Bermula dari kejayaan mendapat keputusan cemerlang 17A1 dalam SPM, nama Dr Nur Amalina Che Bakri terus disebut-sebut. Biarpun jauh di perantauan, beliau tetap berusaha membantu rakyat Malaysia yang memerlukan serta aktif berkongsi ilmu di media sosial.
Kini jasa dan pengorbanan Dr Amalina, 34, mula mendapat perhatian ramai. Bayangkan di sebalik ruang waktunya yang padat dengan kerja klinikal sebagai doktor bedah, beliau masih menjalankan kajian perubatan dalam bidang kanser payudara serta COVID-19 sebagai felo akademik kajian klinikal di Imperial College.
Jika sebelum ini Nona pernah mengiktiraf sumbangannya dalam Nona Superwoman Awards 2020, terbaharu beliau menerima anugerah pula di Britain.
UK Women of the Future Award 2021 telah dianugerahkan kepada Dr Amalina dalam kategori profesion perubatan.
Wanita kelahiran Kota Bharu, Kelantan dan dibesarkan di Batu Pahat, Johor itu adalah antara 25 wanita di Britain yang merangkul anugerah berkenaan.
“Saya amat berbesar hati menerima anugerah ‘Highly Commended’ dalam kategori profesion di UK Women of the Future Award 2021.
Saya berasa rendah diri kerana dikelilingi wanita muda di Britain yang menerajui pelbagai bidang seperti perubatan, undang-undang, teknologi, sains, kejuruteraan, sukan dan banyak lagi.
Congratulations to the other finalists and winners, you are all superheroes!” Dr Amalina
Penghargaan itu mendapat perhatian warga maya yang turut mengucapkan sekalung tahniah kepada Dr Amalina.
Memetik kata-kata Dr Amalina ketika ditemu bual Majalah Nona, beliau sempat berkongsi harapan dalam kerjayanya.
“Kesibukan sudah menjadi lumrah dalam kamus seorang doktor dan anda perlu belajar sepanjang hidup untuk menjadi doktor yang cemerlang.
It is a very challenging job but it is also very rewarding. Anda boleh mengubah dunia menjadi lebih baik dengan membantu meningkatkan kualiti kehidupan pesakit, and this can be a tremendously satisfying experience. It is something that money can’t buy.
Saya mahu menjadi inspirasi kepada anak-anak muda untuk meneruskan kerjaya di mana ia boleh meninggalkan impak positif pada orang lain.
Bagi mencapai matlamat ini, saya perlu bekerja keras, fokus dengan cita-cita saya dan lebih bermotivasi tinggi untuk berjaya dalam hidup.
Nasihat saya, berusahalah bersungguh-sungguh buka minda dan keluar dari zon selesa. Anda perlu tetapkan matlamat dalam hidup seterusnya jujur pada diri sendiri. Atur pelan A – Z tanpa rasa mengalah.” Dr Amalina.
This website uses cookies.