Nampak ringkas dan kecil tapi besar kesannya. Lagi-lagi bila orang yang melihat posting mereka mengamalkan apa yang dikongsikan. MasyaAllah, semudah itu saja kita dah boleh ‘kutip’ pahala. Ada macam-macam cara sebenarnya untuk berbuat kebaikan. Walaupun tanpa pergi menyampaikan dakwah secara terang-terangan, medium media sosial yang kebanyakan kita ada hari ini pun boleh dijadikan platform dakwah kita sendiri. Apa-apa pun, terpulang kepada niat sama ada mahu atau tidak!
Irma Hasmie misalnya salah seorang figura muslimah yang menjadi ikutan ramai. Menyedari aura yang ada pada dirinya, ibu kepada dua anak ini sering dilihat berkongsi bermacam-macam ilmu di media sosial. Daripada perkembangan anak-anak, kerjaya, perniagaan, aktiviti kesukarelawan yang disertainya… sehinggalah ilmu yang berunsurkan islamik menghiasi ‘diari’ alam maya Irma.
Hari ini, pengacara dan usahawan ini berkongsi tentang nasihat Luqman Al-Hakim. “Sayyidul Ayyam adalah pembuka rahmat dan kebaikan bagi seluruh umat Islam. Antara kebaikan yang boleh dikongsi adalah nasihat Luqmanul Al-Hakim kepada anaknya.”
- MengEsakan Allah
- Menjaga sekecil-kecil perlakuan
- Solat & sabar
- Tidak membangga diri
- Elakkan berdusta
“Jom kita sebarkan ZARAH kebaikan ini. Mudah-mudahan ada SAHAM AKHIRAT buat kita nanti,” ajak Irma.
Tidak terkecuali berkongsi perkara yang baik di laman sosial ialah bekas personaliti TV, Azrinaz Mazhar Hakim. Kalau intai Instagram Azrinaz, setiap hari Jumaat beliau akan berkongsi quote berkaitan Islam yang menarik buat tatapan dan rujukan bersama. Hari ini, Azrinaz mengingatkan pengguna Instagram tentang Rukun Islam dan Rukun Iman. Walau nampak kecil, tapi tak dinafikan ada di kalangan kita yang keliru dengan perkara tersebut.
Dalam kapsyen ringkas, Azrinaz menjelaskan “Just to refresh. I do get confused and mixed up too.”
Tak salah pun saling ingat-mengingati sesama saudara Islam. Dari sekecil-kecil perkara macam inilah memberi sebesar makna buat sesetengah orang.
Bagi Abby Abadi pula … ini yang dikongsikan beliau hari ini.
Manfaatkan Masa-Masa Aman
Dari Ma’qil bin Yasar r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda: Beribadat di masa-masa sulit sama dengan hijrah kepadaku. (Riwayat: Muslim)
Jika direnung sebaik-baiknya, peluang untuk melaksanakan ibadah adalah amat luas untuk kita selaku umat Islam yang menetap di bumi Malaysia yang aman dan merdeka ini. Namun demikian, terdapat juga mereka yang tidak mensyukurinya, sama ada kerana mereka tidak menyedarinya ataupun mereka memang tidak mahu mengambil peluang.
Ada yang tidak mengerjakan ibadah solat tanpa sebab yang dibenarkan oleh syarak, sedangkan masjid-masjid begitu banyak dan tersergam indah. Ada juga yang sengaja tidak berpuasa, tidak membayar zakat dan sebagainya.
Walhal kemerdekaan, keamanan, kemakmuran dan kemajuan yang dikurniakan Allah cukup banyak. Kita dilahirkan di tempat yang dilimpahkan dengan hasil bumi yang pelbagai, jauh daripada kebuluran, jauh daripada ketakutan akibat peperangan dan sebagainya.
Kita aman untuk beribadah. Aman daripada diganggu. Bahkan dengan kesempatan ini sebanyak mungkin kita boleh melakukan amal kebajikan untuk menaikkan kesucian Islam. Bukankan Allah telah menjanjikan bahawa dengan hal-hal yang demikianlah keberkatan dan rahmat-Nya akan berlanjutan. Mudah-mudahan kita tidak lupa untuk bersyukur kepada Allah S.W.T di atas nikmat kemerdekaan yang telah lama kita nikmati ini. Mudah-mudahan ia akan terus berkekalan buat selama-lamanya.
Semoga dengan usaha para selebriti ini menyebar luaskan dakwah Islam menerusi alam maya seperti ini mampu menggerakkan lebih ramai pengguna laman sosial lain untuk membuat perkara sama. Moga kita semua terus dalam lindunganNya.
Kredit: Instagram Irma Hasmie, Azrinaz Mazhar Hakim & Abby Abadi