Sebagai seorang ibu sememangnya sebak tengok Rita Rudaini menghantar anak sulungnya mengikuti persekolahan di sekolah berasrama penuh.
Hanya wanita yang bergelar ibu sahaja yang faham apa yang dilalui oleh selebriti anak kelahiran Kangar, Perlis ini. Umum mengetahui Rita Rudaini membesarkan dua orang anak lelakinya sendirian. Mengenangkan ini, lagi sebak tengok Rita Rudaini memeluk anaknya itu.
Ibu tunggal ini sanggup melakukan apa sahaja demi memperjuangkan hak anak-anaknya. Rita Rudaini seorang wanita yang berhati waja dan cekal menempuh dugaan hidup yang tertulis dalam kanvas hidupnya.
Teringat lagi ketika sesi temu bual bersama wanita hebat ini ketika menjadi penghias muka depan NONA tahun 2018 lalu. Wajahnya benar-benar ceria apabila bercerita tentang anak-anaknya.
Sebagai seorang selebriti, usahawan dan ibu, Rita Rudaini bijak menyusun jadual hariannya agar pelajaran anak-anak tidak terabai. Antara perbualan kami ketika itu, “Seperti biasa saya sibuk dengan persekolahan anak-anak.
Kini saya lebih selektif dalam memilih naskhah dan watak lakonan kerana anak-anak. Mereka sedang membesar dan memerlukan pantauan daripada ibu mereka. Berlakon pun sekarang kena tengok masa saya dengan jadual anak-anak.
Saya tidak lagi boleh tinggal mereka selalu kerana mereka makin membesar dan perlukan saya untuk kerja-kerja sekolah dan aktiviti sekolah yang lain. Jadi saya hadkan masa saya,” terang Rita Rudaini panjang lebar.
Bukan sahaja Rita Rudaini malah setiap ibu di luar sana mahu yang terbaik untuk anak-anak mereka. Tidak ada seorang pun sanggup spoil anak mereka. Pengaruh media sosial yang berleluasa telah menggugat tugas ibu sebagai pendidik terhadap anak-anak mereka.
Rita Rudaini juga salah seorang ibu yang gerun dengan pengaruh media sosial terhadap anak-anak yang masih kecil dan memerlukan panduan serta tunjuk ajar.
“Ancaman media sosial terhadap anak-anak yang masih kecil memang saya pandang serius. Sebab itu saya tidak dedahkan anak-anak untuk menguruskan sendiri akuan Instagram mereka.
Akaun Instagram mereka pun wujud atas permintaan kawan-kawan tetapi saya tetapkan syarat untuk menjadi admin mereka.
Secara jujurnya anak-anak pun sebenarnya tidak berminat ke arah tu. Penggunaan gajet seperti telefon bimbit memang saya tidak benarkan kecuali apabila cuti persekolahan sahaja.
Quality time dengan keluarga lebih penting dan itu yang saya terapkan pada anak-anak. Saya dan anak-anak sebenarnya suka menghabiskan masa di rumah sahaja.
Mungkin anak-anak mengikut perangai saya yang suka memerap di rumah sahaja berbanding bersantai di luar. Kami jenis suka duduk rumah dan menonton filem bersama-sama. Kadang-kadang jika ada masa terluang kami akan keluar menonton di panggung wayang.
Saya lebih suka mengikut kesukaan anak-anak. Saya tidak pernah mengatur itu ini dan memaksa mereka buat ikut kemahuan dan kesukaan saya” tutur Rita Rudaini yang pernah menyertai pertandingan Dewi Remaja 98/99, dan berjaya menjadi finalis.
Nyata berbaloi pengorbanan Rita Rudaini membesarkan anak-anaknya. Kini, tinggal Rita Rudaini bersama anak bongsunya sahaja di rumah apabila abangnya tinggal di asrama. Semoga anak-anak Rita Rudaini menjadi anak soleh dan bakal meneman hari tua ibu mereka kelak.
Baca juga; Ikon Kulinari Malaysia, Datuk Chef Wan Saji Resipi Istimewa Penumpang Qatar Airways
This website uses cookies.