Sebelum Sis Kiah Duduk Rumah Shopping Online, Baca Dulu Perkongsian PDRM Ini

Amboi sakan nampak Sis Kiah shopping! Tak boleh keluar rumah, Sis Kiah memanjakan diri dengan membeli-belah barang secara online. Banyak barang keperluan rumah sudah habis dan ada barangan yang amat diperlukan sangat buat masa sekarang perlu dibeli secara online, nak keluar rumah takut.

Dalam keadaan kita kuarantin ini, ramai yang membeli-belah secara online. Ini jauh lebih mudah, tidak membebankan untuk keluar rumah dan lebih menjimatkan masa dan kos. Setiap hari ada sahaja ditawarkan pada harga yang lebih rendah dengan pelbagai promosi. Walaupun Sis Kiah bijak berbelanja, kadang-kadang Sis Kiah tergelincir juga bila nak beli barang keperluan, terbeli barang yang cantik di mata.

Dalam pada berhati-hati soal keselamatan, Sis Kiah dan kita semua perlu mahir dengan selok-belok pembelian barangan secara online.

Di sini Nona kongsikan langkah-langkah bijak membeli barangan online untuk mengelak jadi mangsa penipuan.
  1. MEMBELI DARI LAMAN WEB YANG MEMPUNYAI SEKURITI

Sekiranya anda perlu berkongsi maklumat peribadi seperti alamat dan nombor kad kredit, pastikan maklumat anda dilindungi dengan selamat oleh laman web tersebut.

Bagaimana anda tahu laman web tersebut adalah selamat? Semasa memasukkan maklumat kad kredit anda, terdapat dua tanda perlu diperhatikan.

Perkara pertama adalah alamat yang mempunyai https: pada awalan dalam bar URL. “https:” melambangkan bahawa laman web tersebut adalah selamat dan maklumat anda akan kekal rahsia.

Banyak laman web juga mempunyai simbol kunci yang tertutup dalam bar alamat mereka untuk menunjukkan bahawa laman web mereka adalah selamat.

  1. SEMAK PENILAIAN KEDAI/PERNIAGAAN ONLINE

Ulasan atau skala markah dari pihak ketiga dapat memberikan panduan kepada pembeli.

  1. SIMPAN RESIT & PERIKSA PEMBELIAN SEMASA PENGHANTARAN

Selepas membeli sesuatu barangan, pastikan anda menyimpan segala resit digital sebagai bukti pembelian.

Walaupun platform online menyimpan resit-resit ini secara automatik, anda dinasihatkan supaya menyimpan rekod-rekod tersebut bagi memudahkan anda untuk membuat rujukan atau memasukkan maklumat pencukaian dan menebus sesuatu jaminan.

  1. LOKASI & MASA PENGHANTARAN

Semak tempoh penghantaran dan masa yang diiklankan oleh penjual bagi memudahkan anda menerima barang mengikut masa yang telah ditetapkan.

  1. LAYAR MELALUI SAMBUNGAN SELAMAT

Sewaktu membeli belah secara online, anda seharusnya menggunakan secured network dan elakkan untuk lakukan pembelian menggunakan komputer yang dikongsi.

Selain daripada itu, jangan lakukan pembelian online menggunakan sambungan melalui sambungan WiFi percuma seperti di kafe atau tempat awam.

Sambungan Wi-Fi di tempat awam adalah lebih berisiko kerana sesiapa sahaja yang berada di lokasi sama boleh memantau maklumat yang anda masukkan seperti maklumat perbankan atau kad kredit anda.

Oleh itu, lakukan pembelian online dan semua aktiviti perbankan atas talian melalui sambungan internet yang selamat, seperti di rumah anda.

  1. KAEDAH PEMBAYARAN

Kad kredit adalah salah satu cara pembayaran paling selamat untuk pembayaran secara online. Pembayaran melalui cara ini meninggalkan rekod dengan bank dan sentiasa dilindungi daripada pembayaran yang tidak sah atas akaun anda.

Pastikan anda sentiasa memeriksa penyata kad kredit anda supaya tiada caj yang bukan kehendak anda dikenakan atas akaun anda.

Cara ini boleh membantu anda untuk mencari kesilapan anda dalam pembelian secara online.

  1. PASTIKAN SYARIKAT JUALAN MUDAH DIHUBUNGI

Untuk mengetahui sama ada syarikat itu sah ia perlu mendedahkan lokasi fizikal mereka dengan alamat sebenar sama ada cawangan runcit atau lokasi ibu pejabat.

Ketahuilah bahawa jika anda memilih pilihan chat berbual untuk bantuan pelanggan, anda berkemungkinan berbual dengan robot, jadi pastikan bahawa soalan-soalan anda dijawab sepenuhnya dan ia adalah yang terbaik untuk mencatatkan perbualan itu.

Berhati-hati dengan syarikat-syarikat yang hanya boleh dicapai melalui borang kenalan. Jadilah pengguna yang bijak dan sentiasa berhati-hati ketika melakukan urusan jual-beli secara online. Laporkan segera di balai-balai berhampiran jika anda menjadi mangsa penipuan. #JomBeringat #TipMembelibelahOnline #JadilahPenggunaYangBijak

Grafik: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna

Share
Published by
KR