Sebelum Berjaya, Rumah Pengarah Urusan Mamadil Ini Hampir Dilelong. Tapi Tengoklah Dirinya Sekarang!

Di sebalik kejayaan seseorang, pasti ada cerita dan momen yang menjadikan mereka berjaya seperti hari ini. Kesusahan yang pernah dilalui menjadi pembakar semangat untuk lebih berjaya di dalam kehidupan lantas menebarkan semangat yang positif kepada orang di sekeliling.

Mengenali Pengarah Urusan Mamadil Sdn Bhd, Dila Mubarak, dia seorang wanita yang lemah lembut orangnya namun penuh dengan visi dan misi untuk memajukan lagi perniagaan serta diri.

Bagaimana Dila boleh menceburi dunia perniagaan dan berjaya seperti hari ini?
Saya terjebak di dalam bidang perniagaan bertitik tolak dari zaman kejatuhan suami saya dalam bidang pekerjaan. Ketika itu saya hanyalah seorang suri rumah tangga sepenuh masa dan tidak pernah bekerja selepas melangsungkan perkahwinan. Saya berkahwin pada usia yang sangat muda ketika berusia 20 tahun, jadi saya memang tidak memiliki apa-apa pengalaman dalam bidang kerja.

Ketika suami hilang pekerjaan sewaktu saya berumur 27 tahun, hidup kami sekeluarga memang sangat susah. Saya masih ingat lagi ketika itu, kereta kami selalu sahaja hendak ditarik oleh pihak bank dan rumah pula hampir dilelong. Namun suami tidak bersikap sambil lewa, dia cuba sedaya upaya mencari kerja sampingan yang sekurang-kurangnya boleh menampung perbelanjaan seharian yang asas.

Melihat kesungguhan dan keperitan suami, ketika itulah saya terfikir yang saya tidak boleh sekadar duduk diam di rumah. Saya harus bangkit mencari rezeki juga. Oleh kerana saya seorang yang menyukai produk kecantikan maka bidang ini menjadi pilihan untuk saya mula bertapak dan belajar berniaga.

Setahun pertama ketika mula-mula berniaga, saya menjual produk-produk barangan kecantikan dari jenama lain dan kemudian selepas setahun saya terfikir mengapa tidak saya juga menghasilkan produk kecantikan saya sendiri? Jadi bertitik tolak dari situlah jenama Mamadil menjadi ‘anak’ yang saya tatang dengan sepenuh hati.

Apakah cabaran bergelar seorang usahawan?
Bagi saya cabaran dan kesusahan tidaklah begitu dirasai kerana saya melakukan perkara yang saya minat. Jadi bila kita kena buat perkara yang kita tidak minat sebenarnya akan menjadikannya lebih susah. Walau bagaimanapun ini semua terpulang kepada prinsip individu masing-masing. Ada orang berniaga hanya untuk keuntungan semata-mata. Jadi bagi saya, kedua-dua perkara ini dicampur sekali yang membuatkan penat lelah memajukan perniagaan berbaloi.

Kalau bercerita serba sedikit soal cabaran setelah berniaga, bagi saya ia terletak kepada bagaimana untuk meyakinkan orang untuk mencuba produk yang dihasilkan. Maklumlah banyak isu-isu negatif mengenai produk kecantikan tempatan yang menggunakan bahan larangan menjadikan pelanggan ragu-ragu dan takut untuk mencuba.

Namun bagi saya ini hanyalah cabaran kecil. Untuk Mamadil, kami memang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan saya memastikan setiap produk yang dihasilkan selamat serta memberikan kesan positif.

Boleh kongsikan sedikit tip kejayaan yang diamalkan?
Wanita sebelum berjaya, biasanya perlu melalui proses yang jatuh tak terbangun, menangis sampai tertidur dan sampai satu tahap dia akan bangkit dengan semangat yang luar biasa. Rahsia saya dari seorang suri rumah selama 11 tahun sehingga kini bergelar usahawan adalah selalu berbuat baik kepada orang di sekeliling kita.

Sebagai contoh, keluarga, jiran dan yang utama serta paling penting, suami. Jika suami reda dengan apa yang kita lakukan maka Allah pun akan reda dengan apa yang kita lakukan. Perkara ini ramai yang terlepas pandang. Kebanyakan wanita apabila pendapatan lebih dari suami mulalah mereka mendabik dada dan tiada rasa hormat kepada suami.

Perlu kita ingat bahawa Allah Maha Memberi namun Dia juga boleh menarik bila-bila sahaja yang Dia kehendaki. Diringkaskan cerita, rahsia untuk berjaya sudah ada dalam ajaran agama kita sendiri.

Contohnya, solat awal awal waktu, bersedekah kepada fakir miskin, mendoakan kejayaan orang lain dan malaikat pun akan mendoakan perkara yang sama untuk kita. Rahsianya mudah namun ramai yang tidak tahu. Bagi saya terpulang kepada diri sendiri jalan mana yang hendak kita pilih.

Untuk saya, apa yang saya amalkan saya kongsi untuk kebaikan bersama. Dalam apa perkara yang kita lakukan dan sehebat mana kita, jangan sesekali lupa untuk mendirikan solat dan berterima kasih kepada-Nya, kuasa solat amat besar dan ia adalah terapi kepada kita sebagai umat Islam khususnya. Fiezreen Ahmad

Share
Published by
Fiezreen