Penyanyi bertaraf antarabangsa, pemuzik, komposer dan penulis lirik, Yunalis Dato’ Mat Zara’ai ataupun Yuna bukan suatu nama yang asing bagi pengiat dan peminat dunia seni. Wanita yang berusia 34 tahun ini yang berjaya melebarkan sayap sehingga ke Amerika Syarikat ini dilihat sebagai seorang personaliti yang pandai menjaga adab sopan dan juga adat sebagai orang timur dalam berfesyen.
Isteri kepada pengarah video, Adam Yousof Mohamed Sinclair ini, telah melakar sejarah peribadi apabila muncul sebagai wanita berhijab pertama dari Asia Tenggara dipilih untuk turut serta dalam kempen global fashion house terkemuka, Coach.
Kempen yang bertajuk Holiday Is Where You Find It itu memaparkan tema kepercayaan positif, mencari kebahagiaan dan keselesaan dalam kebersamaan serta tradisi. Lebih membanggakan lagi apabila Yuna sebaris dengan artis terkenal antarabangsa seperti Jennifer Lopez dan Michael B. Jordon terlibat dalam kempen tersebut.
Sebagai seorang penyanyi Muslim yang berpegang teguh kepada kesopanan dalam berpakaian. Yuna dilihat sebagai seorang penyanyi yang memiliki identiti sendiri. Gayanya memberikan suntikan ‘diversity’ atau kepelbagaian yang mewarnai industri muzik antarabangsa.
Yuna turut berkongsi di laman media sosial milik peribadinya mengenai perjalanan kerjayanya sehingga berada di tahap sekarang. “Saya tidak melakukannya untuk menjadi terkenal, saya tidak melakukannya untuk menjual produk.
Saya lakukannya kerana saya percaya ia adalah jalan saya dan saya tetap berada di laluan itu walaupun menerima banyak kritikan, saya tahu saya harus berani,” coret Yuna yang berasal dari Alor Setar, Kedah ini dan mula berhijab pada usia 19 tahun.
Tambahnya lagi, “Saya mahu nyanyikan lagu-lagu yang saya tulis, pakai pakaian yang saya selesa, walaupun ketika dunia tidak bersedia untuk melihat wanita berhijab di mana-mana platform fesyen,” tulis graduan lulusan undang-undang yang pernah berkolaborasi bersama penyanyi terkenal seperti Usher, Pharell Williams dan Jhene Aiko.
Secantik Ibu Mertuanya, Datin Maria Arshad. SHIERA AL-KHAIRED Kini Anggun Bertudung
Karakternya yang sentiasa mencuit hati dengan lawak yang bersahaja, Shiera Al-Khaired kini semakin anggun dan manis sejak bertudung. Bertitik tolak daripada ikhtibar musibah COVID-19 yang sedang melanda seluruh dunia ketika ini, Shiera yang merupakan isteri kepada Ijoy Azhari dan ibu anak lima ini membulatkan tekad untuk terus bertudung.
MAKIN SELESA & TENANG
“Sejak awal PKP lagi saya sudah berniat untuk bertudung kerana terkesan dengan apa yang berlaku sekarang. Banyaknya ujian yang Allah SWT berikan kepada kita. Sebelum ini saya pakai tudung pun kadang ‘on-off’, tak sempurna. Mungkin kerana pengaruh serta cabaran dalam industri hiburan ini sangat hebat.
Bila dan bagaimana hidayah itu sampai saya sendiri tiada jawapan pasti kerana segalanya berlaku secara natural. Alhamdulillah kini saya semakin selesa dan tenang dengan penampilan baru ini. Saya bulatkan hati untuk terus istiqomah. Sudah tiba masanya untuk saya berubah menjadi hambaNya yang lebih baik walaupun masih belum sempurna. Apa pun saya masih belajar dan akan terus belajar.
Keluarga, suami serta ibu mertua pun tidak terlalu terkejut dan tidak berkata apa-apa tentang perubahan saya ini. Mungkin sebelum ini mereka sudah biasa melihat saya mengenakan tudung untuk ke mana-mana majlis contohnya majlis agama atau ceramah. Apa pun mereka sangat gembira, supportive dan positif dengan perubahan saya ini.
PENAMPILAN & GAYA TUDUNG
Sekarang ini saya lebih selesa memilih pakaian yang longgar-longgar dan yang memudahkan saya untuk bergerak. Saya ini agak agresif sikit jadi kalau keluar bekerja tu lebih selesa menyuai padankan apa jua jenis baju dengan seluar.
Untuk gaya tudung saya tidak belajar daripada sesiapa pun. Saya belajar sendiri mengikut keselesaan. Bukanlah hendak nampak cantik sangat, asalkan kemas sahaja. Nak nampak cantik bertudung tu saya masih tak pandai lagi.
Selalunya saya akan pilih gaya tudung yang ringkas, cepat dan mudah disarung contohnya selendang yang boleh diselempangkan terus ke belakang. Kalau tudung bawal tu saya masih kurang yakin dan tak pandai lagi namun akan cuba untuk belajar memakainya dengan kemas.
Apa pun gaya yang penting saya tetap menjaga imej bertudung dengan sentiasa memastikan berpakaian longgar dan berlengan panjang. Hal ini saya masih dalam proses belajar secara perlahan-lahan.
CABARAN
Dari segi cabaran pula, hendak kata yang berat-berat tu belum pernah alami lagi namun perasaan kekok tu masih ada. Kadang-kadang takut juga bila keluar saya terlupa untuk pakai tudung betul-betul. Maklumlah saya ini kalau buat sesuatu perkara semuanya hendak cepat dan sedikit terburu-buru. Rasanya ini antara dugaan saya setakat ini.
Kalau ada yang hendak memuji atau mengecam gaya bertudung, saya tak pernah ambil kisah. Saya juga masih berkawan dengan sesiapa sahaja, masih rapat dengan kawan-kawan lama. Ramai yang memberi kata-kata semangat dan sokongan, dan ada juga yang mengadiahkan saya tudung. Alhamdulillah..” Ungkap Shiera yang kagum dengan Mizz Nina dan Noor Kumalasari yang dianggap sangat istiqomah dalam penghijrahan mereka.
HIKMAH PKP
Selain memberi ‘penghijrahan’ baru dalam hidup Shiera, tempoh PKP turut menjadikan hubungan kekeluargaannya kian erat.
“Saya merasa sangat seronok kerana sekarang semuanya ada di rumah. Kalau tidak sebelum ini masing-masing sibuk. Hikmah Ramadan tahun ini sungguh indah kerana selain dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan, kami turut berpeluang untuk solat berjemaah dan berterawih bersama-sama.
Suami menjadi imam, anak-anak dapat solat sekali semua. Banyaklah yang kita boleh belajar. Saya juga lihat sekarang ini terdapat banyak program-program Live berbicara tentang topik-topik agama. Bagi saya itu perkara yang sangat baik dan bermanfaat.
Orang kata dalam tempoh PKP kita ada banyak masa. Itu tidak dinafikan. Namun kadang-kadang saya rasa seolah-olah masa itu lagi tidak cukup sebenarnya kerana macam-macam perkara yang boleh kita buat di rumah. Saya sendiri walaupun kerja dari rumah tetapi tetap juga kena keluar kalau ada tugasan. Kadang-kadang terpaksa berbuka puasa di luar.
Alhamdulillah ibu mertua saya masih sudi untuk membantu menjaga anak-anak termasuk menyediakan hidangan berbuka untuk anak-anak dan suami kalau saya ada kerja di luar. Saya sangat menghargai jasa ibu mertua yang tidak pernah berkira dari segi masa dan tenaga. Terima kasih Mama.”
ANGGAP IBU MERTUA SEPERTI IBU SENDIRI
Seperti kita tahu hubungan Shiera dan ibu mertuanya, Datin Maria Arshad umpama isi dengan kuku. Beruntungnya Shiera kerana disayangi dan sangat serasi dengan mertuanya yang dipanggil Mama.
“Ibu mertua saya seorang yang mengutamakan keluarga. Kalau buat apa-apa pun semuanya untuk keluarga. Selalunya Mama akan lebihkan anak-anak dan cucu. Mama memang sangat rapat dengan cucu-cucunya dan mereka selalu bersama. Secara tak langsung saya dan suami turut menerapkan cara tersebut dalam mendidik anak-anak.
Kami menggalakkan anak-anak untuk berjumpa dengan nenek mereka sekerap yang mungkin. Kena selalu rapatkan hubungan mereka antaranya melalui video call mahupun group WhatsApp. Ibu saya sendiri pun sering berpesan, jangan lupakan ibu mertua. Jadi saya memang utamakan ibu mertua, melayannya sama seperti ibu sendiri.
Antara air tangan Mama kegemaran kami sekeluarga ialah ayam masak merah. Memang sedap! Rasa rugi jugalah sebab banyak ilmu memasak yang saya tak belajar dengannya. Orang kata salah satu cara untuk tackle hati ibu mertua ialah melalui masakan. Tapi cara saya lain iaitu dengan mengambil berat dan menghubunginya selalu. Semoga hubungan kami sekeluarga kekal akrab selamanya.”
Selain itu, Shiera bukan saja mengkagumi cara didikan ibu mertuanya terhadap anak-anak malah dia juga bersyukur kerana dikurniakan ibu mertua yang masih sihat, bertenaga, cantik dan langsing.
“Mama seorang yang sangat disiplin dengan amalan petuanya dan dilakukan bersungguh-sungguh tanpa putus asa. Saya pula sebaliknya, tak dapat nak ikut sangat petua-petua yang diamalkan sebab terlalu sibuk. Kalau buat pun hangat-hangat tahi ayam saja. Setiap orang ada cara masing-masing.
Kalau berbual tu memang kami tak pernah cakap topik kecantikan. Selalunya lebih kepada hal-hal anak cucu, ‘membawang’ pun ada lah sekali sekala.. Walaupun Mama tak pernah kongsi apa petua yang diamalkan tapi saya dapat lihat melalui perbuatannya.
Rawatan-rawatan moden macam suntik sana sini Mama memang tak pernah buat dan tak pernah berminat pun. Baginya biar cantik semula jadi, jangan halang proses penuaan yang sememangnya pasti terjadi. Yang penting kena pandai jaga untuk maintain. Saya bersyukur kerana dikurniakan ibu mertua yang masih sihat, bertenaga dan cantik sampai sekarang walaupun usianya dah mencecah 60an.
Terus terang, saya memang tak jaga badan sangat. Dulu kalau tak jaga pun berat masih lagi maintain, mungkin terlalu aktif dan sibuk dengan kerja. Sekarang saya perlu makan untuk kekalkan tenaga dan menjadi lebih cergas.
Saya amalkan produk-produk kesihatan dari farmasi. Tapi tak ambil banyak pun sebab saya jenis yang bukan minum air banyak. Jadi kalau ambil apa-apa suplemen saya tak akan makan banyak takut memberi kesan kepada buah pinggang.
Saya ambil satu tablet suplemen saja sehari dan minum oxygen water. Saya juga amalkan makan sayur setiap hari. Kalau makan nasi selalunya saya tak akan tambah lagi. Saya cuba tak makan berlebihan.”
Shiera atau nama sebenarnya Sharifah Shahirah Syed Abu Bakar Al-Khaired kini masih aktif sebagai penyampai radio serta pengacara televisyen dan majlis. Shiera yang kini berusia 46 tahun merupakan adik kepada Sharifah Nor Azleenda serta kakak kepada Sharifah Sakinah.
Kredit Foto: Instagram Shiera Al-Khaired
Keuntungan 5 ANGKA Sebulan, 2 Anak Perempuan DATO’ SHAREEN ALMASHOOR Lalui Susah Senang Berniaga
“Apa yang ibu bapa ada dan mampu berikan itu hanyalah bonus. Ilmu boleh jana pendapatan. Tetapi pendapatan tak semestinya boleh menjana ilmu. Biar bermula dari bawah agar merasa susah senang berniaga.”
Cukup mendalam pesanan usahawan hebat, Dato’ Hajah Sharifah Shareen Almashoor atau Dato’ Shareen buat 2 anak perempuannya. Satu ketika dulu nama usahawan jelita berusia 41 tahun ini pernah tular di media sosial.
Beliau disanjung sebagai ikon usahawan yang rajin berbagi rezeki. Sehingga kini beliau masih aktif melakukan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan antaranya misi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Pahang.
Dato’ Shareen merupakan pemilik Hotel The Lov Penang. Walaupun industri hotel kini terjejas kerana pandemik COVID-19 namun beliau mengambil inisiatif lain dengan menjadikan hotel tersebut sebagai ruang acara bagi majlis perkahwinan untuk akad nikah serta majlis harijadi.
Selain itu, Dato’ Shareen turut mengendalikan bisnes keluarga iaitu ‘Saudagar Arab Malaysia’ yang hampir 40 tahun beroperasi secara tradisional. Namun bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2020, Dato’ Shareen menukarkannya kepada online. Hasilnya, jualan kurma ketika itu melonjak dan tertinggi dalam sejarah 40 tahun pengimportan kurma dan makanan sunnah Timur Tengah oleh Saudagar Arab Malaysia.
KEUNTUNGAN 5 ANGKA KETIKA PKP
Baru-baru ini di Instagram miliknya, beliau telah berkongsi di mana 2 anak perempuannya, Puteri Balqis (17) dan Puteri Zara (14) berjaya meraih keuntungan 5 angka dalam online business mereka yang mula dilakukan sejak PKP tahun lalu.
Tulis Dato’ Shareen di ruangan kapsyen: –
“Sebelum ni Qis dan Zara asyik dok tanya jadi ke PKP ni. Excited sangat nak tahu kita kena PKP sekali lagi ke tak. So saya pun tanya kenapa you both ni excited sangat nak tahu jadi ke tak PKP? School is still on going, online or offline tak kiralah PKP or not. Rupa-rupanya they are excited to kick off their own small business yang mereka berdua punya idea, plan, design all sendiri. Katanya best berniaga masa PKP ni.Last PKP (March 2020) bisnes Qis – Qissell buat sales 5 angka sebulan, dan total sales 6 angka jugalah. Itu kali pertama dia cuba online business. So kali ni nak buat lagi. Alang-alang hari-hari online let us make it worthwhile, katanya.
Bila dengar tu, terdetik di hati saya ‘Yes actually kita tak boleh ubah situasi atau keadaan yang terjadi tapi apa yang kita boleh ubah adalah cara kita lihat situasi itu sendiri. Insya-Allah semoga PKP 2.0 ini beri kebaikan buat kita semua.”
Menurut Dato’ Shareen, ketika PKP tahun lalu beliau menggalakkan anak-anaknya untuk mula membuat online business. Mereka telah menjual baju raya. Manakala PKP tahun ini pula mereka menjual biskut iaitu ‘Zaqis Cookies’.
DEDAHKAN ANAK DENGAN BISNES SEJAK AWAL
“Sebenarnya sejak mereka di bangku sekolah lagi saya dah dedahkan mereka dengan aktiviti bisnes. Saya sering membawa mereka ke kelas-kelas bisnes yang saya ikuti contohnya online class. Walaupun ketika itu mereka tidak faham sangat sebab masih sekolah rendah.
Saya juga tak pernah kisah kalau mereka tak gunakan ilmu itu. Sebab saya yakin walaupun mereka tidak menggunakannya waktu itu tetapi sekurang-kurangnya ilmu itu dah ada dalam diri mereka. Tahap keyakinan pun bertambah. Cuma belum diguna pakai saja lagi.
Selain itu, setiap kelas yang saya kendalikan untuk agen-agen ataupun bila saya dapat jemputan untuk buat talk, saya akan bawa mereka bersama. Memang berbeza zaman mereka dengan zaman kita dulu. Walaupun ilmu mereka sedikit tetapi mereka lahir dalam zaman teknologi digital. Soalan yang selalu saya tanya kepada mereka ialah apa peluang perniagaan yang mereka nampak sekarang. Kemudian saya akan bantu dengan menunjukkan jalan kepada mereka. Caranya begini:
- Saya akan minta mereka buat dahulu swot analysis.
- Cari syarikat mana untuk mereka jadikan role model atau benchmark.
- Apa stail perniagaan pilihan mereka.
- Berapa target pendapatan mereka untuk 1 tahun, 3 tahun dan 5 tahun. (ini soalan paling sukar untuk mereka jawab)
Untuk bisnes ‘Zaqis Cookies’ mereka akan mula dengan modal sendiri hasil keuntungan berniaga sebelum ini. Tanpa modal daripada saya pun mereka mampu bergerak sendiri, alhamdulillah.
Insya-Allah dengan wang terkumpul mereka setakat ini sudah boleh membiayai kos sambung belajar mereka di kolej. Walaupun insurance untuk pembelajaran mereka sudah ada tetapi saya tetap mendidik anak-anak agar mendapatkan sendiri apa yang mereka mahu.
Apa yang ibu bapa ada dan mampu berikan itu hanyalah bonus. Ilmu boleh jana pendapatan. Tetapi pendapatan tak semestinya boleh menjana ilmu. Maka sebagai ibu, saya sokong apa yang mereka minat. Saya juga sentiasa berkongsi tentang baik buruk perniagaan. Ini kerana ilmu amat penting dalam dunia perniagaan hari ini. Biar mereka mula dari bawah, rasa susah senang berniaga.
Pesanan saya buat mereka, berniaga ikut peredaran zaman dan kesesuaian waktu. Bukan untuk buat duit semata-mata sebaliknya cari pengalaman dan faham susah senang mencari rezeki. Hidup ini perlu berpijak di bumi yang nyata.”
Kredit Foto: Instagram @datoshareenalmashoor & @_.balqis._
Baru Berusia 27 Tahun, FATIMA PAYMAN Jadi Senator Muslim Pertama Di Australia
Buat pertama kalinya dalam sejarah Australia, seorang wanita berhijab telah dipilih menjadi senator! Lebih membanggakan, pada usia 27 tahun, wanita ini telah mendapat kepercayaan memegang jawatan sebagai Senator Dewan Parlimen Australia awal bulan lalu.
Memetik perkongsian Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin di laman Facebook, beliau berkongsi tentang wanita muda Muslim pertama berhijab dilantik sebagai Senator di Australia.
Perjalanan Fatima Payman untuk menjadi seorang ahli parlimen pertama berhijab di Australia bukanlah mudah kerana dia pernah berhadapan dengan pelbagai situasi apabila terdapat rakan sekelas universiti mengejek tudungnya.
Pelajar jurusan Farmasi ini berkongsi kisahnya, dia merasa diterima sejak tiba di Australia selepas melarikan diri dari Afghanistan ketika bayi walaupun dia pernah diejek dalam bilik tutorial di universiti.
Senator Payman, 27, memaklumkan bahawa bapanya sentiasa berdepan ‘diskriminasi dan penderaan kepada tidakpastian pekerjaan dan gaji rendah’. Namun pengorbanan ayahnya itu membolehkan Payman menjalani zaman kanak-kanak yang bahagia.
Ucapan Payman penuh emosi di Parlimen pada malam Selasa dimana dia menzahirkan ucapan terima kasih atas pengorbanan arwah bapanya itu.
“Pengalaman yang tidak boleh saya lupakan apabila seorang lelaki telah mengejek hijab saya. Perkara tersebut telah membuatkan saya berasa seperti ‘orang asing’ di dalam kelas tutorial tersebut.”
“Sebelum itu, saya tidak pernah berasa berbeza atau pelik, saya berasa seperti kanak-kanak Aussie yang lain, membesar di pinggir bandar Perth, menaiki pengangkutan awam ke universiti dan berharap untuk menjadi ahli masyarakat yang produktif.”
“Tetapi penghinaan seperti ‘Go back to where you came from’, menggelarnya sebagai ekstrimis telah memaksanya merasa seperti orang asing di Australia.”
Perkara tersebut telah membakar semangatnya untuk terlibat dalam politik, menyertai kumpulan kepimpinan belia, kumpulan penasihat polis dan persatuan pelajar Islam. Bijak mengatur langkah, beliau menyertai Parti Buruh selepas menyaksikan kedua ibu bapanya diambil kesempatan di tempat kerja mereka.
“Saya menyaksikan perjuangan ibu bapa saya demi meletakkan makanan di atas meja, demi membayar pendidikan kami dan demi menyediakan tempat berlindung untuk kami.”
Dalam ucapan pelantikannya, senator termuda itu turut berikrar untuk membawa perubahan dalam sistem Parlimen Australia.
“Sebagai anak perempuan pelarian yang datang ke tanah ini dengan impian masa depan yang selamat dan lebih baik, saya memberikan diri saya keberanian untuk mencabar sistem dan untuk melihat… sejauh mana perubahan yang boleh saya lakukan,” kata Senator Fatima.
Malah, beliau juga menyeru rakan-rakan ahli parlimennya untuk menghapuskan ketaksuban, perkauman dan diskriminasi, bukan hanya diam membisu. Lebih manis, Fatima Payman menjadi pemecah tembok stigma untuk wanita Islam selepas dia menjadi ahli politik berhijab pertama yang memenangi undi yang mencukupi untuk menduduki kerusi di Dewan Senat Australia melalui parti Buruh.
“Saya mahu menormalisasikan pemakaian hijab. Saya berharap dapat menjadi inspirasi kepada ramai anak muda Australia yang lain, bahawa hanya kerana anda percaya kepada Tuhan, atau hanya kerana anda kelihatan berbeza, ia tidak seharusnya menghalang anda daripada terlibat dalam institusi yang penting.”
Berada dalam negara yang minoriti beragama Islam, pemilihan Fatima oleh rakyat kulit putih yang lain menonjolkan keterbukaan dan penerimaan terhadap masyarakat Islam. Mereka saling hormat sebagai satu komuniti yang berusaha menjadikan persekitaran kehidupan yang positif.
Semoga dengan perlantikan Fatima Payman dapat membuka mata dunia tentang Islam dan sekaligus menjauhkan stigma Islamophobia yang bukan sahaja boleh merosakkan bangsa, malah negara.
Sumber: www.dailymail.co.uk