Keputusan meninggalkan kerjaya sebagai Akauntan kira-kira 10 tahun lalu merupakan satu tindakan berani yang dilakukan Azlin Mohd Said. Meskipun pada awalnya ibu kepada dua cahaya mata ini ‘berat’ melepaskan karier impian tersebut namun bersandarkan keyakinan yang tinggi terhadap rezeki Allah SWT yang luas, beliau nekad berhenti kerja demi membina legasi dalam bidang perancangan kewangan dinamakan AMS Empire.
Azlin atau mesra disapa Coach Azlin yang berasal dari Bota Kanan, Perak ialah anak kepada bekas pendidik. Kedua-dua ibu bapanya pernah berkhidmat sebagai guru. Begitu juga dua daripada enam adik-beradiknya yang turut mengikut jejak langkah ibu bapa mereka sebagai pendidik. Sementara dua beradik lain dalam bidang kewangan dan seorang lagi Penolong Pegawai Belia dan Sukan Negeri Perak.
PEMBABITAN AZLIN MOHD SAID
“Selepas tamat pengajian Ijazah Perakaunan di Universiti Malaya (UM), saya timba pengalaman kerja di firma audit dan syarikat pembinaan. Pekerjaan terakhir saya ialah Akauntan di salah sebuah badan berkanun di Malaysia selama 10 tahun.
Latar belakang keluarga saya tak ada seorang pun yang buat bisnes dan saya tak pernah ada cita-cita untuk jadi usahawan. Tapi bila fikirkan kesihatan mental saya dan ada keluarga serta anak-anak yang perlu saya jaga, saya terpaksa lepaskan kerjaya Akauntan yang berdepan dengan banyak cabaran.
Untuk melangkah keluar daripada pekerjaan yang stabil memang kena ada kewangan yang kukuh. Saya tak terus berhenti kerja sebaliknya ambil cuti separuh gaji untuk menjaga ibu dan membawanya mendapatkan rawatan susulan setiap bulan waktu itu.
Sehinggalah pada satu hari, konsultan yang bantu pelaburan saya ajak berjumpa dan beri cadangan supaya saya ambil lesen Perunding Unit Amanah. Mulanya ia sekadar untuk memudahkan saya urus pelaburan sendiri. Tapi bila lulus exam dan lihat bagaimana mereka mengalu-alukan penyertaan saya, rasa seperti dunia baru.
Kata-kata penghargaan dari mereka mungkin nampak kecil di mata orang lain tapi besar maknanya bagi saya. Benda yang saya tak pernah dapat daripada pekerjaan dulu. Mulai saat itu, saya tak menoleh ke belakang dan tekad mendalami ilmu perancangan kewangan di samping berkongsi ilmu dengan orang lain,” ujar Pengasas AMS Empire ini yang melibatkan diri secara serius dalam bidang kewangan sejak Ogos 2014.
AMS EMPIRE
Awal penubuhan AMS Empire kurang daripada 10 orang ahli Perunding Unit Amanah dan sekarang berkembang kepada 38 Perunding Unit Amanah bertauliah dengan nilai pengurusan pelaburan mencecah sehingga sembilan angka. Mengulas lanjut mengenai perniagaan ini, Coach Azlin Mohd Said menjelaskan misi penubuhan AMS Empire.
Ads
“Singkatan AMS ini bermula sejak dari sekolah lagi sebab ada dua orang nama Azlin. Jadi kawan-kawan panggil saya AMS iaitu Azlin Mohd Said. Walau baru saja masuk dalam bisnes, saya dah ada misi untuk bina empayar dan terus letak nama AMS Empire.
Salah seorang kawan yang juga klien pernah persoalkan sejauh mana besarnya bisnes saya ini sampai mahu digelar ‘Empire’. Kata-kata itu jadi cabaran buat saya!
Nama AMS Empire itu diterjemah kepada maksud A iaitu ‘Achievers’, M bermakna ‘Millionaire’ dan S sebagai ‘Success’ yang melambangkan Perunding Unit Amanah AMS Empire yang komited dan kompeten,” dedah Coach Azlin yang turut memiliki lesen Islamic Financial Planner.
Berbekalkan usaha gigih dan iltizam untuk membawa AMS Empire ke tahap global, usahawan berusia 49 tahun ini sentiasa mempersiapkan diri menghadapi cabaran ekonomi semasa dengan mempelajari ilmu dan selok-belok dunia perancangan kewangan.
Tambahnya, selaku pemilik perniagaan beliau perlu kreatif dan menunjukkan prestasi terbaik berbanding pesaing industri kewangan yang lain supaya dapat meningkatkan kredibiliti dan kepercayaan klien menggunakan perkhidmatan konsultan AMS Empire.
“Saya upgrade diri saya dengan mengambil certificate sebagai Professional Coach daripada Badan Nasional Sertifikasi Profesi (BNSP) dari Indonesia. Pentauliahan ini merupakan satu level untuk saya bukan saja mengembangkan profesion sebagai perunding kewangan di Malaysia. Malah di luar negara.
Ads
Saya juga aktif menghadiri sesi bimbingan daripada coach-coach di Jakarta secara online kerana mahu AMS Empire ada jaringan komunikasi dan sosial lebih meluas yang tidak hanya tertumpu di Malaysia saja.”
PELABURAN SEMBILAN ANGKA
Menjadikan ‘Millionaire Coach’ Dr Niki Shuhada Shukor yang juga salah seorang Mentor beliau sebagai sumber inspirasi usahawan berjaya, penulis buku Jom B.O.S (Bijak Organise Savings) ini mampu tersenyum bangga apabila berjaya memimpin 38 orang Perunding AMS Empire meraih jumlah pelaburan lebih RM100,000,000 dalam tempoh sedekad.
“Cabaran menguruskan klien, team dan staf bukanlah satu perkara mudah. Ada masa kami di atas, ada masa pula di bawah. Saya ialah seorang ketua yang akan selalu tracking figures dan membimbing Perunding AMS Empire supaya jelas dan fokus tujuan mereka mengambil lesen. You don’t know your numbers; you don’t know your business.
Misalnya dua tahun lepas, saya tracking jumlah pelaburan klien yang kami uruskan adalah sebanyak RM80 juta. Setiap bulan kami akan pantau dan bulan Jun lalu sewaktu saya mengerjakan haji dan berdoa di Arafah, saya terima mesej daripada pengurus menyatakan jumlah pelaburan AMS Empire tahun ini melebihi RM100 juta,” ungkapnya sambil mengukir senyuman.
Bagaimana pun Coach Azlin tidak menafikan hakikat bahawa beliau turut diuji dengan dugaan yang menggugat keyakinan diri dan mahu mengalah. Terutama sekali apabila berdepan dengan individu yang cuba menjatuhkan reputasi dan empayar yang dibina. Namun memikirkan tanggungjawab yang digalas selaku ketua, beliau bangkit berjuang.
Ads
“Bagi saya bila dah stable macam ini, saya boleh saja stop dan tak perlu kerja keras lagi. Tapi bila fikir tanggungjawab kepada team dan klien, saya tak boleh pentingkan diri. Sepanjang 10 tahun dapat urus pelaburan RM100 juta membuatkan saya emosi kerana bukan mudah untuk sampai ke tahap ini. Ia juga menjadi pencapaian terbesar saya.”
IMPIAN AZLIN MOHD SAID
Bercerita mengenai masa depan legasi perniagaan ini, ada impian besar yang sedang dirancang Coach Azlin.
“Melalui bisnes ini saya harap dapat beri pendedahan tentang pengurusan kewangan kepada lebih ramai masyarakat. Kami sebagai subject matter expert sangat berbesar hati berkongsi ilmu dan pengalaman. Misi saya secara sukarela memberi taklimat dan seminar kepada universiti sebab kebanyakan pelajar kurang pendedahan dan pengetahuan mengurus kewangan.
Saya juga ambil inisiatif mendekati para siswazah untuk menerangkan mengenai ilmu kewangan dengan menghubungi Dekan di universiti-universiti kerana ia adalah salah satu tanggungjawab sosial korporat AMS Empire.
Kalau tidak, generasi muda akan lalui masalah kewangan yang sangat mencabar kelak. Begitu juga kaum wanita khususnya golongan suri rumah. Mereka perlu tahu ilmu menguruskan wang. Lebih-lebih lagi apabila hilang tempat bergantung atau kehilangan suami.”
Jelasnya lagi, beliau mahu menjadikan empayar miliknya sebagai platform menyampaikan ilmu dan tidak berpaksikan kepada keuntungan semata-mata.
“Menyebarkan ilmu perancangan kewangan ini satu fardhu kifayah. Cuma bidang ini tak popular macam bidang lain. InshaAllah, dalam masa lima tahun akan datang, AMS Empire mampu melahirkan future leader yang boleh bawa legasi ini dan menguruskan pelaburan nilai amanah sehingga RM200 juta,” telus Coach Azlin yang menerima anugerah ‘Women in Business-Financial’ daripada Business Professional Woman (BPW) Malaysia.
Sebelum mengakhiri perbualan, Coach Azlin menzahirkan rasa syukur atas doa dan sokongan daripada ibu iaitu Hajah Paizah Haji Anuar, suami beliau Anuar Hasbul’lah Aboo Hashim serta dua anak tersayang, Aiman Hazim dan Adeeb Hafiz sepanjang melalui perjalanan sebagai seorang wanita, pemimpin dan ‘Financial Coach’.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tun Dr Mahathir Mohamad seorang negarawan yang disegani ramai bukan sahaja di Malaysia bahkan di serata dunia. Ketajaman fikiran dan kebijaksanaan figura ini mentadbir negara meraih perhatian pemimpin dunia. Tidak hairanlah Tun Mahathir diberi kepercayaan mentadbir Malaysia sebanyak dua kali iaitu sebagai Perdana Menteri keempat dan ketujuh.
10 Julai 2025 genap 100 tahun usia pemimpin tersohor ini. Pada usia mencecah seabad, beliau masih mampu bergerak aktif, memandu kereta dan cerdas minda. Di sebalik ketegasan Tun Mahathir sebagai pemimpin, beliau juga sebenarnya seorang suami penyayang terhadap Tun Dr Hasmah Mohd Ali dan sosok bapa yang baik.
Sisi Romantik Tun Mahathir
Siapa sangka, pemimpin kelahiran Kedah ini rupa-rupanya memiliki peribadi yang romantik. Ini dibuktikan oleh anak lelaki Tun Mahathir iaitu Dato’ Seri Mukriz yang mendedahkan kisah cinta ibu bapanya di media sosial pada tahun 2021 ketika perkahwinan pasangan berkenaan mencecah usia 65 tahun.
Kongsinya, “72 tahun yang lalu, pertama kali ‘Uda’ melafazkan cintanya kepada ‘Dara’ ILOVEYOU – dieja ketika bermain Scrabble dengan Dara yang telah menawan hatinya. Tetapi bila hendak pulang malam itu, Uda terpaksa pinjam RM5 daripada Dara. 7 tahun kemudian, mereka bergelar suami isteri. Cinta mereka terus mekar di usia 90.”
Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Hasmah sah bergelar suami isteri pada 5 Ogos 1956. Hasil perkongsian hidup selama lebih enam dekad, mereka dikurniakan tujuh orang anak iaitu Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani, Mukhriz, Maizura dan Mazhar.
Cara Tun Mahathir mengungkap rasa cinta bukan secara terang-terangan. Meskipun kedua-duanya sudah berusia namun cinta mereka masih hangat hingga ke hari ini. Tetap bergurau senda, keluar berdua dan berpimpin tangan.
Memetik kenyataan suami isteri ini di laman YouTube rasmi Dr Mahathir, bibit percintaan mereka bermula semasa menuntut di kolej perubatan pada tahun 1947. Waktu itu, beliau berjaya memikat Tun Hasmah dengan kebijaksanaannya dalam pelajaran.
“Pada masa itu, hanya ada tujuh orang sahaja budak Melayu. Di antara itu ada seorang sahaja wanita. Semua berebut-rebut nak angkat buku, bila nak pergi lecture (kuliah) nak bawa buku, masing-masing berebut nak bawakan buku pasal nak berkawanlah. Saya pun berebut jugalah.”
Menjengah media sosial Chedet, pemimpin terulung ini berkesempatan memuat naik gambar mesranya di samping isteri. Sama ada ketika menghadiri majlis rasmi di dalam mahupun luar negara, Tun M tetap setia menggenggam erat jemari Tun Siti Hasmah di khalayak ramai.
Sempena ulang tahun kelahiran ke-100 Tun Mahathir, Nona mendoakan agar Tun sentiasa berada dalam rahmat dan lindungan Allah SWT serta rumah tangga yang bahagia bersama Tun Dr Hasmah hingga ke syurga.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Siapa yang tidak kenal dengan pelakon cantik dan berkulit mulus, Emma Maembong. Selain dikurniakan rupa paras menawan, pemilik nama Fatimah Rohani Ismail ini juga berbakat besar dalam dunia lakonan. Terbaharu, lakonan mantap Emma dalam drama popular ‘Cemburu Seorang Perempuan’ mengundang pelbagai reaksi daripada penonton. Dek kerana kejayaan Emma menjiwai wataknya dengan baik, nama Emma kini semakin meniti di bibir peminat dan meraih pujian ramai.
“Selama tujuh tahun saya berada dalam industri seni, ia merupakan watak antagonis pertama yang saya lakonkan. Alhamdulillah, lakonan saya dalam drama tersebut menerima maklum balas yang sangat positif. Sejujurnya saya pun tak sangka, watak itu memberi impak hebat kepada mereka yang menonton.
Pada mulanya saya tak bersetuju untuk melakonkan watak tersebut kerana bimbang tak mampu melakukannya dengan baik. Tapi selepas berbincang dengan pihak produksi, akhirnya saya sahut cabaran dan menguji kebolehan diri untuk menjayakan watak dan drama ini. Sebagai seorang pelakon, saya cuba untuk memberikan yang terbaik.”
Emma yang dimasukkan ke hospital akibat demam panas pada penghujung tahun lalu mengakui mudah jatuh sakit terutamanya apabila tidak mendapat rehat secukupnya. Kongsi anak kesembilan daripada 11 adik-beradik ini lagi, “Kemungkinan saya jatuh sakit dan ditahan di hospital kerana terlalu penat dan tidak cukup rehat.
Doktor beritahu ia disebabkan jangkitan kuman yang berpunca daripada makanan, persekitaran dan sebagainya. Walau apa pun, saya bersyukur kerana ahli keluarga sentiasa di sisi lebih-lebih lagi ketika saya sakit.”
Begitulah sukarnya bergelar anak seni. Meskipun sibuk merencana jadual seni namun Emma bijak membahagikan masa di antara kerjaya dan peribadi. Jika ada waktu terluang, dia lebih selesa duduk di rumah dan melakukan kerja-kerja di rumah termasuk urusan mencuci baju.
Disebabkan kerap berada di set penggambaran dalam tempoh yang lama, Emma sangat menitikberatkan soal pakaian supaya baju yang dipakai kekal selesa dan segar.
Lagipun dengan status sebagai seorang selebriti dan berdepan dengan khalayak, penampilan Emma perlu kemas dan cantik dari hujung rambut ke hujung kaki. Jadi, untuk memastikan persalinan sentiasa bersih dan berbau wangi, aktres popular yang mengenali produk terbaharu TOP Plush Kondisioner Fabrik Ultra Konsentrasi mengakui tertarik dengan keharuman produk teknologi cucian termaju dari Jepun ini kerana bukan sahaja membuatkan pakaian kekal harum sepanjang hari. Malah turut mempengaruhi emosinya menjadi lebih tenang.
“Untuk tahun 2020 saya akan sibuk dengan penggambaran drama, majlis pelancaran dan sesi fotografi seperti biasa. Terbaru, saya akan keluar dengan drama ‘Sempurnakan Cinta Mummy’ yang akan ditayangkan di Astro tidak lama lagi. Bila dah masuk tahun baharu ni, kalau hendak sentiasa bau wangi bukan pakai perfume saja. Baju pun kena sentiasa wangi.
Lebih-lebih lagi bagi pelakon macam saya yang berjam-jam ada di set penggambaran dan berpeluh, bab pakaian memang kena ambil tahu. Barulah hendak bekerja pun mudah dan tenang.”
Terdapat lima haruman TOP Plush menarik iaitu Spring Blush, Morning Breeze, Scarlet Passion, Glamourous Magnolia dan Soothing Care. Akui Emma, dia merasakan aura tenang dan selesa sebaik menghidu TOP Plush. Malah, membuatkan dia jatuh cinta dengan keharuman produk ternama ini.
Mana tidaknya, teknologi Scent Micropods meresap haruman segar ke dalam fabrik menerusi kapsul haruman yang diaktifkan apabila disentuh. Haruman ini mampu bertahan sehingga 100 hari antara cucian.
Lebih istimewa, TOP Plush mempunyai manfaat tambahan seperti 99.9 peratus anti-bakteria, mengawal bau busuk, mengurangkan kedutan fabrik agar mudah diseterika, mengurangkan lekapan statik, mengekalkan bentuk fabrik serta berasaskan tumbuhan mesra alam sekitar. Ia juga menjadikan fabrik yang dicuci lebih lembut serta bertekstur mewah dengan haruman menyenangkan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Melihat penampilan dan raut wajah Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah pasti ramai tidak menyangka personaliti ini sudah pun mencecah usia 77 tahun. Mana tidaknya, meniti usia lewat 70an isteri Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang ini tampil anggun dan sihat bertenaga!
Kecantikan semula jadi yang dimiliki Toh Puan Datuk Seri Utama Raja Noora Ashikin Raja Abdullah mengundang rasa kagum dalam kalangan wanita. Pastinya ibu kepada Toh Muda Datuk Rizal Ashram Ramli ini mementingkan penampilan dan kesihatan diri.
Keanggunan Toh Puan Raja Noora
Walau sudah bergelar nenek kepada tujuh cucu namun beliau kekal anggun dalam kelas tersendiri dan mesra rakyat.
Menelusuri latar belakang isteri Tun Ramli Ngah Talib ini, Toh Puan Raja Noora dilahirkan pada 4 Februari 1948. Beliau dibesarkan di Ipoh, Perak dan mendirikan rumah tangga dengan suami tercinta pada 1 Disember 1973.
Hasil perkongsian hidup, pasangan romantis ini dikurniakan empat cahaya mata yang juga sepasang kembar perempuan iaitu Rizal Ashram, Ramelle Ashram, Putri Azalea Ashram dan Putri Yasmin Ashram.
Tidak hanya pernah bergelar isteri bekas Menteri Besar Perak, Toh Puan Raja Noora merupakan seorang pegawai bank lulusan Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya.
Wanita Terpelajar, Toh Puan Raja Noora
Figura berpendidikan tinggi ini memiliki kelulusan Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya (UM).
Beliau pernah bertugas sebagai pegawai bank dan penasihat pelaburan di Chartered Merchant Bankers sebelum menubuhkan firma sekuriti tetapi meninggalkannya demi beri perhatian sebagai isteri Menteri Besar Perak ketika itu.
Tun Ramli mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang pada 1 Mei lepas. Bersempena ulang tahun ke-84 Tun Ramli Ngah Talib pada 29 Julai, Toh Puan Raja Noora menerima Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) yang juga anugerah tertinggi pulau Pinang membawa gelaran Datuk Seri Utama.
Semoga rumah tangga Tun Ramli dan Toh Puan Raja Noora sentiasa dalam lindungan Allah SWT serta kekal bahagia hingga ke syurga.
Miliki kulit sihat dan bermaya macam Toh Puan Raja Noora dengan amalkan supplemen kolagen ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.