terbaik buat adik-adik,” jelas Nanaa yang percaya doa ibu adalah kuasa doa mustajab untuk dirinya.
“Sepanjang pengajian di kampus utama, saya terpaksa berjauhan dengan keluarga yang menetap di Sarawak. Jadi, saya bulatkan tekad untuk belajar berdikari dan jadikan kata-kata semangat ibu sebagai motivasi untuk berjaya. Walaupun berjauhan, namun ibu sentiasa berkorban untuk anak-anak. Bila ada masa terluang, dia sanggup terbang ke Kuala Lumpur dan berjumpa saya,” ujar anak sulung dari lima bersaudara ini.
Selepas menamatkan pengajian, Nana bakal memberi tumpuan sepenuh masa dalam bidang nyanyian dan tidak menolak jika diberi peluang dan rezeki untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
“ Jika dahulu keluarga hanya membenarkan saya menyanyi sekadar hobi sahaja, tetapi kini mereka sudah memberi lampu hijau untuk saya meneruskan karier dalam bidang nyanyian. Sebagai artis yang baharu , saya perlu bekerja lebih keras untuk menempatkan nama dalam industri hiburan. Nanaa kini bernaung di bawah pengurusan Xeno Asia.
Nana juga bakal melancarkan lagu single terbaru dalam masa terdekat dan akan terus membina kerjaya dalam bidang nyanyian. Ini merupakan minat Nana dan akan meneruskan cita-cita dalam bidang nyanyian pula,” ujar Nana yang memuji keperibadian ibunya sepanjang sesi fotografi dijalankan.
“Lelaki Yang Melayan Isteri Seperti Bidadari Membuktikan He Has Been Raised By A Queen” -SHENTY FELIZIANA
Pertemuan pertama atas dasar kerja akhirnya membibitkan rasa cinta antara pelakon dan hos televisyen popular, Shenty Feliziana dan suaminya, Reuben Elishama Hadju yang merupakan aktor kacak dari seberang.
Pasangan ini sah bernikah pada 13 April tahun lalu bersempena mengambil keberkatan hari Isra Mi’raj. Majlis pernikahan tersebut berlangsung di Singapore Botanic Gardens, Villa Halia dalam suasana penuh tradisi iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia.
Bertuahnya Shenty kerana dikurniakan seorang suami yang bukan saja penyayang bahkan sangat menghormati dan menghargai wanita. Reuben juga seorang yang mementingkan keluarga.
“Saya mengenali Reuben ketika sama-sama menjalani penggambaran mini series Astro berjudul Dosa, sebuah produksi Nusantara. Tanpa sedar, penggambaran yang memakan masa sekitar 58 hari itu telah menjadikan kami kawan rapat. Waktu tu kami cukup selesa berkawan tapi belum sampai tahap bercinta.
Sebaik penggambaran selesai dan pulang ke negara masing-masing, saya menerima satu pesanan WhatsApp daripada Reuben berbunyi “I miss my best friends!” Saya katakan padanya kalau nak berkawan lebih serius mintalah restu ibu bapa saya dulu. Saya sendiri tak berminat untuk bercinta kalau tak ada penghujungnya.
Tak lama lepas tu Reuben terbang ke Singapura untuk berjumpa keluarga saya. Ia benar-benar buat saya terkejut dan terharu. Terbukti Reuben memang ikhlas untuk mengenali saya dengan lebih dekat.
Pertemuan kedua, Reuben datang bersama keluarganya untuk melamar. Bersaksikan kedua-dua keluarga, Reuben melafazkan kata-kata cinta sekaligus menyampaikan niatnya untuk memperisterikan saya.
Inilah momen terindah yang benar-benar menyentuh jiwa saya sekaligus membuka pintu hati ibu bapa saya untuk merestuinya. Kami bertunang pada 25 November 2017 selama lima bulan.”
KEBAIKAN SUAMI
“Reuben seorang yang family-oriented serta sangat rapat dengan ahli keluarganya. Bagi saya, lelaki yang melayan isteri seperti bidadari membuktikan bahawa he has been raised by a queen. Malah, Reuben juga sentiasa bersangka baik bukan hanya terhadap wanita bahkan terhadap orang lain juga tanpa melihat darjat mahupun status.”
Semoga Shenty dan Reuben kekal bahagia sampai je syurga. Shenty kini kelihatan semakin berseri-seri kerana sedang hamil anak pertama yang bakal lahir tak lama lagi. Semoga Shenty dan bayi yang dikandungnya sentiasa dalam keadaan sihat serta selamat. Tahniah buat Shenty dan Reuben!
Kredit Foto: Instagram Shentyfeliziana
Ubati Kerinduan, Jubah Arwah Suami Jadi ‘Peneman’ NORA ARIFFIN Tiap Malam!
24 Mac ini, genap setahun komposer Johan Nawawi kembali ke pangkuan Rahmatullah. Terasa seperti baru semalam kita mendapat perkhabaran itu. Namun bagi insan paling rapat dengan Allahyarham, ia satu tempoh yang panjang dan berliku. Lebih-lebih lagi bagi Nora Ariffin atau nama sebenarnya Wan Noraafiza Ariffin yang mengakui hilang tempat bergantung sejak pemergian suami tercinta.
Berpeluang mendekati penyanyi bersuara lunak ini ketika Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Kumpulan Karangkraf dan Hud Hud Media, Nora yang kini mengambil tugas arwah suami sebagai peneraju syarikat animasi berkenaan tidak mampu menyembunyikan perasaan yang bersarang di ruang kalbu. Malah, ketika diaju pertanyaan tentang kehidupannya waktu ini, tanpa berselindung dia membuka rahsia hati.
“Lepas habis iddah basically saya meneruskan apa yang telah diuruskan arwah sebelum ini. Memang agak sukar bergerak sendiri dan hidup berdikari sebagai ibu tunggal. Hendak membesar dan menyara anak-anak dalam keadaan tidak sedia dan mengejut seperti ini. Tapi saya melihat anak-anak ini sebagai peninggalan dari dia untuk saya teruskan. Dari situ saya bangun kumpul semangat hidup demi anak-anak. Kalau hendak kira perasaan sedih memang ikutkan tak mahu buat kerja semua dah, mahu duduk rumah saja. Dulu kalau bab jaga anak, saya yang uruskan. Arwah pula selesaikan hal berkaitan bisnes dan seumpamanya. Saya tak mahu anggap semua ini sebagai beban sebab ini adalah tanggungjawab.”
Berkali-kali menyatakan dia tidak punya pengalaman mengenai perniagaan dan tidak pernah menghadiri mana-mana urusan mesyuarat syarikat, Nora bagaimana pun bersyukur kerana mendapat tunjuk ajar daripada rakan-rakan seperjuangan Johan. Kompas hidupnya juga berubah 360 darjah sebagai isteri dan juga ibu selain perlu memandu kereta sendiri untuk ke pejabat. Setiap hari adalah hari baru baginya untuk belajar.
“Sampai satu masa saya kena putuskan apa yang terbaik. Sama ada hendak terus merana dan menatap pemergian atau move on. Saya kena fikir positif yang dia pergi ke tempat yang lebih baik dan Allah lebih sayangkan dia. Walau pun kadang-kadang bila hendak kongsi rasa gembira dan sedih, saya tak ada tempat mengadu. Semuanya kena tempuh seorang. Tapi alhamdulillah saya dikelilingi kawan-kawan dan staf yang baik. Kekuatan saya adalah anak-anak.
Masa dalam iddah 4 bulan, saya menangis tiap hari dan malam sampai mata bengkak. Bila jumpa doktor, mata dah kabur. Waktu itu bukan saja tak mahu jumpa orang, nak cakap dengan sesiapa pun tak mahu. Anak-anak ajak keluar rumah, pergi bercuti dan ajak makan semua tak nak. Memang tak selera makan dan memasak pun tak sanggup dan tak boleh. Sampai sekarang saya tak masak sebab masih terkenangkan arwah, sebab kita yang masak dan hidangkan makanan untuk dia selama ini.
24 tahun kami hidup bersama, dia tulang belakang saya. Kalau ada yang tengok saya kongsi perasaan di IG tu bukan maksud hendak minta simpati tapi lebih kepada luahan. Selama ini saya ingat dugaan hidup saya sangat besar tapi rupa-rupanya ada yang lebih teruk lagi dan mereka pun turut kongsi masalah dengan saya. Ada juga yang anggap saya sebagai inspirasi mereka dan dari situ juga saya ambil perkara ini sebagai tanggungjawab untuk menguatkan semangat wanita lain.”
Walau sedang rancak bercerita perkembangan terbaru, sesekali jelas kelihatan air mata yang bertakung menahan sedih. Apabila ditanya apakah momen yang paling dirindukan Nora tentang arwah, pelantun lagu Hanya Satu ini tersenyum kecil. “Banyak. Paling saya rindu adlah ketika masuk bilik hendak tidur. Kami terlalu rapat dan romantik. Sebelum tidur, kami selalu akan beri good night kiss dan morning kiss bila bangun pagi. Kadang-kadang bila ada masalah dan stres, saya tak tahu dengan siapa hendak cakap. Tidur pun saya berselimutkan jubah arwah, sampai hari ini tak basuh.”
Sebelum mengakhiri perbualan, Nora turut menitipkan pesanan buat para isteri agar sentiasa menghargai pengorbanan suami. Tidak kira sebesar mana pun pertelingkahan dengan suami, jangan lupa mengenang jasa mereka kerana bila-bila masa saja kita mungkin kehilangan insan tersayang.