Sebelum Suami Jadi Billionaire, Isteri JAMES DYSON Kerja Keras Sara Anak & Keluarga!

Benarlah, kejayaan seorang suami pasti ada seorang isteri di belakangnya. Tanpa sokongan dan kerja keras Deirdre yang banyak membantu keluarga selama ini, tidak mungkin pencipta terkenal James Dyson mampu bergelar billionaire seperti sekarang. Kini, meskipun nilai kekayaan suami sudah mencecah bilion dolar Amerika namun wanita setia ini tetap mahu berjaya di atas kaki sendiri.

Mungkin Deirdre Dyson adalah wanita paling bertuah kerana bukan hanya berstatus isteri kepada salah seorang lelaki terkaya di dunia selama 52 tahun dan dikurniakan tiga orang anak. Bahkan dia turut melakar kejayaan membanggakan atas kerja keras sendiri apabila berjaya mengejar impian sebagai pereka permaidani eksklusif di bumi United Kingdom.

James dan Dierdre bersama ciptaan vakum pertama Dyson

Walau James Dyson diiktiraf sebagai lelaki terkaya di Britain oleh Bloomberg Billionaires Index dengan nilai kekayaan mencecah USD13.8 bilion tahun lalu… ia bagaimana pun belum cukup membuatkan Deirdre puas, melainkan meraih keuntungan hasil dari duit dan keringat sendiri.

Mendirikan rumah tangga bersama lelaki paling berpengaruh di Britain tersebut sejak tahun 1968, Deirdre dikhabarkan mula membina empayar sendiri kira-kira 20 tahun lalu menerusi perusahaan karpet. Uniknya rekaan karpet Deirdre Dyson berbanding perusahaan karpet lain ialah kerana ia dihasilkan dengan menggunakan tangan dan setiap ciptaan Deirdre adalah eksklusif serta terhad yang kebiasaannya dibeli industri perhotelan. Lebih istimewa, permaidani ciptaan Deirdre turut menggunakan lebih 5,000 kapas
dan sutera China.

Biarpun sibuk dengan kerjaya, ibu tiga anak ini tetap punya masa untuk keluarga. Menurut anak sulungnya, Jake Dyson menerusi Financial Times… kesenangan yang dinikmati mereka sekeluarga hari ini tidak semudah yang disangka. Jake turut mengakui kenangan melihat ibunya terpaksa mengajar subjek seni ketika dia masih kecil tetap segar di ingatan. Semua itu dilakukan Deirdre untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga pada saat bapanya, James Dyson sedang bergelut menjayakan ciptaan sendiri.

Dua tahun sebelum bergelar suami isteri, James dan Deirdre dipertemukan ketika mereka masih menjadi penuntut seni. Memetik kenyataan James, “Kami mempunyai persamaan hampir dalam semua segi. Kami suka mencipta, kami adalah peminat seni dan kami juga mereka dan menghias rumah bersama-sama. Walau terdapat perbezaan latar belakang,
tapi kami hidup bahagia selama 52 tahun ini.”

James Dyson, pencipta berusia 72 tahun adalah pemilik penuh syarikat Dyson yang kini tersenarai antara 500 individu terkaya di dunia. Kekayaan James Dyson tahun lalu juga mengatasi Jim Ratcliffe yang merupakan pengusaha Ineos Chemicals Group.

James Dyson pernah diberi pengiktirafan sebagai Commander of the Order of the British Empire (CBE) pada tahun 1996 dan dianugerahkan Prince Philip Designers Prize setahun kemudian. Kejayaan yang diraih James Dyson tidak datang bergolek kerana ciptaannya dianggap berjaya selepas melakukan sebanyak 5,127 prototaip! Memang kental dan gigih betul kerja keras pengasas Dyson ini.

Jake Dyson
Emily Dyson

Tiga penyeri rumah tangga James dan Deirdre ialah Jake Dyson, Emily Dyson dan Sam Dyson. Walau mempunyai tiga orang anak tetapi hanya Jake yang mengikut jejak langkah bapanya dan komited mencipta lampu dalam empayar Dyson.

Sementara Emily pula menceburi bidang fesyen dan kini bergelar usahawan butik Couverture yang terletak di London. Sementara Sam pula lebih cenderung dalam bidang muzik dan memiliki syarikat rakaman Distiller Records.

Ada sesuatu yang menarik di sini.

 

Sumber: Financial Times, Forbes & Daily Mail

Share
Published by
Suzi