Tahukah anda kasut mampu mengubah penampilan keseluruhan? Kasut bukan sekadar dipilih untuk keselesaan bahkan rekaan dan perinciaannya memainkan peranan penting untuk menyerlahkan gaya.
NONA menyenaraikan beberapa tip khusus dalam pemilihan kasut dan juga apakah kasut yang cukup in trend ketika ini di pentas-pentas fesyen antarabangsa. Jadikan ini sebagai rujukan anda dalam memilih kasut.
1.Memilih kasut perlu ada panduan, apakah kegunaan sepatu tersebut? Sama ada untuk ke tempat kerja, ke majlis istimewa ataupun acara santai. Dengan cara ini anda boleh memilih kasut yang sesuai bagi setiap acara.
Sebagai contoh kalau ke tempat kerja, semestinya sepatu harus lebih formal dan tidak keterlaluan perinciannya, selalunya untuk kasut ke tempat kerja lebih molek jika dipilih yang menutupi kaki dan bukannya dari jenis sandal yang terbuka bertali halus.
2. Ketahui geografi lokasi yang dituju, jika anda di ajak ke majlis-majlis istimewa. Misalnya majlis perkahwinan, anda perlu tahu dimanakah majlis tersebut diadakan. Adakah ia berlangsung di dalam dewan ataupun di taman?
Bayangkan jika anda tidak mengambil berat soal ini kemudian majlis diadakan di taman namun anda mengenakan kasut tumit tinggi runcing, pasti sukar untuk berjalan kerana tumit akan tenggelam ke dalam tanah. Silap haribulan anda boleh jatuh terlentang, jadi sentiasa peka dengan lokasi yang dituju.
3. Kita selalu menganggap bahawa untuk tampil menarik, hanya sepatu tumit tinggi sahaja yang boleh memberikan aura sebegini. Kasut atau sandal leper juga sebenarnya boleh memberikan aura menarik asalkan rekaan yang dipilih punya perincian yang menarik. Sebenarnya, bagi penulis kasut leper sebegini harus ada di dala kereta setiap wanita sebagai persiapan sekiranya anda bergegas ke suatu tempat lain usai pulang kerja ataupun dari majlis, takkanlah masih gigih mahu menyarungkan sepatu tumit tinggi bukan? Jadi tampil lebih selesa bersama sepatu leper.
4. Statement shoes? Tahukah anda kasut yang punya rekaan ekstravaganza dan juga perincian yang menarik boleh menjadi penyelamat gaya saat anda malas hendak bersiap. Cukup dengan menyarungkan seluar jeans dan kemeja/tshirt polos kemudian gandingkannya bersama sepatu yang memiliki rekaan dan perincian menarik. Biarkan sepatu yang menjadi titik tumpu gaya anda.
TIP MEMBELI KASUT:
1. Seeloknya pembelian kasut dilakukan pada petang hari setelah anda banyak berjalan, kerana kaki akan kembang sedikit selepas banyak berjalan. Jadi anda boleh menentukan keselesaan kasut yang dibeli pada tahap optimum.
2. Apabila berada di kedai kasut, pastikan anda menyarung kasut tersebut dan berjalan beberapa langkah di dalam kedai. Jika ada rasa kurang selesa elak beli kasut tersebut kerana jika lebih lama dipakai ia akan memburukkan keadaan kaki.
3. Suka kasut tumit tinggi tetapi mahu yang selesa? Mudah sahaja, pilih kasut tumit tinggi yang bertumit blok besar. Semakin runcing tumit kasut semakin tidak selesa kasut tersebut untuk digunakan bagi berjalan jauh.
4. Kasut tumit tinggi ala platform lebih selesa untu dipakai kerana sudut bengkok kasut tersebut lebih rendah berbanding sepatu tumit tinggi yang tidak berplatform.